KENYATAAN MEDIA : KENYATAAN PATRIOT TIDAK BERASAS DAN BERNIAT JAHAT

KENYATAAN MEDIA
KENYATAAN PATRIOT TIDAK BERASAS DAN BERNIAT JAHAT

Merujuk kepada kenyataan Presiden Persatuan Kebangsaan (Patriot), Arshad Raji yang mengecam larangan penjualan alkohol seperti yang dilaporkan media, Isma merasakan kenyataannya itu sebagai tidak berasas dan berniat jahat.

Arak sebagaimana yang sedia maklum adalah minuman yang merosakkan. Ia hanya digunakan oleh golongan kapitalis untuk mengaut keuntungan berlipat ganda dan sebagai alat untuk menjauhkan manusia dari agama dan kehidupan yang baik. Mudarat yang ditinggalkan oleh arak adalah amat besar jika dibandingkan dengan yang lain.

Membandingkan di antara mudarat arak dan rasuah adalah tidak kena kerana kedua-duanya memberikan mudarat dari sudut yang berbeza. Kedua-duanya mesti diperangi dan dibenteras. Adalah tidak adil untuk menimbulkan persoalan seolah-olah pihak yang ingin membanteras arak tidak kisah dengan gejala rasuah.

Cadangannya agar larangan penjualan alkohol itu dirunding terlebih dahulu dengan peniaga juga bukanlah jalan menuju kepada penyelesaian. Apa juga minuman yang memudaratkan sepatutnya tidak dijual dari peringkat awal lagi.

Mengambil keuntungan dari sesuatu yang memudaratkan orang ramai bukanlah tindakan yang boleh dikompromi. Negara juga tidak akan rugi jika tidak dapat mengutip cukai arak kerana sebenarnya kos negara di dalam menguruskan kesan arak kepada kesihatan, kematian, masalah sosial dan sebagainya adalah juga tinggi.

Secara umum kita mendapati sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan arak samada peminum, peniaga, pengilang dan pengeluar mempunyai kaitan dengan pemikiran liberal yang merupakan pemikiran yang telah merosakkan Barat.

Adalah lebih baik jika Presiden Patriot menarik balik kenyataannya dan kembali berpihak kepada umat Islam di dalam isu berkaitan arak. Malaysia tidak akan menjadi negara Taliban dengan melarang penjualan arak tetapi akan hancur seperti masyarakat Eropah apabila arak menjadi budaya di dalam kehidupan.

 

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Timbalan Presiden Isma
24 November 2020

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat