1. Ikatan Guru- Guru Muslim Malaysia (iGuru) merasa terkejut dan kecewa terhadap kenyataan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pendidikan Malaysia tentang pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), pada satu sesi mesyuarat tertutup dengan pegawai-pegawai KPM pada hari Khamis, 30 Januari 2020.
2. iGuru melihat bahawa pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik melalui bahasa ibunda adalah terbukti lebih berkesan berbanding penggunaan bahasa Inggeris.
3. iGuru bimbang langkah YAB Tun mengundang masalah kepada anak-anak di luar bandar dan menjadikan mereka kurang berminat kepada subjek sains dan matematik.
4. iGuru menyokong usaha mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah- sekolah sebagai persediaan menghadapi dunia pasaran kerjaya tetapi menyangkal faktor pengangguran disebabkan ketidak upayaan penguasaan Bahasa Inggeris. Subjek sains dan matematik telah diajar dalam Bahasa Melayu sejak tahun 70-an dengan jayanya tanpa sebarang masalah.
5. iGuru ingin mengingatkan YAB Tun bahawa tindakannya memaksa KPM menjalankan PPSMI pada 2003-2012 telah merosakkan masa depan hampir 3 juta murid terutama anak – anak Melayu luar bandar dan usaha meramaikan nisbah penguasaan bidang sains dan matematik tidak tercapai 60 : 40.
6. Kegagalan PPSMI 2003-2009 (-2012) telah terbukti dalam ujian antarabangsa TIMSS dan PISA di mana prestasi murid Malaysia dalam TIMSS berada di atas purata Dunia pada 1999 dan 2003, tetapi ia telah menjunam hampir 100 mata ke bawah purata Dunia pada 2007, 2011 dan 2015. Peningkatan prestasi pada 2015 naik sedikit kerana PPSMI sudah dimansuhkan pada 2012.
6. Manakala prestasi PISA pada 2009, 2012, 2015 dan 2018 masih di bawah purata Dunia walaupun Malaysia memilih murid-murid DLP BI untuk menduduki ujian PISA. Prestasi murid-murid PPSMI dan DLP BI dalam BI dan sains dan matematik tidak meningkat tetapi menjunam di bawah purata Dunia.
7. IGuru menggesa YAB Tun mengambil kira kegagalan PPSMI dan mencari langkah terbaik untuk memastikan murid- murid menguasai Bahasa Inggeris dengan pendekatan yang lebih berkesan dan produktif.
8. Menjadikan sains dan matematik sebagai sasaran bukanlah jalan penyelesaian terbaik tetapi menyiapkan murid- murid yang mempunyai kompetensi penguasaan pelbagai bahasa termasuk Bahasa Inggeris adalah jalan membina laluan kerjaya masa depan selaras dengan apa yang termaktub di dalan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
9. Justeru iGuru berharap sebarang keputusan YAB Tun tidaklah dilakukan secara terburu- buru tetapi perlu mengambil kira aspek masa depan anak- anak kita.
Mohd Azizee bin Hasan
Presiden
Ikatan Guru- Guru Muslim Malaysia ( iGuru)
31 Januari 2020