KENYATAAN MEDIA
Pemuda Isma Bantu Lima Ribu Orang Fakir Miskin di Sabah, Dana Masih Diperlukan
1.Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) melalui Projek Relawan Muda telah memberikan Bantuan Keperluan Asas Covid-19 yang mensasarkan fakir miskin, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah.
2.Bantuan ini meliputi daerah di Kota Kinabalu, Sandakan dan Semporna yang melibatkan 350 buah keluarga dan hampir dua ribu orang fakir miskin yang majoritinya penduduk tetap, pemegang pas IMM13, pendatang asing, penduduk tanpa negara (stateless) dan warga tempatan.
3.Sehingga 25 Oktober 2020, Relawan Muda telah memberi sumbangan di Kampung Bakau Batu 3, Kampung Sundang, Kampung Bakau (Batu Sapi), Perumahan Setinggan Taman Mutiara, Perumahan Setinggan Batu 2 di Sandakan manakala di Kota Kinabalu pula adalah Kampung Selambangun, Kampung Sabang, setinggan di Kampung Kolam Pulau Gaya , Rumah Sewa Segama dan Sinsuran. Manakala di Semporna adalah Kampung Gelam-Gelam, Pulau Bum Bum, Pulau Luamanggas, Kampung Sri Aman Darat, kampung Sri Aman Laut dan banyak lagi.
4. Bagi sebahagian daripada warga tempatan, mereka sukar menerima bantuan kerajaan kerana masalah logistik.
5.Manakala ‘stateless’ di Sabah kebanyakannya bekerja sebagai buruh harian, pekerja kedai, petani dan nelayan yang rata-ratanya tidak layak untuk menerima bantuan keperluan asas daripada kerajaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu. Malah PKP juga menyebabkan mereka tidak dapat bekerja dan terputus bekalan makanan.
6.Kesukaran yang dialami ini menyebabkan sebahagian daripada mereka terpaksa makan siput babi, daun dan bayi diberikan air gula.
7.Oleh itu Pemuda Isma memohon jasa baik syarikat-syarikat swasta, perseorangan dan mana-mana indidividu untuk memberi sumbangan ke tabung Bantuan Keperluan Asas Covid-19 untuk fakir miskin ini bagi membolehkan mereka menikmati sesuap nasi bagi mengisi perut yang lapar dan bayi yang kecil boleh diberikan susu.
8. Sumbangan berupa wang ringgit boleh disalurkan melalui akaun Ikatan Muslimin Malaysia Kota Kinabalu (Maybank : 560214058721), rujukan: Sumbangan Covid-19 atau menghubungi Dr. Sobri di talian +60 17-212 1931.
9.Selain itu juga bagi mereka yang berminat mahu menyumbang susu tepung untuk bayi bawah setahun juga dialu-alukan.
10.Fasa bantuan seterusnya yang turut mendapat kerjasama daripada Semporna Prihatin dan Yayasan Maghfirah akan mensasarkan 300 buah keluarga di kawasan berbeza pula dengan anggaran perbelanjaan RM 30 ribu.
Arifin Manan
Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia
26 Oktober 2020