- Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merakamkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) atas kejayaan serta pencapaian masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.
- Keputusan pilihan raya ini mencerminkan kepercayaan dan harapan rakyat terhadap kepimpinan wakil-wakil rakyat yang dipilih. Semoga amanah ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya melalui kepimpinan yang prihatin, dasar yang memberi manfaat serta usaha berterusan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memajukan negeri Melaka.
- ISMA berpandangan bahawa perkembangan politik ini perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh kerjasama antara kekuatan politik Melayu Islam. Sudah tiba masanya persaingan politik diberikan ruang yang lebih matang, manakala titik persamaan dan kepentingan bersama dijadikan asas untuk membina kesepakatan yang lebih strategik dan berjangka panjang.
- Perbezaan pendekatan dan wadah perjuangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama dalam perkara-perkara asas yang menyentuh kepentingan agama, bangsa dan negara. Sebaliknya, kematangan politik perlu dizahirkan melalui kesediaan mengurus perbezaan, membina kepercayaan dan mendahulukan kepentingan ummah.
- Penyatuan ummah perlu melangkaui kerjasama pilihan raya dan percaturan politik. Matlamat akhirnya ialah membina ummah yang memiliki kekuatan akidah, kesatuan kepimpinan, kemantapan institusi serta keupayaan dalam bidang ilmu, ekonomi dan pembangunan peradaban.
- ISMA ingin menegaskan kembali kepentingan merealisasikan gagasan perjuangan “Melayu Sepakat, Islam Berdaulat”. Kesepakatan kekuatan politik Melayu Islam merupakan asas penting dalam membina kuasa nasional yang ampuh. Kesepakatan ini perlu diterjemahkan kepada kekuatan politik, ekonomi, pendidikan dan institusi agar Malaysia memiliki keupayaan mempertahankan kedaulatan, menentukan hala tuju sendiri serta memperjuangkan kepentingan nasional dalam menghadapi cabaran geopolitik dan persaingan kuasa dunia.
- Gagasan ini menuntut kesungguhan seluruh kekuatan politik Melayu Islam untuk mencari titik persamaan, memperkukuh kerjasama dan menyatukan kekuatan dalam agenda utama ummah. Kesepakatan tersebut juga perlu menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara yang adil, harmoni dan sejahtera untuk seluruh rakyat Malaysia.ISMA berharap BN dan PN dapat menjadikan perkembangan politik ini sebagai ruang untuk memperluas persefahaman dan membina kerjasama yang lebih bermakna. Kerjasama tersebut perlu melangkaui kepentingan pilihan raya dengan memberikan tumpuan kepada agenda bersama dalam memperkukuh kedudukan Islam dan memartabatkan agenda bangsa Melayu dalam pembangunan negara.
- Kepercayaan rakyat hendaklah diisi dengan agenda yang lebih besar daripada kepentingan kepartian. Kemenangan politik memperoleh maknanya apabila diterjemahkan kepada kestabilan, kesejahteraan rakyat, kekuatan ummah dan masa depan negara yang lebih baik.
- Moga-moga perkembangan ini membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat, memperkukuh perpaduan rakyat serta membawa kepada pembinaan sebuah negara yang aman, makmur dan diberkati Allah SWT.
“Ummah Fadhilah Tonggak Peradaban”
Ustaz Shuhaib ar-Rumy bin Selamat
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
15 November 2026


