Kepimpinan itu Amanah dan Tanggungjawab Duniawi Ukhrawi

Negara kita berada dalam satu fasa yang sangat kritikal. Bukan sahaja berhadapan dengan penularan Covid-19 yang makin membimbangkan, bahkan ketidakstabilan politik juga menggoncang prinsip dan halatuju pemimpin serta rakyat. Kepimpinan dan jawatan menjadi rebutan yang diperjudikan demi kepentingan peribadi dan blok kepartian. Seolah-olah tiada Hari Pengadilan dan kita akan hidup selama-lamanya. Walhal ia merupakan satu tanggungjawab yang pasti akan dipersoalkan di kemudian hari.

Kepimpinan adalah amanah yang wajib diTANGGUNG dan diJAWAB di akhirat nanti adakah kita benar-benar melaksanakannya atau sambil lewa dan buat ala kadar. Tidak kisah sama ada amanah memimpin dalam aspek pengurusan agama, pemerintahan, penghakiman, pengfatwaan, pentadbiran, perniagaan, pekerjaan, keluarga dan sebagainya.

Bagi memahami dan menginsafi betapa beratnya memikul amanah ini, saya kongsikan dua buah hadith dan sepotong ayat al-Quran.

Yang pertama;

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ: كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: إِذَا أُسْنِدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ.

Daripada Abu Hurairah RA mengatakan Rasulullah SAW bersabda: “Jika sifat amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kedatangan hari kiamat (tanda kiamat semakin dekat).” Lalu seorang sahabat bertanya: “Bagaimanakah yang dimaksudkan sifat amanah disia-siakan ya Rasulullah?.” Baginda menjawab; “Jika diserahkan sesuatu urusan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kedatangan hari kiamat.” (HR al-Bukhari).

Yang kedua;

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ مَا خَطَبَنَا نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا قَالَ لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ وَلَا دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ

Daripada Anas bin Malik RA berkata; Nabi SAW tidak pernah berkhutbah di hadapan kami kecuali baginda mengatakan: “”Tidak sempurna keimanan bagi orang yang tidak amanah, dan tidak sempurna agama seseorang bagi yang tidak memenuhi janji.”” (HR Ahmad).

Yang ketiga;

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓا۟ أَمَٰنَٰتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah SWT dan Rasul-Nya , dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan ke atas kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Anfal : 27).

Terdapat beberapa noktah penting yang boleh kita pelajari daripada tiga dalil naqli di atas;

1. Perkataan أَمَانَةَ berasal dari akar kata yang sama dengan إِيمَانَ dan أَمَانَ. Perkataan مؤمن, iaitu orang yang beriman yang mendatangkan keamanan, juga yang memberi dan menerima amanah. Justeru, jika seseorang itu tiada sifat amanah seumpama tiada iman dalam dirinya.

2. Islam meletakkan pra syarat yang utama iaitu amanah. Sifat ini mesti dimiliki oleh seseorang sebelum dia dilantik dalam apa jua jawatan dan pekerjaan.

3. Jika seseorang yang dilantik itu tidak memiliki sifat amanah maka akan rosaklah semuanya dan tunggulah saat dunia ini akan binasa dan lenyap selamanya.

4. Menjadi kewajipan kepada kita menunaikan amanah kepada yang berhak dan selayaknya. Orang yang tidak menyempurnakan amanah adalah orang yang memiliki sifat munafik.

5. Allah telah menjanjikan balasan dan azab yang dahsyat bagi orang yang pecah amanah, dan tidak ada siapa pun yang dapat lari atas setiap kejahatan yang dilakukan sama ada di dunia atau pun di akhirat kelak.

Dalam buku bertajuk al-Siyasah al-Syar’iyyah menyatakan bahawa: “Perlulah diketahui dan disedari bahawasanya memimpin manusia adalah termasuk dalam kewajipan terbesar dalam agama. Tidak akan tertegak agama kecuali dengan kepimpinan. Sesungguhnya keperluan anak Adam itu tidak akan tercapai secara sempurna kecuali dengan keadaan berjemaah kerana sifat saling memerlukan antara satu sama lain, justeru dalam sebuah jemaah itu sudah pasti memerlukan seorang pemimpin”.

Terang lagi bersuluh, setiap beban tugasan kepimpinan itu berkait rapat secara langsung dengan membangunkan agama dan peradaban Islam. Seorang pemimpin bukan sahaja menyeru rakyat dan seluruh warga yang dipimpinnya agar mentaati Allah SWT dalam urusan ibadah, tetapi juga meliputi segenap aspek dan perincian kehidupan sama ada ideologi, ekonomi, sosial, politik dan muamalat hinggalah terbina sebuah tamadun Islam yang diimpikan.

Pemimpin dalam Islam bukanlah satu anugerah kemuliaan semata yang boleh dimegahkan atau pemilikan kuasa untuk digunakan sesuka hati. Sebaliknya, pemimpin ialah seorang yang memegang amanah daripada rakyat yang dipimpin dan menanggung tanggungjawab daripada Allah SWT untuk memastikan memimpin masyarakat yang dipimpin memperolehi faedah duniawi mahupun ukhrawi daripada kepimpinannya. Oleh sebab besarnya amanah yang perlu dipikul dan besarnya tanggungjawab yang mesti dilaksanakan, maka Allah SWT telah meletakkan pemimpin sebagai pihak ketiga yang wajib dipatuhi selepas-Nya dan selepas Rasul-Nya.

Syarat asasi bagi pemimpin untuk berjaya menunaikan amanah dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi serta akhirnya akan meraih anugerah daripada Ilahi ialah Keikhlasan, Kesedaran dan Kesungguhan. Semoga Allah SWT memberikan kita Kekuatan dan menjadikan kita Qudwah buat segenap lapisan masyarakat.

Oleh,
Abu Khaled

Isma Subang Jaya 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat