Pemuda Isma menyokong inisiatif Kementerian Belia dan sukan (KBS) untuk memperkenalkan Skim Perantisan Nasional (SPN) dan job localization yang memberi kepercayaan kepada anak-anak muda untuk mengisi jawatan-jawatan dengan julat gaji RM3000-RM10,00.
Selain itu, Pemuda Isma juga menyambut baik usaha KBS membangunkan portal khusus berkaitan peluang pekerjaan, pendanaan dan pembangunan kemahiran.
Selain itu juga, Pemuda ISMA ingin mengetengahkan cadangan khas untuk dipertimbangkan di peringkat kerajaan bagi kesinambungan ekonomi dan keterjaminan mandiri anak-anak muda.
Kerajaan perlu menjadikan projek pembangunan pertanian moden dengan adaptasi teknologi digital sebagai projek utama dengan melibatkan anak-anak muda.
Kami yakin pembukaan bidang ini secara aktif dengan definisi yang lebih segar mampu memberi peluang kerjaya yang cerah kepada mereka.
Kaedah pertanian tepat (Precision Agriculture) dan perladangan pintar (Smart Farming) adalah sebuah pendekatan terkini yang sudah terbukti menjamin peningkatan hasil tanaman, mengurangkan kos dan lebih lestari.
Adaptasi teknologi dalam pertanian mampu menarik minat anak-anak muda seterusnya membantu meningkatkan kadar penglibatan mereka dalam penghasilan sumber makanan negara.
Pemuda ISMA juga yakin ia mampu membantu perkembangan ekosistem gig ekonomi dan Keselamatan Makanan (Food Security) negara.
Menurut Laporan Supply and Utilization Accounts Selected Agricultural Commodities, Malaysia 2014-2018 yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia, kadar sara diri Malaysia dalam tanaman makanan (food crop) pada tahun 2018 dicatatkan hanya mencapai 61%, ia memberi indikasi keselamatan makanan negara belum 100% bersedia.
Kami yakin pengibatan anak muda sebagai Usahawan Agro dan adaptasi teknologi digital mampu menyumbang kepada peningkatan Self-Sufficiency Ratio (SSR).
Selain itu, aplikasi teknologi dalam pertanian juga mampu melengkapkan rantaian nilai dalam ekosistem pertanian dan gig ekonomi.
Daripada sayuran dan buah-buahan di atas batas ia boleh dipantau perkembangan kualitinya dan capaiannya hingga ke pinggan pelanggan.
Kesemua rantaian tersebut boleh dihubungkan dan semestinya kebanyakan perjalanan produk tanaman dalam rantaian tersebut akan melibatkan tenaga dan buah fikir anak-anak muda yang lebih mesra dan cekap menggunakan teknologi dan gajet terkini. Bahkan kadar akses rakyat Malaysia terhadap kemudahan internet khususnya anak muda adalah lebih daripada 80%.
Justeru, Pemuda Isma mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan sudi membawa cadangan ini ke peringkat pengaplikasian dan merangkanya dengan lebih strategik diperingkat nasional, dengan melibatkan NGO-NGO, IKS, usahawan agro, pemilik ladang dan pembangun gig ekonomi.
Kami yakin Malaysia mempunyai tenaga pakar yang mencukupi dari sudut pembangunan aplikasi & perisian, pembangunan sistem Internet Kebendaan (Internet of Things), pengaplikasian teknologi dron, pembangunan data raya (Big Data) dan pengintegrasian data.
Muslim Abdullah Zaik
Ketua Penerangan Pemuda ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia)
29 April 2020