Pengharaman arak dan larangan terlibat dalam proses menyediakan dan menghidangkannya adalah termasuk dalam kategori al-ma’lum min ad-Dín Bi ad-Dhorurah (المعلوم من الدِين بالضرورة), iaitu perkara yang sudah diketahui umum tentang hukumnya di dalam agama. Akan tetapi, masih ada lagi umat Islam yang terlibat dalam mengendalikannya samada, melabur dalam saham syarikat dan perniagaan arak, menghadiri majlis yang menghidangkan arak, bahkan bekerja di premis yang menjual arak.
Mengenai isu pekerja Muslim yang terpaksa mengendalikan arak di kedai serbaneka atau industri perhotelan dan penerbangan merupakan sebuah isu pencabulan hak asasi manusia. Isu ini sama seperti melarang pekerja Muslim dari solat Jumaat dan memaksa pekerja wanita menanggalkan tudung.
Pekerja Muslim yang tidak mahu terlibat dalam mengendalikan arak sewaktu bekerja patut dipelihara haknya kerana ia adalah sebuah manifestasi beragama berdasarkan dalil dalam ajaran Islam.
Oleh hal yang demikian, kerajaan sepatutnya merangka dasar dalam melindungi hak-hak pekerja Muslim. Malangnya, Malaysia belum memiliki sebarang polisi atau undang-undang yang melarang majikan dari mendiskriminasi pekerja Muslim seperti memaksa pekerja Muslim melakukan perkara-perkara terlarang di sisi agamanya.
Justeru, kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak adalah satu inisiatif untuk mendapat sokongan masyarakat untuk mendesak majikan supaya tidak melibatkan pekerja Muslim dalam pengendalian arak sekali gus mendesak Pihak Berkuasa Tempatan menghentikan penjualan arak di kawasan majoriti Muslim.
Yusra Noor,
Pegawai Dakwah ISMA Bangi.
Sebagai tanda menyokong kempen ini, daftarkan diri anda di pautan berikut:
https://www.change.org/rakyat-bantah-arak