Kerajaan pintu depan atau belakang, mana yang lebih menepati syariah ?

1. Hukum akad pemerintahan banyak tertakluk kepada uruf semasa. Ini kerana ‘struktur dan cara’ pemerintahan termasuk dalam bidang ijtihadi yakni ia bergantung kepada maslahat-maslahat muktabar yang tertentu, bukan berdasarkan dalil syarak yang spesifik yang menetapkan bagaimana ‘cara pemerintahan’ itu dilakukan.

2. Uruf pemerintahan zaman khilafah terdahulu bergantung kepada umur khalifah, atau pengusirannya (dengan beliau dijatuhkan) atau seumpamanya. Uruf demokrasi di Malaysia pada hari ini menetapkan pada setiap 5 tahun penggal pemerintahan akan berlaku pilihanraya umum untuk menukar kerajaan. Itu adalah keadaan yang ‘normal’ dan ‘biasa’.

3. Sekiranya keadaan yang tidak normal sedang berlaku, maka suatu tindakan ‘darurat’ perlu dilaksanakan bagi menyelamatkan apa-apa yang perlu diselamatkan, dan mengembalikan keadaan kepada situasi ‘normal’ itu tadi.

4. Dominasi bukan Islam dalam pemerintahan adalah suatu keadaan yang tidak normal di dalam pemerintahan negara Islam. Ia adalah suatu kezaliman dan kemungkaran. Sekiranya kita mengikat diri kita dengan sebuah ‘uruf’ yang biasa digunapakai, namun dalam masa yang sama terpaksa mengorbankan banyak kepentingan-kepentingan umat Islam, hingga berlakunya dominasi bukan Islam dalam menentukan halatuju negara, maka itu merupakan satu kepincangan dalam menilai suatu keadaan secara syarak.

5. Kita biasanya masuk rumah ikut pintu depan, sebab itulah pintu masuknya secara tabie. Tapi kalau rumah tengah terbakar, nak selamatkan orang di dalam rumah, dalam masa yang sama pintu depan tengah terbakar, atau terkunci dengan mangga, atau seumpamanya, maka wajib pada ketika itu mencari apa saja alternatif untuk selamatkan orang dalam rumah, sama ada ikut pintu belakang, ikut tingkap hatta panjat beranda pun boleh.

6. Jika kita beralasan tidak boleh menggunakan pintu belakang kerana ‘wajib’ mengikut pintu depan, lalu kita biarkan ahli rumah yang terbakar itu kematian, maka kita akan dikategorikan sebagai orang-orang yang tidak waras.

7. Syarak menilai isu-isu semasa dengan melihat kepada unjuran dan implikasi yang akan berlaku. Ia bukan semata-mata melihat kepada sistem teknikaliti yang mengekang, kerana syarak adalah umpama roh yang hidup dalam segenap kehidupan manusia. Setiap implikasi akan dinilai syar’ie apabila ia menuruti ciri-ciri maslahat syarak yang diperakui oleh para ulamak, dan ia adalah satu maslahat yang rajih berbanding mafsadah yang akan berlaku.

8. Sebab itu di dalam Usul Fiqh, ada ungkapan yang menyebut ; “Apabila qiyas itu jelik, maka cantiklah pula istihsan”. Yakni, apabila penggunaan dalil Qiyas (secara kaedah asal) itu tidak mencapai maslahat, maka gunalah istihsan (yang juga disebut sebagai qiyas khafiy yakni melihat kepada maslahat di sebalik hukum) kerana dengan itu barulah dapat mencapai maslahat.

9. Demikianlah juga kisahnya dalam bab pemerintahan ini. Walaupun kita tidak menafikan kemungkinan bahawa akan berlaku beberapa kekacauan dan ketidakstabilan tertentu, tetapi bagi mengelakkan ‘abnormaliti’ itu berterusan, suatu tindakan perlu dilakukan.

10. Bentuk tindakan berbeza-beza mengikut dapatan dan pandangan masing-masing. Satu perkara yang perlu kita satukan terdahulu adalah ; kita perlu sepakat bahawa orang Islam mesti mendominasi pemerintahan. Kemudian baru kita pergi ke langkah seterusnya, sama ada nak ikut pintu atau tingkap yang mana satu.

Wallahua’lam.

Ustaz Syamil Esa

Majlis Ulama Isma (MUIS)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat