Sebentar tadi saya membuat perbincangan dengan beberapa rakan pensyarah yang merupakan mentor@FPBU USIM. Sengaja mengaktifkan semula group yang telah lama tidak berbunyi sejak PKP. Kami berbincang apakah cara kita boleh bantu pelajar yang berada di rumah sewa atau kolej kediaman. Saya mengatakan bahawa sebenarnya pelajar kita mungkin merasa kesunyian berada jauh daripada ahli keluarga dan menjadi kebimbangan sekiranya kesunyian ini menyebabkan mereka merasa tertekan dan murung.
Selalunya, pandangan segelintir masyarakat kesunyian adalah perkara biasa. Ah, mengada-ada sahaja sedangkan mereka tinggal bersama rakan-rakan di dalam rumah.
Mari saya betulkan sedikit pandangan tersebut. Kesunyian adalah satu keadaan psikologi, perasaan atau emosi sunyi ,rasa keseorangan walaupun ramai orang di sekelilingnya. Rasa sunyi sangat subjektif. Bahkan rasa sunyi boleh menerpa diri kerana merindui masakan ibu, tiada pergaulan sosial dengan ahli keluarga dan tidak melakukan rutin seperti biasa.
Kajian juga ada menyebut tentang “cultural loneliness” yang boleh berlaku dalam kalangan pelajar terutamanya yang berada di luar negara jauh daripada keluarga. Inilah juga hasil dapatan kajian PhD saya. Pelajar Malaysia di luar negara rindu dengan masakan malaysia (roti canai, nasi lemak), bertutur dalam bahasa ibunda, dan tentunya ibu bapa dan keluarga di malaysia.
Kesunyian sering dikaitkan dengan kerinduan terhadap kampung halaman (homesickness). Perasaan kesunyian boleh datang tiba-tiba apabila teringatkan rumah sendiri/kampung halaman. Sekiranya dibiarkan, individu akan merasa terlalu sedih, tertekan dan jika dipendam sendirian kesunyian boleh menyebabkan sesorang menjadi murung atau mewujudkan perlakuan antisosial (minum alkohol atau ketagihan dadah).
Kita juga tahu emosi yang tidak stabil boleh menyebabkan seseorang itu sakit seperti demam (selalu kita bahasakan demam rindu) dan menurunkan kadar imunisasi tubuh badan seseorang.
Oleh itu, penting untuk mewujudkan kembali sistem sokongan sosial dalam rumah dan masyarakat. Pelajar, pastikan anda menghubungi ibu bapa dan sebaliknya. Sibukkan diri dengan aktiviti bermanfaat dan rancang aktiviti seharian (bersolat jemaah,khatam quran beramai-ramai, memasak makanan kegemaran, jadi volunteer jahit PPE). Ambil masa untuk berbual dengan rakan-rakan, kongsikan perasaan anda (merasa sunyi adalah sesuatu yang normal). Jika perlu mereka dihantar pulang fikirkan caranya.
Fakulti Pengajian Bahasa Utama
Universiti Sains Islam Malaysia