Kontrak Sosial: Tidakkah Ucapan Ini Terang-Terang Mengandungi 3R Yang Dilarang Oleh Pihak Berkuasa?

Apa sahaja usaha samada secara langsung atau tidak langsung untuk mengubah status kontrak sosial yang menjadi asas utama dalam hubungan antara kaum di negara ini akan mengundang rasa marah dan tidak senang dalam kalangan orang-orang Melayu.

Belum selesai isu sekolah yang menolak penggunaan bahasa Melayu, isu kempen kewarganegaraan di Johor, kini muncul pula cadangan untuk memperbaharui kontrak sosial di negara ini.

Ke mana sebenarnya halatuju negara yang nak dibawa oleh kerajaan sekarang? Ucapan seperti ini menunjukkan menteri tidak faham sejarah dan asas dalam pembentukan negara. Cadangan ini secara tidak langsung adalah usaha terancang untuk mengubah etos dan identiti negara dengan acuan baharu.
Asas-asas utama dalam kontrak sosial yang memberikan kedudukan dan hak istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputera dan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan. Adakah cadangan oleh menteri bertujuan untuk ubah semua ini?
Persetujuan kontrak sosial boleh dilihat dalam Perlembagaan yang secara jelas memberikan kepada orang-orang Melayu/Bumiputera : tanah rizab Bumiputera; kuota dalam perkhidmatan awam; kuota dalam biasiswa; kuota dalam pendidikan awam; kuota untuk lesen perniagaan, dan kebenaran untuk memonopoli industri-industri yang tertentu, jika kerajaan membenarkan.
Antara asas kepada kontrak sosial adalah bagi melindungi dan mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu sebagai tanda terima kasih rakyat kerana atas perkenan baginda-baginda melepaskan banyak hak lain dalam sistem Raja Berpelembagaan.
Mana-mana pihak yang menimbulkan polemik dalam isu kontrak sosial adalah tindakan yang boleh mengundang konflik antara kaum dan mengancam keselamatan negara.
ISMA menyeru semua pihak terutama pemimpin-pemimpin poltik agar menghayati perjanjian asal kontrak sosial dan tidak menjadikan isu sensitif ini sebagai modal politik murahan.
Jangan sesekali berani untuk mencalarkan keharmonian negara dengan cadangan gila seperti ini.
Ustaz Shuhaib Ar-rumy Selamat
Presiden ISMA
14/6/2024

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat