IGuru mohon pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berikan kata putus berkaitan pelaksanaan tulisan jawi di sjkc dan sjkt untuk elak kekeliruan samada ia adalah pilihan atau wajib.
iGuru juga melihat pihak KPM perlu tegas dalam mengangkat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan menjadikan elemen mempelajari tulisan jawi sebagai warisan bahasa perlu diperluaskan bukan sahaja kepada kaum Melayu tetapi juga kepada bukan Melayu seperti Cina dan India.
Namun pengenalan tulisan jawi dalam Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran (DSKP) ke Sjkc dan Sjkt perlu mengikut kaedah pengajaran yang betul dan dipermudahkan terutama yang tidak pernah mempelajari tulisan tersebut.
Pihak KPM harus membezakan antara mempelajari tulisan jawi dengan tulisan khat. Tulisan khat lebih menekankan aspek estetika dan seni penulisan yang jauh berbeza dengan tulisan jawi. Ia seperti kita mempelajari bahasa cina yang berbeza dengan kaligrafi tulisan Cina.
iGuru berharap pihak KPM tidak tunduk kepada mana – mana desakan agar menghalang usaha memartabatkan tulisan jawi bahkan menggunakan pendekatan konstruktif dan koperatif dengan semua pihak bagi menyokong usaha ini dengan memberikan penjelasan yang jelas dan menambah baik DSKP yang sedia ada.
Ustaz Azizee Hasan
Pengerusi iGuru