Memaknai erti kemerdekaan pada hari ini menuntut segenap kudrat dan rasa peduli akan nasib anak bangsa yang bertuah ini. Acap kali kita mendengar slogan kemerdekaan, lagu-lagu patriotik yang didendangkan di corong radio tatkala memasuki bulan Ogos, seolah-olah itulah senario yang pasti kita jalani setiap tahun.
Namun, andai kita bertanya kepada diri, ‘Apakah makna kemerdekaan yang hakiki?’ Dari segenap pelosok kampung, hingga ke gemerlap sinar ibu kota, adakah masih ada para pemuda; pembawa obor harapan, pewaris identiti bangsa pada masa hadapan, yang sudi menabur budi, menyumbang bakti kepada pertiwi.
Marilah kita telusuri, menghayati kembali identiti bangsa dengan menghidupkan semula riwayat sejarah nenek moyang kita. Belia yang cintakan negaranya bukan hanya sekadar bermegah dengan bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Kota A Famosa, atau Tugu Negara sebagai monumen statik. Tetapi perlu serta menyokong usaha pemeliharaan warisan dan identiti di kota-kota raya.
Contoh usaha pemeliharaan warisan dan identiti di kota-kota raya boleh dilakukan dengan kempen kesedaran, mengiktiraf identiti negara sebagai warisan, menjadikan warisan negara satu kewajiban seperti kempen pemakaian baju batik pada hari Khamis dan mempromosikan warisan dan identiti negara di media sosial masing-masing.
Usaha ini penting kerana, pemeliharaan warisan dan identiti di kota-kota raya menjadi satu simbolik keseluruhan kehidupan bangsanya yang melambangkan ketamadunannya.
Warisan bukan sekadar bentuk fizikal atau bukan fizikal tetapi, membawa maksud sejarah, nilai, bahasa, pemikiran dan pengalaman masyarakat terdahulu. Apabila anak muda mengenali dan memahami warisan tersebut, mereka lebih memahami siapa mereka, asal usul dan nilai apa yang ingin mereka teruskan.
Justeru, denyut nadi pemeliharaan ini harus disematkan terlebih dahulu dalam jiwa anak bangsa; menyemaikan kesedaran dan pasak pemikiran bahawa warisan ini adalah identiti, bukannya sekadar artifak yang mati. Namun begitu, cabaran terbesar dalam melestarikan warisan di bandar-bandar moden kini bukan sekadar pencerobohan pembangunan fizikal, tetapi, ancaman hakisan jati diri dalam diri generasi muda. Apabila anak bangsa mula terpisah daripada akar sejarah dan identiti kotanya, mereka dengan mudah terdedah kepada pengaruh luar yang menghakis rasa cinta akan tanah air.
Tambahan lagi, pemuda yang terbelenggu akal fikirannya, sesungguhnya dia tidak kenal akan erti kemerdekaan. ‘Penjajahan’ pada alaf baru kini sudah pun berevolusi, corak berfikir belia diacu mengikut telunjuk asing dan anasir jahat. Inilah bentuk penjajahan pemikiran hari ini, menyelinap masuk ke dalam pemikiran dan jati diri belia. Lalu, muncullah golongan yang jahil tentang identiti diri hatta memandang serong akan perjuangan mendaulatkan bangsa.
Pun begitu, senjata paling ampuh untuk melawan penjajahan ini adalah ilmu. Belia yang mempunyai ilmu dan mengenal identiti dirinya; sebagai seorang anak bangsa yang berani dan bangga akan asal usulnya. Itulah sebaik-baik alamat cinta kepada tanah airnya.
Kuala Lumpur bukan sekadar sebuah kota bertatahkan batu dan simen, melainkan warisan bernyawa yang menuntut pembelaan oleh generasi belia hari ini yang berjiwa besar. Tanggungjawab memelihara identiti sejarah serta mencorak kemajuan masa depan ibu kota ini terletak sepenuhnya di bahu anak muda adalah generasi yang berani berinovasi tanpa membelakangkan akar budaya. Renungkanlah bait-bait indah Sasterawan Negara, Usman Awang yang berbunyi:
“Jika hari ini kita adalah penonton,
esok kitalah pembawa obor pencetus zaman.
Bukan sekadar mewarisi tanah air yang ada,
tapi membina esok yang lebih bermakna.”
Muhamad Farid bin Ahmad Puad
Timb. Pengerusi PEMBINA KL


