Lafaz makna Iftitah

Setiap hari, kita mengulangi visi melalui doa Iftitah. Ya, VISI kita. Kita sedar atau tidak pada setiap kali solat, kita telah berikrar kepada ALLAH bahawa semua aktiviti kehidupan kita daripada bangun tidur hingga tidur kembali adalah semata-mata untuk mencari redha-NYA. Adakah bacaan iftitah yang di lafaz selepas takbir pertama dalam solat hanya sekadar lafaz yang tanpa kita tahu dan dalami maksudnya? Banyaknya kerugian kita. Melafaz tanpa sedar maksud ayat yang sungguh sempurna ini. Insaf.

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku semata-mata kerana (mencari redha-Mu) Allah, Tuhan Semesta Alam.” (Al-An’am 6: 162).

Kita melafazkan ikrar di atas sekurang-kurangnya lima kali sehari, malah mungkin lebih lagi dalam himpunan solat-solat wajib dan sunat kita. Jika kita renungkan semula perbuatan harian dan niat kita, atas asbab apa kita melakukan aktiviti-aktiviti tersebut?

Terang lagi nyata, kita makan kerana lapar. Kita minum untuk hilang dahaga. Kita bekerja siang dan malam untuk sejumlah wang, untuk pangkat dan darjat. Kita keluar beriadah untuk kesihatan yang berpanjangan, untuk menjaga badan serta untuk kurus. Kita terlibat dengan bisnes untuk kaya-raya. Kita belajar untuk mendapat kerja. Kita berkawan untuk luaskan jaringan perhubungan. Kita berhias untuk kelihatan cantik di mata manusia. Kita berpolitik kerana nama.

Kita boleh senaraikan dengan mudah sebab musabab atas setiap perbuatan yang kita lakukan sehari-hari. Namun, tiada satu pun amal perbuatan yang kita kerjakan adalah atas nama ALLAH. Demi ALLAH. Kerana ALLAH. Kita terlalu leka dan asyik dengan dunia yang indah di mata ini. Ini jelas menunjukkan misi hidup kita atas dunia ini tidak jelas. Segala perilaku kita dikaburi oleh nikmat-nikmat dunia dan kebendaan semata-mata. Kita terlupa atau kadang-kadang terpedaya dengan harta yang kita ada, populariti yang kita kecapi dan pangkat yang kita kejarkan.

Jelas, kita lakukan banyak perkara dalam kehidupan sehari-hari kita bukan kerana ALLAH. Jadi, kita kena ubah. “Aku lakukan semuanya kerana ALLAH. Aku bekerja kerana ALLAH. Aku belajar kerana ALLAH. Aku tidur, aku bangun, aku makan semuanya kerana ALLAH. Walau untuk apa jua aktiviti sama ada berkaitan fardhu ain atau fardhu kifayah. Semestinya kerana ALLAH yang Satu, Yang Maha Esa lagi Berkuasa. Ingat, Kerana kita sudah berikrar dalam solat kita. Kita janji, kita buat semua kerana-NYA. Jangan kita khianati janji kita dengan Tuhan. Jangan ambil mudah janji kita dengan ALLAH.

Ya ALLAH, bantu kami untuk sentiasa mengingati-Mu. Untuk sentiasa mencari redha-Mu. Untuk mengejar Syurga-Mu. Untuk setiap gerak geriku, solatku, ibadahku, hidupku dan matiku semata-mata hanya kerana-MU.

 

Syahida Farhan binti Azha

Isma Seberang Perai (Utara) 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat