LGBT – Kedaulatan Mahkamah Syariah Dan Institusi Agama

Umat Islam di Malaysia telah muak dengan berita perlakuan tidak bermoral golongan minoriti puak LGBT yang seolah-olah dilihat mencabar kedaulatan Mahkamah Syariah dan institusi-institusi agama di Malaysia.

Pertubuhan Kerjasama Islam, Organization of Islamic Conference (OIC) berpendapat bahawa hak-hak golongan LGBT tidak mempunyai dasar perundangan dalam mana-mana instrumen undang-undang antarabangsa. Oleh yang demikian, anggota-anggota OIC telah membantah hak LGBT daripada diiktiraf sebagai hak asasi manusia.

Masyarakat Malaysia sangat sensitif dengan gaya hidup yang menyalahi tuntutan agama dan tatasusila budaya timur apatah lagi dengan perlakuan yang menyalahi tabi’e manusia (Mahfuzah, 2015).

Persidangan Majlis Raja-Raja kali ke-126 pada 13 Disember 1989 telah mengambil langkah pencegahan awal dengan memfatwakan LGBT sebagai perlakuan yang haram untuk diamalkan sebagai gaya hidup (Nur Hafizah et al, 2016).

Perundangan syariah juga menyediakan peruntukan undang-undang yang lebih luas bagi kesalahan-kesalahan yang melibatkan golongan LGBT.

Namun begitu, ianya tertakluk pula kepada had hukuman yang rendah dan terhad kepada pesalah laku beragama Islam sahaja.

Disebabkan ketiadaan undang-undang khas mengenai LGBT digubal oleh badan-badan perundangan, penguatkuasa dan pendakwaraya hanya bergantung kepada undang-undang umum, iaitu Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 dan Akta Kesalahan Kecil 1955.

Undang-undang jenayah syariah turut menyediakan peruntukan hukuman bagi kesalahan seks luar tabi’e. Seksyen 25 dan 26 Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 menetapkan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit, penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau sebat tidak melebihi enam sebatan atas sabitan bagi kesalahan liwat dan musahaqah.

Hukuman sebegini, adalah jauh lebih ringan sekiranya dibandingkan dengan peruntukan mengenai liwat dalam seksyen 377B kanun keseksaan. Tambahan pula, merujuk kepada kes yang telah diputuskan oleh Hakim di Mahkamah Syariah, sungguhpun hukuman maksimum bersifat ‘ringan’, didapati bahawa mahkamah tetap mengambil pendekatan untuk memberikan hukuman yang lebih rendah berdasarkan kuasa budi bicara kehakimannya.

Justeru, dicadangkan supaya pihak berwajib di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri mengambil tindakan bertindak lebih progresif dalam merangka dan meluluskan peruntukan undang-undang yang lebih spesifik dan eksplisit demi membanteras dan mengawal gejala LGBT daripada terus mencemari nilai-nilai agama, adat dan budaya masyarakat Malaysia.

Terkini, kita mendapat reaksi baik dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad yang memberi ‘lesen penuh’ kepada penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengambil tindakan terhadap transgender.

Ia bukan sahaja melibatkan tangkapan, malahan beliau memberi penekanan terhadap aspek tarbiyah dalam menangani puak minoriti tersebut sesuai dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Namun, peruntukan ini mendapat kecaman dan tentangan oleh Pesuruhjaya ICJ Ambiga Sreenavasan dalam kenyataannya menyatakan bahawa Menteri Agama mengabsahkan gangguan, diskriminasi dan kekerasan terhadap komuniti transgender ( Malaysiakini : 17 Julai 2020 ).

Kita semua berharap instistusi agama seperti badan penguatkuasaan di jabatan hal ehwal agama di setiap negeri tidak teragak-agak dalam menjalankan kerja-kerja mereka membanteras golongan LGBT agar peruntukan undang-undang yang selaras dengan qanun Ilahi dapat dilaksanakan dengan baik, tanpa campur tangan golongan berkepentingan demi memperkasakan kedaulatan mahkamah Syariah dan institusi agama di Malaysia.

Ustazah Madihah Binti A Rashid
Isma Seremban

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat