Syarikat Disney pada suatu masa dahulu terkenal dengan konsep rancangan mesra keluarga. Setelah berpuluh-puluh tahun membina legasi dan mendapat kepercayaan ibu bapa, akhirnya mereka mula menyampaikan ‘mesej’ dengan cara halus.
Pada tahun 2017, negara digemparkan insiden adegan homoseksualiti dalam filem animasi Beauty and The Beast keluaran Walt Disney.
Mutakhir ini pula mereka tanpa segan-silu mula mencabar kuasa Allah dan fitrah manusia dengan berikrar untuk menjadikan 50% karakter dalam filem-filem keluaran syarikat mereka mempunyai kecenderungan seksual yang sama.
Mereka akhirnya mengotakan janji apabila indoktrinasi ‘eligibiliti’ ke atas anak-anak berlaku sekali lagi dengan penerbitan kartun animasi, ‘Lightyear’ keluaran syarikat animasi gergasi itu.
Saya sendiri sangat terkilan kerana filem animasi Lightyear keluaran Pixar dan Disney merupakan lanjutan daripada filem Toy Story yang menjadi kegemaran ramai kanak-kanak seluruh dunia dan pernah mewarnai zaman kanak-kanak saya.
Malah, saya pernah menonton dan mengikuti perkembangan filem Toy Story bersama anak-anak sehingga sekuel keempat. Bagi saya semangat setia kawan watak utama iaitu Woody, patung kayu koboi dan Buzz Lightyear serta rakan-rakan banyak mengajar nilai positif sehingga saya sendiri ternanti-nanti sekuel seterusnya.
Malangnya, unsur homoseksualiti telah digambarkan dalam filem ‘Lightyear’ melalui karakter salah seorang space ranger bernama Alisha yang membina keluarganya bersama seorang perempuan, iaitu pasangan sejenis. Lebih kontroversi apabila keduanya berciuman dalam satu babak hingga membuatkan saya sebagai ibu rasa sangat terpukul dan hampa. Inilah bentuk penjajahan baharu yang sangat merunsingkan.
Betapa jahatnya agenda halus yang direncana musuh sehingga mereka sudah tiba ke satu peringkat rancangan kegemaran anak-anak kita dirampas demi membawa agenda ‘elgibiti’ ini jauh ke dalam hati nurani anak-anak kita.
Bayangkan, jika situasi ini dipandang enteng. Tidak mustahil anak perempuan kita punya rakan perempuan yang dianggap ‘teman tapi mesra’ hingga hubungan cinta sejantina mula dinormalisasikan. Maka tugas untuk menyelesaikan kebejatan ini menjadi lebih sukar dan mencabar. Allahuakbar.
Sebagai ibu bapa kita jangan tunduk kepada makar jahat mereka. Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mentarbiyah anak-anak sejak mereka kecil dan mencorakkan mereka sehingga lahir jati diri ampuh yang tidak tersirna dengan apa bentuk agenda jahat musuh Islam.
Nabi Muhammad ﷺ mengajarkan kita dengan bersabda;
كُلُّ إِنْسَانٍ تَلِدُهُ أُمُّهُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
“Setiap manusia dilahirkan ibunya di atas fitrah. Kedua orang tuanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi.” (Hadis Riwayat Muslim)
Kita yakin antara kaedah yang terbaik untuk merawat akar permasalahan ini bermula di rumah. Ibu bapa boleh hidupkan usrah keluarga untuk menyemai benih-benih Islam dalam jiwa anak-anak. Momen bersama keluarga ini boleh kita cipta ketika makan bersama, musafir dalam kereta atau selesai solat berjemaah. Pengisian yang singkat tetapi sarat dengan nasihat, tazkirah pendek, perkongsian hadis hatta teguran untuk ahli rumah pastinya akan membekas di hati anak-anak.
Selain itu, ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak mengikuti program luar sekolah yang boleh membangunkan jati diri dan membina lingkungan rakan-rakan yang soleh seperti program dwi mingguan yang dianjurkan Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM). Penglibatan anak-anak dalam program seperti in akan memberi nilai tambah kepada pembinaan jati diri anak-anak agar menjadi benteng pertahanan terakhir mereka berhadapan cabaran dunia luar seperti ‘elgibiti’.
Sebagai ibu bapa, kita juga perlu tegas dengan nilai-nilai kekeluargaan yang sudah kita bina. Jangan sesekali berkompromi dengan ideologi ‘elgibiti’ yang dipaksakan ke atas anak-anak kita melalui kartun dan animasi.
Dalam erti kata lain, hentikan segala bentuk sokongan terhadap filem luar yang sentiasa menyelitkan agenda halus musuh Islam dengan cara memboikot filem dan animasi seperti ini daripada tontonan anak-anak.
Kita juga sepatutnya sudah mula beralih mencari alternatif animasi yang lebih bersifat ketimuran dan nusantara dengan memberi memberi sokongan kepada animasi tempatan seperti Ejen Ali dan Omar & Hana serta banyak lagi.
Semoga Allah bantu ibu bapa sekalian untuk sentiasa berpegang teguh dengan al-Quran dan as-sunnah terutama dalam mendidik anak-anak pada zaman yang penuh dengan mehnah dan tribulasi ini supaya lahir anak-anak yang mampu membezakan perkara haq dan batil.
Cikgu Marini Binti Hassim
Ketua Biro Keluarga & Masyarakat ISMA Bangi