Pasaran politik Malaysia yang sudah sendat memerlukan idea baharu yang segar.
Sesuatu perkara yang perlu kita pelajari daripada politik barat yang berkecamuk, toksik dan anti-Muslim ini adalah kemunculan muka-muka ‘baharu’ dalam arena politik.
Di UK, kemunculan muka baharu ini bukan sahaja eksklusif untuk parti berhaluan kanan seperti Reform Party malah turut muncul dalam parti berhaluan kiri seperti Green Party (Green Party telah lama dalam arena politik UK tetapi baru muncul sebagai antara parti utama susulan kemenangan mereka dalam beberapa kerusi parlimen dalam pilihan raya UK yang lepas). Fenomena yang sama turut dirasai oleh negara-negera Eropah yang lain.
Pada pengamatan saya ada tiga perkara penting yang menjadi faktor utama kejayaan mereka meraih kepercayaan pengundi walaupun berada dalam pasaran politik yang begitu sempit dengan parti politik yang besar dan berpengalaman lama.
Perkara pertama adalah pengkhususan atau kepakaran. Kesemua parti-parti kecil yang muncul mampamerkan pengkhususan atau kepakaran mereka yang tidak didapati oleh parti-parti besar. Antara pengkhususan yang agak biasa kita dengar adalah alam sekitar, imigrasi, LGBT, dan lain-lain. Pengkhususan, memastikan parti-parti kecil ini dapat menumpukan tenaga dan usaha mereka. Pengkhususan ini juga menyebabkan mereka mudah untuk diingati oleh pengundi.
Kedua, pelaburan media. Analisis saya terhadap parti-parti kecil mendapati, 90% pelaburan mereka akan tertumpu kepada media khususnya mempromosikan pengkhususan atau kepakaran mereka. Tidak semestinya mempunyai media sendiri, tetapi melaburkan wang yang banyak bagi memastikan mereka mempunyai ‘air time’ di media-media utama. Media adalah senjata ampuh bagi sesebuah parti politik. Tanpa media, parti politik tidak mempunyai senjata. Mereka bergantung kepada ihsan orang lain.
Yang terakhir adalah ‘bold movement’. Kesemua parti-parti kecil ini tidak akan segan silu mempamerkan aksi berani mati atau berkorban bagi memastikan mereka ‘genuine’ memperjuangkan niche atau kepakaran. ‘Bold movement’ ini perlu dikaji oleh parti-parti kecil. Ia perlu hadir dengan strategi yang berperingkat supaya bilamana ‘bold movement’ ini dilakukan, mereka mendapat liputan dan impak yang maksimum. Antara ‘bold movement’ yang pernah dipertontonkan contohnya ketika Nigel Farage (Ketua Reform Party) meletak jawatan ahli parlimen untuk mencabar parti pemerintah untuk menumbangkannya di kawasan parlimennya sendiri.. Banyak lagi ‘bold movement’ yang boleh kita cari dan sebahagiannya agak ekstrem.
Cadangan saya, parti-parti kecil di Malaysia sepatutnya mempunyai ‘niche’ dan kepakaran seperti memperjuangkan hak pendidikan serta isu-isu pendidikan yang lain. Pendapat saya, mutakhir ini Malaysia tidak pernah lekang dengan masalah pendidikan. Daripada isu keciciran, standard yang semakin merundum, gaji guru KAFA sehingga ke bebanan guru. Masalah tidak pernah selesai. Sewajarnya isu-isu ini perlu diambil dan diperjuangkan oleh parti-parti kecil.
Pada kaca mata saya, Malaysia memerlukan perspektif baharu dalam dunia politik. Kita perlu keluar daripada kekaburan yang dicipta oleh aktor-aktor lama yang majoritinya lahir daripada rahim UMNO dan parti-parti pasca merdeka yang lain. Selagi mana aktor ini mencorakkan politik Malaysia, selagi itu Malaysia terperangkap dengan masalah sama tanpa penyelesaian tuntas.
Kita perlukan pemimpin baharu dan semangat baharu yang inginkan Malaysia menjadi kuasa dunia.
Muhammad Thalhah bin Kamarol Zaman
Aktivis ISMA UK-EIRE


