Malu kerana belum punyai zuriat? Suami hebat ini menjawab…

Saya ingin berkongsi suatu perkara yang biasa terjadi dalam alam perkahwinan, namun, bagi sesetengah pasangan, mereka menggangap ianya suatu masalah rumah tangga yang besar.

Tentang zuriat.

Anak merupakan anugerah yang tidak ternilai. Namun ada sahaja suami isteri yang masih belum dianugerahkan anak oleh Allah swt. Sesungguhnya yakinlah bahawa Allah belum mengizinkan. Itulah noktah penting yang setiap pasangan wajib sematkan di dalam hati.

Ada saja yang walaupun dah berikhtiar usaha bermacam cara dan rawatan. Namun masih juga belum dikurniakan anak. Maka berdoa dan berserah kepada Allah. Sedangkan Nabi Zakaria a.s pun meminta kepada Allah supaya dikurniakan zuriat, inikan pula kita orang biasa, seharusnya tidak putus meminta kepada Allah swt. Allah swt lebih mengetahui keadaan dan masa yang sesuai untuk menganugerahkan kita permata hati yang kita idamkan tersebut.

Tidak ramai yang betul-betul menginsafi akan matlamat untuk mendapatkan anak. Perkara ini juga harus jelas. Adakah mendapatkan anak hanya sekadar buah cinta kepada perkahwinan. Sampaikan kita kecewa dengan diri sendiri dan pasangan kerana belum ada anak. Itu hanya mengeruhkan keadaan. Sebenarnya kita tidak perlu bersedih malah seharusnya kita mempersiapkan diri dan rumahtangga untuk mencapai matlamat yang besar bila Allah kurniakan anak nanti. Ya, hanya masa yang menentukan. Berdoalah sentiasa.

Sudah tentu sekali, melihat orang yang mempunyai anak akan lahirlah rasa cemburu. Tapi penyelesaiannya sangat mudah. Buang sifat cemburu itu dengan mencurahkan kasih sayang kepada anak orang lain. Anak saudara, anak kawan, anak jiran tetangga dan mengikuti apa-apa program bersama anak-anak yang dianjurkan dalam masyarakat. Dari situ juga kita sememangnya telah belajar untuk memahami dan merupakan sebahagian dari persiapan untuk ada anak.

Dalam kehidupan kita ini juga, kita tidak dapat lari dari persoalan dan pertanyaan daripada orang sekeliling. Persoalan masih belum dikurniakan anak, pertanyaan dari ibu bapa, saudara mara, kawan-kawan dan jiran tetangga sedikit sebanyak menggugat jiwa dan perasaan. Kadang-kadang sukar bagi kita untuk menjelaskan dan menangkis pertanyaan tersebut. Walau bagaimanapun, pada saya ianya sangat senang dan saya hanya jawab, Allah swt belum mengizinkan, saya sudah berikhtiar dan sedang berusaha. Sekiranya kita tenang dan tidak beremosi, pertanyaan itu tidak langsung memberi tekanan dan impak negatif kepada diri malahan saya menganggap itu adalah sumber inspirasi untuk terus berusaha.

Untuk itu, jadilah kita pasangan suami isteri yang selalu mendekatkan diri kepada Allah, kerana hanya Allah-lah tempat kita meminta dan bergantung harapan. Jangan jadikan tempat atau cara kita berikhtiar berusaha sebagai tempat bergantung. Sebab kita akan kecewa sekiranya tiada hasil. Bila kita yakin dengan Allah dan bergantung hanya kepada-Nya sesudah berikhtiar, insyaAllah hati tenang dan sentiasa sabar.

Hidup kita bukan hanya untuk fokus kepada anak dan keluarga. Banyak lagi perkara lain yang memerlukan perhatian dan sumbangan dari kita. Seharusnya kita bersyukur kerana belum dikurniakan anak, mungkin banyak lagi hal-hal yang berkaitan dengan kita dan keluarga belum dipersiapkan atau diselesaikan. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan Bijaksana, Dia-lah sebaik-baik perancang dan penentu. Maka kita sebagai hamba hendaklah bersangka baik dan redha kepada Allah swt.

Oh ya, kenapa nak malu kalau belum ada anak? Sedangkan kita belum ada kesalahan-kesalahan dan dosa-dosa yang melibatkan anak. Renung-renungkan.

Ikhlas,
Mohd Norhafizudin
Aktivis ISMA Kuala Lumpur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat