Salam Jumaah Mubarakah kepada semua.
1. Pagi ini beberapa orang rakan di Indonesia berkongsi kisah beberapa masjid di Indonesia yang mempunyai konsep pengurusan masjid yang agak menarik. Di antaranya adalah:
– Masjid Jogokariyan, Jogjakarta
– Masjid Raya al-Falah, Sragen
2. Bila membaca perkongsian mereka saya simpulkan masjid-masjid itu berusaha untuk mengamalkan konsep yang berikut:
a. Masjid menjadi pusat aktiviti masyarakat; samada dalam bentuk aktiviti ibadah, dakwah, pengajian, sosial dan kebajikan.
b. Untuk menjalankan semua itu, masjid dibuka 24 jam untuk menerima segala macam tetamu yang datang untuk pelbagai tujuan; ibadah, berehat, mengurus diri, makan minum dan sebagainya.
c. Masjid menyediakan kemudahan fasiliti yang pelbagai kepada masyarakat sekeliling seperti kemudahan tandas yang banyak dan ruang istirehat bagi musafir.
d. Pengurusan masjid mempunyai database masyarakat setempat untuk pemetaan dakwah. Nama anggota masyarakat yang tidak solat, non muslim dan sebagainya ada di dalam simpanan mereka.
e. Masjid mengamalkan konsep ‘menggembirakan jemaah masjid’ dengan menyediakan pelbagai ta’lim ringan, memberi hadiah kepada anak-anak kecil yang datang ke masjid tetapi tidak mengganggu jemaah, jemputan kepada orang yang tidak solat untuk datang ke masjid dengan cara yang terhormat seumpama meminang, makanan percuma secara berkala untuk pengunjung (tiap jumaat atau tiap lepas subuh contohnya), ada atm beras untuk golongan yang memerlukan dan menjamin gantian kepada barang hilang di masjid.
f. Konsep yang paling menarik pada saya adalah ‘masjid saldo kasnya harus nol’. Ia bermaksud segala sumbangan yang disumbangkan oleh jemaah harus dihabiskan sehingga akaun menjadi kosong. Dari konsep itu, jawatankuasa pengurusan masjid akan sentiasa berfikir ke manakah hendak disalurkan setiap sumbangan dari jemaah supaya infak jemaah itu betul-betul digunakan dan tidak beku di dalam akaun sahaja. Mereka berpandangan bila jemaah tahu bahawa infak mereka telah disalurkan, maka jemaah akan berinfak lagi lalu masjid akan sentiasa menjadapat sumbangan tanpa putus.
3. Walau pun ia adalah konsep yang agak baru dalam pengurusan masjid di Indonesia dan baru beberapa masjid yang menggunakan konsep itu, manakala di Malaysia pula mungkin ia konsep yang agak janggal saya berpandangan sebahagian besar konsep itu adalah amat baik untuk diperhalusi dan dikembangkan.
Ke arah budaya Islam sejati
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Timbalan Presiden Isma