Dua kosong dua kosong
Dua digit angka yang begitu unik saling melengkapi
Kembar yang seiring dan bersama
Itulah angka yang Allah susunkan tahun ini buat kita (2020)
Tahun yang merencah segala rasa
Tahun yang penuh erti syukur, gembira bahkan khabar duka
Tahun yang murung, sakit bahkan mencengkam jiwa
Segala rasa saling kita hadamkan
Tapi hikmah dari-Nya tidak tergambar dek minda fikiran
Sungguh, apapun kehidupan dan fasa yang kita lalui
Pastinya kita belajar banyak hal yang mematangkan
Setiap daripada kita berbeza jalan cerita
Tapi ujian Allah tetap bertandang tanda kasih-Nya
Kuat tidak kuat
Tetap perlu kuat demi Allah
Lihat pada diri
Cubalah untuk mencari erti diri dan kehidupan
Hidup kita kosong atau terisi
Semua itu bergantung bagaimana kita mencorakkan dan memilih layar pementasan
Mahu bahagia?
Mahu bersedih?
Itu semua pasti ada
Jika ada ruang bahagia
Raikanlah sementara ia ada
Jika terselit ruang duka Menangislah untuk melepas rasa
Kemudian, terus bangkit.
Usah berlama-lama
Kita masih punya harapan
Teruslah berharap kepada Allah
Tanpa jemu
Allah sentiasa ada untuk kita
Yang pernah hadir dalam persinggahan
Telah menjadi sejarah dalam ingatan
Yang bermula dengan senyuman
Ada pengakhiran bernokhtahkan tangisan
Yang masih teguh berjalan
Tetap meneruskan walau seakan dirantai langkahan
Yang masih di zon keselesaan
Usah takut berganjak melalui alur ujian
Yang pernah berputus asa dalam fasa ujian
Allah tetap memilihnya bangkit menjadi hamba yang Dia rindukan
Hidup ini kawan
Terlalu banyak persoalan
Namun, tidak semuanya perlu kita persoalkan
Banyak bersoal tanya
Hanya membuat kita dalam tekanan
Sedangkan setiap ujian kita
Pasti akan ada hikmah tersirat dan jawapan
Kembali kepada Allah, Tuhan yang menguasai seluruh alam
Pohonlah kepada-Nya
Tanda Dia tempat mengadu tanpa sempadan
Tuhan yang selayaknya disembah dan meminta pertolongan
Nukilan,
Herlina Tarmizi