Membina keluarga sakinah di fasa PKP

Fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan virus COVID-19 ini mungkin merupakan fasa paling mencabar buat ibu dan ayah sekalian. Azam untuk konsisten bekerja dari rumah juga kerap kali tidak tercapai dengan sempurna. Namun, ibu & ayah haruslah melihat fasa PKP ini sebagai suatu anugerah yang tidak ternilai dan memori indah yang pasti dikenang sehingga bila-bila.

Kesemua anak-anak berada serentak di rumah, 24 jam sehari. Inilah masanya untuk kembali mengeratkan hubungan antara anak bersama ibu bapa dengan pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan daripada memasak, mengemas, bermain permainan in-door sehinggalah aktiviti yang paling penting iaitu menghidupkan kembali biah (suasana) solehah dalam keluarga seperti mendirikan solat berjemaah, tilawah Al-Quran, mentadabbur ayat Al-Quran dan hadis serta melaksanakan usrah keluarga.

Naib Presiden ISMA, Dr. Norsaleha Mohd Salleh dalam bukunya, Buku Panduan Hidup Berkeluarga, menyenaraikan empat ciri-ciri keluarga sakinah daripada Al-Quran dan Hadis iaitu:-

(1) Beriman dan bertakwa kepada Allah S.W.T.

(2) Wujud mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (mengasihani).

(3) Memelihara urusan agama dan akhlak.

(4) Memelihara kebersihan keluarga.

Tempoh PKP ini merupakan tempoh terbaik untuk setiap keluarga berusaha mencapai ciri-ciri keluarga sakinah ini. Para isteri, ibu dan anak-anak perempuan terutamanya, inilah masanya untuk kembali tangkas di dapur dengan menyediakan sendiri masakan untuk keluarga.

Selain itu, Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA menyarankan empat lagi kemahiran yang boleh digilap dalam diri anak-anak perempuan iaitu susun atur rumah, mencuci, menjahit dan berkebun. Manakala anak lelaki pula hendaklah diajarkan kemahiran membaik pulih, menjadi imam solat dan membimbing adik-adik mengaji, berkebun, mencuci serta manambah ilmu multimedia seperti reka grafik dan penghasilan video.

Semoga tempoh PKP ini dapat kita manfaatkan bersama seisi keluarga dan marilah kita berdoa kepada Allah S.W.T. supaya membebaskan negara kita dari wabak COVID-19 ini.

Dr. Norsyahida Mohammad
Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat