Mendepani COVID-19 melalui tarbiyyah ruhiyyah (siri 2)

Oleh : Kaslawati Binti Kassim

Jalan untuk menuju kepada ketinggian ruhiah terkandung dalam ketaqwaan yang tinggi kepada Allah SWT. Apa yang dimaksudkan dengan taqwa?

Taqwa adalah, Allah tidak ingin melihat kamu dalam larangan dan Allah tidak mahu kehilangan kamu dalam perintah. Taqwa juga bermaksud mencegah diri dari azab Allah dengan melakukan amal-amal soleh dan takut kepadaNya dalam sepi atau terang. Taqwa lahir dari keimanan yang dipupuk dari muraqabatullah, takut terhadap murka Allah dan mengharapkan limpah kurniaNya.

Para sahabat dan salafussoleh sangat mengambil berat dan memberi perhatian kepada taqwa. Mereka saling berusaha mencari hakikat taqwa dan salin bertanya untuk mendapatkan maknanya.

Saidina Umar Bin Al-Khatab pernah  bertanya tentang taqwa kepada Ubai Bin Kaab.

Lalu Ubai berkata, “Pernahkah engkau melalui suatu lorong yang banyak duri?”

“Ya,” jawab Umar.

Lalu, apakah yang engkau lakukan?”, kata Ubai.

“Aku bersungguh-sungguh dan berhati-hati”, kata Umar

“Itulah taqwa”, kata Ubai.

Bukanlah Saidina Umar r.a tidak tahu tentang taqwa, malah beliau adalah antara sahabat nabi yang sangat bertaqwa.

Terdapat empat cara untuk mencapai ketaqwaan yang tinggi kepada Allah SWT.

Mu’ahadah (berkhalwat/menyendiri dengan Allah SWT)

Mua’hadah merupakan ikrar janji oleh seorang mukmin kepada Allah SWT di alam roh, sebelum manusia dilahirkan ke dunia lagi. Kontrak janji ini terjadi ketika semua manusia berada di alam roh. Jadi wajar sekali seseorang tidak pernah merasakan bahawa dia pernah melakukan ikrar janji itu.

Kandungan surah Al-Fatihah yang kita ulang dan ulang dalam kita mendirikan solat, minima pada 17 rakaat setiap hari juga seharusnya mengingatkan kita tentang ikrar janji yang amat penting ini..

Ayat ke lima Surah Al-Fatihah mengingatkan kita tentang ikrar janji seorang mahluk dengan penciptaNya. “Hanya Engkau (Semata Wahai Allah) Tempat Kami Mengabdikan Diri (Sembah) Dan Kepada Engkau (Semata Juga) Kami Mohon Pertolongan.”

Ikrar ini mengandungi ketinggian dan kemantapan aqidah. Kita mengaku dengan keyakinan yang betul-betul tinggi bahawa tidak ada yang lain, yang layak disembah melainkan Allah SWT. Tidak ada yang lain tempat kita bergantung harap dan pertolongan kecuali hanya kepada Allah SWT semata.

Dalam suasana hari ini, manusia sejagat diuji  Allah dengan sejenis wabak yang dikenali sebagai Novel Coronavirus (2019 -nCoV). COVID-19, sejenis virus yang tidak nampak pada pandangan mata kasar tetapi menggoyahkan bukan hanya kita sebagai manusia malah kuasa-kuasa besar di seluruh dunia juga.

Jangkitan virus ini adalah sama seperti jangkitan selesema yang lain dan komplikasinya lebih teruk kesan dan akibatnya  badan yang lemah imunisasi badan. Wabak ini telah tersebar menjangkiti manusia, mengakibatkan angka kematian yang tinggi dan amat membimbangkan kerana penularannya begitu menakutkan manusia seluruh dunia.

Justeru, kita seharusnya betul-betul yakin bahawa wabak ini adalah ujian dan peringatan buat manusia yang datang dari Allah Yang Maha Agung, Yang Maha Berkuasa melakukan apa sahaja kepada seluruh mahkhlukNya. Sehebat mana jua seorang manusia, secanggih manapun sesebuah sistem dan teknologi, secekap mana jua pengurusan sesebuah negara dan organisasai kita perlu benar-benar yakin dan akur kepada Allah Yang Maha Berkuasa, Maha Agung, Maha Perkasa. Dialah Tuhan Yang Maha Pemberi Bahaya, Maha Pemberi Keamanan.

Dalam usaha mencegah penularan wabak ini, semua pihak perlu sensitif, bertanggugjawab, bersama berganding bahu dan saling bekerjasama. Peka dan patuh kepdada arahan pihak berautoriti dengan serius dan bersungguh-sungguh adalah sangat perlu dilakukan oleh segenap lapisan  masyarakat pada ketika ini.

Pada saat seperti ini, seluruh umat Islam sangat digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada Allah, berdoa dan bermunajat serta bertawakal dengan bersungguh-sungguh memohon bantuan daripada Allah SWT.

Angkatlah kedua tanganmu, pohonlah kepada Allah S.W.T  agar penularan wabak merbahaya ini dapat dibendung dengan segera. Moga Allah pandu langkah-langkah kita untuk tunduk dan patuh kepada ikrar kita pada setiap masa dalam menjalani kehidupan ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat