Apabila tiba musim pilihan raya, kita sering mendengar seruan supaya memilih pemimpin yang berintegriti, cekap dan berwibawa. Semua itu benar dan penting. Namun, Islam meletakkan satu asas yang lebih mendasar sebelum semua sifat tersebut, iaitu iman.
Mengapa?
Kerana dalam perspektif syarak, keadilan (’adl) bukan sekadar bermaksud tidak mencuri, tidak menipu atau tidak menyalahgunakan kuasa. Keadilan bermula daripada hubungan seorang manusia dengan Allah SWT. Sebab itulah para ulama ketika membicarakan syarat seseorang menjadi saksi, imam, hakim atau pemegang amanah, mereka meletakkan syarat ’adil. Manakala, asas kepada sifat adil itu ialah iman dan ketakwaan, bukan sekadar reputasi yang baik di mata manusia.
Seseorang yang benar-benar beriman sedar bahawa setiap perkataan, keputusan dan amanah akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Keimanan melahirkan kawalan dalaman (inner accountability) yang tidak bergantung kepada kamera, undang-undang atau pengawasan manusia. Apabila tiada siapa melihat sekalipun, dia tetap takut melakukan kezaliman kerana yakin Allah sentiasa melihat.
Hakikatnya, setiap daripada kita adalah pemimpin. Rasulullah SAW bersabda bahawa setiap orang adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang ayah memimpin keluarganya, seorang ibu memimpin rumah tangganya, seorang guru memimpin anak didiknya, malah setiap individu memimpin dirinya sendiri.
Apabila seseorang memimpin dirinya dengan iman, dia akan berusaha berlaku adil terhadap dirinya dan orang di sekelilingnya. Dia mengawal hawa nafsu, menunaikan hak orang lain dan menjadikan halal serta haram sebagai sempadan tindakannya. Kepimpinan yang adil bermula daripada kepimpinan terhadap diri sendiri.
Prinsip yang sama berlaku pada sebuah negara. Negara bukan sekadar sebuah sistem pentadbiran atau ekonomi, tetapi sebuah masyarakat yang dibentuk oleh nilai. Oleh itu, kita tidak boleh memisahkan iman daripada dimensi nilai, dan tidak boleh memisahkan dimensi nilai daripada dimensi kenegaraan.
Apabila iman dipisahkan daripada pemerintahan, ukuran baik dan buruk akhirnya berubah mengikut kepentingan politik, tekanan pasaran atau kehendak majoriti semata-mata. Integriti pula menjadi slogan yang berubah-ubah mengikut siapa yang memegang kuasa. Sebaliknya, apabila kepimpinan dibina di atas asas iman, nilai keadilan mempunyai sumber yang tetap, iaitu wahyu Allah SWT.
Namun, iman sahaja belum memadai. Islam juga menuntut kekuatan dan keupayaan. Nabi Yusuf AS berkata:
“Jadikanlah aku penjaga perbendaharaan negeri; sesungguhnya aku seorang yang menjaga lagi berpengetahuan.”
Baginda tidak hanya menawarkan kesolehan, tetapi juga kemampuan mentadbir. Demikian juga kisah Nabi Musa AS apabila dikatakan bahawa sebaik-baik orang yang diambil bekerja ialah yang kuat lagi amanah. Ertinya, kepimpinan Islam menggabungkan dua unsur utama iaitu amanah yang lahir daripada iman dan kompetensi yang melahirkan keberkesanan.
Atas sebab itu, apabila memilih pemimpin, seorang Muslim tidak sepatutnya hanya bertanya, “Siapa paling popular?” atau “Siapa paling pandai berpidato?” Sebaliknya, persoalan yang lebih utama ialah, adakah dia seorang yang menjaga agamanya, adakah dia mempunyai integriti yang lahir daripada keimanan, adakah dia memiliki ilmu, pengalaman dan kewibawaan untuk memikul amanah, adakah keputusan-keputusannya akan membawa masyarakat lebih dekat kepada keadilan yang diredai Allah?
Membina negara yang maju bukan sekadar soal membina lebuh raya, bandar pintar atau meningkatkan angka ekonomi. Negara yang benar-benar maju adalah negara yang dipimpin oleh manusia yang mempunyai kompas moral yang benar. Dalam Islam, kompas itu ialah iman, manakala arah perjalanannya ialah keadilan.
Maka memilih pemimpin Muslim yang berintegriti dan berwibawa bukanlah soal sentimen kaum atau slogan politik semata-mata. Tetapi, sebahagian daripada usaha memastikan nilai wahyu terus menjadi asas pembinaan masyarakat dan negara. Kerana apabila iman menjadi asas kepimpinan, integriti bukan lagi sekadar janji kempen, tetapi menjadi amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
Ustaz Khairul Fatihin Saedal Atas
Ketua Biro Tarbiyah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Nilai


