Menghayati sejarah penghijrahan Melayu – Antara alat dan matlamat

Memahami konteks tanah air mengikut sempadan aqidah

Setelah meneliti beberapa komentar di laman sosial beberapa tokoh pendakwah dan selebriti terkemuka baru-baru ini, saya pasti ramai juga rakyat Malaysia yang berketurunan etnik dari Indonesia, Borneo dan Indo-China merasakan bahawa apakah pentingnya mengimbau sejarah lama sedangkan kini semuanya digelar bangsa Melayu berwarganegara Malaysia. Kadang-kadang kita juga tidak mahu mengatakan bahawa kita adalah penduduk asal negara ini kerana dikhuatiri dinasabkan sebagai Orang Asli. Jadi kalau begitulah persepsi masing-masing, Melayu bukanlah penduduk majoriti negara ini, bahkan bukan penduduk asal, dan sama tarafnya seperti pendatang dari Tanah Besar China dan India. Jadi adakah penduduk asal ini sekadar Orang Asli semata-mata?

Mengupas isu ini, mari kita ambil contoh seorang yang mengakui dirinya berasal dari Kepulauan Jawa, saya pasti, dia mengetahui asal-usul pembukaan kota Jakarta yang terletak di Kepulauan Jawa itu. Nama asalnya Jayakarta, atau “Fatahillah” seperti yang diabadikan di dalam salah satu muzium yang berada di ibu kota Indonesia tersebut.

Sepertimana fakta sejarah, Kesultanan Melayu Islam Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Pada ketika itu, sempadan Kesultanan Melayu Melaka bukanlah sekangkang kera seperti negeri Melaka sekarang, bahkan menjangkau ke Sumatera, ke Singapura, ke segenap semenanjung Tanah Melayu mencecah ke Kelantan. Kepesatan Melaka juga menyumbang kepada penyebaran dakwah Islam merentasi sempadan taklukannya (termasuk kepulauan Jawa). Bahkan keadaan ini disimpulkan dalam rangkap pantun yang biasa kita dengar, yang menggambarkan terdapat kesinambungan antara Melaka dan Jawa:

Kalau roboh kota Melaka
Papan di Jawa kami dirikan
Kalau sungguh bagai dikata
Nyawa dan badan kami serahkan

Sememangnya selepas kejatuhan Melaka, kerajaan-kerajaan Islam kecil yang lain tertubuh untuk mengambil semula tanggungjawab jihad, dakwah dan ekonomi umat Islam di rantau Asia Tenggara. Di kepulauan Jawa sendiri, terdapat kerajaan Demak, Cirebon dan Banten. Panjanglah kisahnya, walau Kota Melaka jatuh, kota-kota jajahan takluk yang pernah berada di bawah naungan Melaka tidak memberi peluang kepada Portugis untuk “hidup” dengan aman.

Kembali berbicara tentang sejarah “Fatahillah”, kita tidak dapat mengelakkan satu nama besar iaitu Wong Agong Pasai ataupun Fadhillah Khan atau macam-macam nama gelarannya yang lain, yang merupakan tokoh pembuka kota Jayakarta dari jajahan dan serangan Portugis pada sekitar tahun 1527, beberapa tahun selepas Portugis menjatuhkan Melaka. Dikatakan Wong Agong Pasai merupakan anak kepada rakan Sultan Mahmud Syah, dan beliau berulang alik dari Jawa ke Melaka untuk bertugas menjaga keselamatan perairan Selat Melaka. Apakah kaitan seorang anak muda dari Kepulauan Jawa sibuk hendak menjaga keamanan satu wilayah Melaka, sekiranya dia sekadar pendatang asing? Ataukah sebenarnya ada sinergi dan kesatuan antara wilayah tersebut?

Membaca sejarah Melaka tidak boleh dipisahkan dengan kisah-kisah kesultanan Islam yang wujud selepas kejatuhannya.

Kini sempadan watan Islam di Asia Tenggara, terpecah-pecah dan disempitkan ke batas-batas geografi tertentu. Bahkan sejarah umat Islam juga disempitkan ke batas-batas waktu tertentu. Seolah-olah sejarah Jawa dan sejarah Melaka tiada perkaitan. Seolah sejarah Acheh tiada kaitan juga dengan Jawa. Sejarah Singapura juga tiada kaitan dengan Melaka.

Jadi adakah kerana batas-batas yang dicipta musuh Islam ini, kita menidakkan watan sebenar umat Islam? Bahkan kita juga terikut-ikut menyempitkan batas asal-usul diri kita mengikut sempadan geografi yang direka musuh, dan bukannya mengikut definisi yang kita pelajari dalam manhaj tarbiyah kita.

Lalu kita kata sekadar pelancong ke Kepulauan Jawa, atau mengakui diri kita sekadar pendatang dari sana.

Padahal wilayah umat Islam adalah satu dan tidak terpecah. Mereka juga bangsa yang berasal dari kawasan tersebut yang menerima hidayah Allah dan menjadikan Islam sebagai cara hidup mereka.

Suka saya ingatkan definisi watan Islam oleh Imam Asy Syahid Hassan Al-Banna, “bahawa batasan nasionalisme bagi kami adalah aqidah, sementara pada mereka (fanatik kebangsaan) batasan itu ditentukan teritorial wilayah negara dan batas-batas geografi. Bagi kami, setiap jengkal tanah di bumi ini, di mana di atasnya ada seorang Muslim yang mengucapkan kalimah syahadah, maka itulah tanah air kami.”

Siapakah penceroboh yang dimaksudkan?

Antara topik perbualan hangat di pelbagai medium maya juga, iaitu berkenaan lontaran ISMA tentang “Kedatangan pendatang Cina ke Tanah Melayu bersama penjajah British satu bentuk pencerobohan”. Ada pihak yang telah melihat isu ini dengan konteks yang tersilap lalu menyimpulkan bahawa tiada bezanya kaum pendatang dari Tanah Jawa dengan Tanah Besar China, dan menganggap pihak yang melaungkan sejarah asal usul sebagai “indoktrinasi yang sombong dan bongkak”.

Telah dijelaskan ISMA siapakah kaum Cina yang dimaksudkan, bukanlah Laksamana Cheng Ho dan sekalian orang dalam rombongannya, tetapi kaum kapitalis Cina yang masuk dengan perancangan rapi imperialis British. Dua golongan berbeza, dan dua “timeline” berbeza. Dua “batch” yang berbeza dari segi cara kedatangan dan cara asimilasi dengan masyarakat setempat.

Seorang Muslim, wajib baginya merasa sensitif, ingin bangkit, garang memberi amaran kepada orang-orang yang berfikrah sekongkol dengan imperialis yang pernah menjarah tanah air kita.

Kita telah mencapai kemerdakaan, kita telah pun memaafkan ketamakan mereka dan ingin mulakan hidup baru. Akan tetapi sekiranya ada pihak yang masih ingin membawa sifat dan sikap lama sebagai kolonialis, imperialis dan oportunis, yang tidak mahu menghormati teras-teras negara ini seperti kedudukan Islam di dalam perlembagaan, kedudukan institusi Raja selaku penaung Islam, dan juga hak-hak kaum asal (yang memberikan kelebihan kepada umat Islam), kontrak sosial, dan lain-lain aspek negara ini, memang kita persilakan mereka untuk mencari tanah lain, mengangkat kaki dan meninggalkan tanah air ini!

Adakah ini seruan yang dilarang Islam? Iaitu menjaga kedaulatan tanah air daripada propaganda yang menjauhkan ia dari jati diri Islamnya.

Ada juga lontaran yang menyatakan “mengapakah perlu bersikap cauvinis untuk melawan cauvinisme yang ditimbulkan oleh sesetengah golongan?” Hal ini dihuraikan dengan jelas oleh Imam Asy Syahid Hassan Al-Banna dalam syarah risalah Dakwah Kami:

“Doktrin “rasa bangga” terhadap bangsa yang seperti ini – dengan keadilan, keutamaan, dan kelembutan perasaannya tidak kita dapatkan pada ideologi mana pun kecuali dalam Islam yang hanif ini. Kita (umat Islam) adalah bangsa yang mengetahui secara persis bahwa kehormatan dan kemuliaan kita diabadikan oleh Allah melalui ilmu-Nya dan diabadikan dalam Al-Qur’an dengan firman-Nya,

“Kalian adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’rut, mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah” (Surah Aali Imran: 110)

“Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar rasul (Muhammad) menjadi saksi (perbuatan) kamu.” (Surah Al-Baqarah: 143)

“Dan bagi Allah-lah kehormatan, bagi rasul-Nya dan bagi orang-orang yang beriman.” (Al-Munafiqun: 8)

Sungguh berbeza sifat izzah kepada Islam dan tajarrud kepada Islam, berbanding sifat cauvinis yang bermaksud kefanatikan membuta tuli, kecintaan kepada bangsa tanpa ada talian hubungan dengan Allah, menidakkan serta mengambil hak-hak orang lain, bahkan ingin memadamkan apa yang telah menjadi kepunyaan orang lain dan menyatakan peraturan mereka sendiri, bahkan yang bertentangan dengan nilai Islam dalam membentuk hala tuju sesuatu masyarakat dan negara.

Memahami kepentingan kajian asal-usul sesuatu bangsa

Ada juga seruan untuk “tidak perlulah kita hendak menggembar-gemburkan dan berbangga dengan sibuk pertahankan siapakah penduduk asal negara ini, biar yang lalu itu berlalu, kita lihat masa hadapan.” Saya harap mereka ini, terutamanya golongan yang menggelarkan mereka sebagai Islamis, juga bersetuju kita menggunakan premis yang sama untuk Palestin.

Kaum Yahudi menggunakan alasan penubuhan negara Israel dengan menyatakan bahawa merekalah penduduk asal Palestin dengan menyatakan sejarah asal-usul Nabi Ibrahim, Nabi Ishak dan Nabi Yaakub yang signifikan dengan bumi Palestin. Tetapi dengan bijaknya sarjana Islam, seperti Dr. Azzam Tamimi sendiri menidakkan kenyataan tersebut.

Mengikut sejarah Palestin, Nabi Ibrahim berasal dari Iraq, walaupun berhijrah ke Palestin bersama isterinya Sarah dan anaknya Nabi Ishak, telah ada kaum Qan’an yang bermastatutin dan membentuk sistem masyarakat di situ. Walau berpangkat Nabi, namun baginda tidak menidakkan ketuanan kaum Qan’an di bumi Palestin. Sambungan dari itu, Nabi Yaakob dan 11 orang anaknya juga keluar berhijrah dari Palestin ke Mesir seperti yang diceritakan dalam Surah Yusuf. Jadi, sudah terang lagikan bersuluh, bahawa bangsa Yahudi (sekiranya mereka berkata mereka bernasab dari 12 anak Nabi Yaakob) bukanlah bangsa asal bahkan bukan penetap untuk satu jangka masa yang lama di Palestin.

Kajian mengenai asal-usul penduduk suatu tempat adalah sebagai wasilah penting untuk mempertahankan watan Islam. Apa yang berlaku kepada Muslim Rohingya di Arakan yang berpuluhan tahun bermati-matian mempertahankan hak mereka selaku penduduk asal wilayah tersebut. Namun kerana kekurangan kajian arkeologi dan bukti sejarah yang tidak tersusun, mereka senang-senang dituduh oleh Junta Myanmar selaku bukan penduduk asal, dan mereka cuba dihapuskan dari bumi Myanmar. Dan terdapat pelbagai wilayah yang diduduki oleh kaum Muslimin yang berhadapan dengan konflik yang sama seperti Muslim Rohingya.

Adakah kita bersetuju dengan lontaran yang menyatakan bahawa Melayu juga adalah pendatang? Adakah kita bersetuju bahawa kaum Melayu berasal dari salah satu wilayah di Tanah Besar China seperti yang dipamerkan di muzium di Singapura?

Sedangkan telah ada kajian yang mendalam serta mengambil masa puluhan tahun dari para sejarawan di Malaysia sendiri. Bahkan ada ramai juga sejarawan dari Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina dan Kemboja juga membawakan pembuktian yang sama. Mereka ini telah mengkaji pelbagai manuskrip, bukti-bukti arkeologi dan juga kajian sains melalui sains DNA dan genetik menyatakan bahawa Melayu merupakan penduduk asal di kepulauan Tanah Melayu, bahkan di sebahagian Asia Tenggara, dan juga ada yang kemudiannya berlayar dan berhijrah hingga ke benua Australasia, dan juga Afrika.

Pihak pengkaji Barat juga tidak mampu lagi untuk menidakkan kewujudan ini dan menamakan “racial stock” ini sebagai Proto Malay ataupun Deutro Malay. Sepertimana kita tidak terkeliru dengan bangsa Arab, sama ada mereka berasal dari Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Jordan, Mesir atau Yaman, sepatutnya kita tidak perlu terkeliru juga dengan siapakah bangsa Melayu, dan dari bahagian manakah mereka berasal, mereka sebenarnya rumpun yang sama.

Tuduhan menafikan asal-usul bangsa Melayu adalah tuduhan yang jahat. Lebih jahat lagi apabila kita menafikan hubungan yang intim antara bangsa Melayu dengan identiti Islamnya. Lebih-lebih jahat lagi apabila kita bersetuju untuk memisahkan sempadan ukhuwah yang telah banyak dipermudahkan oleh Allah dengan pelbagai persamaan seperti bahasa, makanan ruji, adat kebudayaan tertentu bahkan rupa dan warna kulit.

Besar implikasinya untuk menafikan hak kita ke atas harta kita sekecil-kecil pensil dan alatulis, apatah lagi tanah air tempat tumpah darah diri kita, serta nenek moyang kita.

Dakwah dan lingkungannya

Ada juga lontaran yang menyatakan “fokuslah kepada dakwah, mengapa ingin diketengahkan sangat sentimen sejarah yang akan melukakan banyak perasaan”.

Selaku orang yang berkecimpung dalam dunia dakwah, saya pasti sebahagian pemuka-pemuka laman sosial sangat menitikberatkan aspek dakwah dan islah sebagai solusi mengembalikan kegemilangan umat. Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan qudwah yang baik dan lengkap untuk memperbaiki masyarakat Arab. Islam yang sampai kepada kita sekarang ini merupakan Islam yang telah lengkap merangkumi 23 tahun wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah. Bahkan ia ditunjukkan lagi oleh generasi salafus-soleh tentang aplikasi Islam dalam kehidupan.

Dalam konteks hubungan dengan bukan Islam, ada yang memilih untuk mengambil metod seperti dakwah di zaman Mekah. Namun begitu janganlah dinafikan bahawa agama Islam ini telah diturunkan kita dengan sempurna. Di sana wujud konsep wala’ dan bara’ yang merupakan sebagai salah satu intipati penting dalam membataskan hubungan umat Islam dengan bukan Islam. Apa juga pendekatan yang kita hendak gunakan, pastikan fiqh dakwahnya betul, bukan sekadar mengikut emosi dan panduan akal semata-mata, lalu dihiasi dengan sedikit sebanyak dalil, dan beralasan sebagai “dakwah bil hikmah”. Ada yang menyatakan Nabi Musa juga menyampaikan dengan lemah lembut kepada Firaun. Namun terlupa juga dia kepada kisah Nabi Musa mencabar tukang-tukang sihir diraja Firaun, menarik janggut Nabi Harun kerana melihat kepada kegagalannya mengawal umatnya untuk mentauhidkan Allah dan menyembah lembu buatan Samiri.

Jangan sehinggakan ingin menggunakan hujah kepentingan dakwah kepada bukan Islam, sehingga kita keras terhadap rakan pendakwah yang memilih metodologi yang tidak sekapal dengannya. Dibesarkan sangat urusan menjaga hati mereka yang bukan Islam (apatah lagi yang membentuk pakatan menentang Islam terang-terangan) sehinggakan agak terlupa sebahagian golongan pendakwah ini kepada maksud firman Allah:

“Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu ibu bapa, anak-anak, atau saudara mara ataupun keluarga mereka.” Surah Mujadalah, ayat 22.

Dakwah Islam kita bukan bersifat apologetik, tetapi jelas menyatakan pendirian dan izzah terhadap intipatinya. Jadilah kita seperti Rabi’a Ibn Amir yang berhadapan dengan Panglima Parsi, Rustum:

“Allah telah mengutus kami untuk menarik keluar sesiapa sahaja yang dikehendaki- Nya daripada pengabdian kepada sesama hamba Tuhan kepada pengabdian kepada Allah sahaja, dari kesempitan dunia kepada keselesaan hidup dunia dan akhirat, juga dari kezaliman agama-agama lain kepada keadilan agama Islam.”

Allah melarang sifat merendah diri kepada kekufuran dan pejuang-pejuangnya seperti yang dihuraikan Syed Qutb berkenaan ayat:

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orarg-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Aali Imran, ayat 139)

Sejarah mengembalikan jati diri umat

Orang Melayu di Malaysia ini adalah orang yang paling “self-admitting”. Kita tidak malu mengakui anak bangsa kita pemalas, suka bercinta, suka berangan dan apa jua perkara yang disinonimkan dengan gejala negatif. Walaubagaimanapun, mengakui kelemahan yang ada pada anak bangsa kita bukanlah bermaksud perlu menafikan segala kekuatan dan peluang yang masih tersisa. Selaku orang yang berada di dalam gerakan Islam yang menjadikan dakwah dan tarbiyah sebagai tunggak, apa jua peluang yang boleh dijadikan wasilah untuk mengembalikan jati diri umat perlu digunakan sebaiknya.  Kita bukan menyeru bangsa Melayu (yang mana mereka inilah yang membentuk majoriti umat Islam di Malaysia) untuk mengamalkan asobiyah jahiliyah, seperti tarian kuda kepang, joget lambak, amalan rasuah dan seumpamanya. Tetapi ingin menyeru mereka berpaut kepada satu-satunya cara hidup yang menyebabkan mereka hebat suatu ketika dulu, iaitu dengan Islam.

Memang benar terdapat sebahagian umat Islam ini, yang mencemarkan maruah Islam, merosakkan identiti Melayu yang dekat dengan Islam, namun janganlah kerana nyamuk-nyamuk ini, kelambu dibakar.

Umat yang tidak mengenal sejarah akan menjadi umat yang terawang-awang mencari solusi yang belum pasti. Sedangkan Allah menjadikan sejarah sebagai suatu sunnatullah, untuk dikaji, diambil iktibar, dan diulang pakai mana-mana solusi yang berkesan buat umat.

Saya percaya di dalam pelaksanaan manhaj tarbiyah beberapa  gerakan dakwah, banyak menggunapakai bahan seperti Sirah Rasulullah, Kisah-Kisah Sahabat dan Tabi’ dan Tabi’in, Antara Semalam Dan Hari Ini syarahan Imam Asy Syahid Hassan Al-Banna. Bahan-bahan ini menjadi sumber rujukan penting untuk menyedarkan orang yang didakwahkan. Sepatutnya perkara ini dilihat sebagai satu titik persamaan dengan ISMA.

Menyedarkan umat tentang kepentingan sejarah adalah satu metodologi yang disarankan oleh Allah sendiri, seperti firman Allah kepada RasulNya yang bermaksud:

“Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.” Surah Hud, ayat 120.

Bahkan juga menjadi pesan dari Rasulullah sendiri berkenaan jangan mengulangi sifat dan sikap umat yang pernah diberikan kitab:

Daripada Abu Sa’id al Khudri RA, beliau berkata : Rasulullah SAW pernah bersabda : “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi SAW menjawab : “Siapa lagi kalau bukan mereka?” (Riwayat Muslim)

Musuh Islam sendiri, menyatakan kepentingan sejarah bagi umat Islam, seperti yang dikatakan oleh Moshe Dayan (1915 – 1981) seorang negarawan Israel :

“Faktor kegagalan umat Islam adalah kerana sifat malasnya, tidak mempunyai perancangan dan tidak mempelajari sejarah.”

“Sunnatullah” (peraturan Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi; dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu.” Surah Al Fath, ayat 23.

Norhidayah Ismail
Aktivis ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat