بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين وبه نستعين على أمور الدنيا والدين
والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى ءاله وصحبه أجمعين
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Pertamanya, segala puji bagi Allah Yang telah mengurniakan kepada kita semua taufiq dan hidayahNya. Juga Yang telah memberi peluang kepada kita semua untuk terlibat sama di dalam usaha mendaulatkan agama Allah di atas muka bumi ini.
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Fusilat: 33)
Sesungguhnya sebesar-besar nikmat kepada manusia adalah Islam dan iman. Dan sebesar-besar amal dan usaha manusia adalah menyambung usaha para nabi dan rasul dalam membawa manusia menyembah Allah dan meninggalkan taghut.
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. (An-Nahl: 36)
Selamat datang saya ucapkan kepada semua perwakilan, tetamu-tetamu kehormat dari institusi-institusi kerajaan, parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan, ahli-ahli akademik, pimpinan masyarakat, para pemerhati dan seluruh hadirin. Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum.
Buah delima masak merekah
Indah disusun sebagai hidangan
Hadir tetamu diiring barakah
Menyeri majlis membawa senyuman
Buluh perindu bersiul di hutan
Jadi petunjuk kembara jalanan
Ada bicara kami sembahkan
Apa yang kurang disimpan jangan
25 Tahun Yang Berlalu Pantas
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Tahun lepas genaplah usia Isma 25 tahun. Sambutan Jubli Perak yang dirancang pada tahun lepas terpaksa ditangguhkan ke tahun ini kerana bertembung dengan pilihanraya umum negara.
Saya mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan sejuta penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa pusat, para yang dipertua cawangan, seluruh ahli jawatankuasa serta semua ahli yang telah bertungkus lumus tanpa jemu merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti sehingga membawa Isma kepada pencapaiannya pada hari ini.
Banyak suka dan duka yang berlaku sepanjang 25 tahun ini. Kita masih beruntung kerana generasi awal yang mengasaskan Isma masih lagi wujud di kalangan kita dan masih aktif. Di masa yang sama kita juga menerima ramai kawader baru dari kalangan anak muda yang berpotensi. Mereka mula mengambil posisi kepimpinan di pelbagai peringkat di pusat atau cawangan.
Dari kecil bertatih dengan keahlian yang boleh dihitung dengan jari dan aset yang serba dhaif, kini Isma sudah mempunyai keahlian yang ramai, agensi-agensi yang banyak dan aset. Perkembangan yang berlaku bersesuaian dengan peranan yang semakin hari semakin membesar dan cabaran luaran yang semakin banyak. Membina organisasi dakwah agar setara dengan kekuatan kawan dan lawan adalah cita-cita yang tersemat sejak awal penubuhan Isma 26 tahun yang lalu.
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Kita berada di fasa di mana proses memindahkan kepimpinan dari generasi awal kepada generasi muda perlu dimulakan. Proses transisi dan pewarisan adalah satu proses yang sukar dan perlu kita lakukan dengan cermat. Sudah terlalu banyak pengajaran dari sejarah dunia silam dan sejarah gerakan Islam sendiri yang menyaksikan kegagalan dalam isu pewarisan. Isma mengambil langkah mengdokumentasikan secara tersusun segala gerakerja dan perancangan. Di samping itu Isma juga memberikan penekanan yang amat berat kepada aktiviti-aktiviti tarbiah ahli di pelbagai peringkat umur dan menyediakan agensi-agensi baru sebagai medan latihan kepimpinan secara praktikal kepada pimpinan muda. Semuanya adalah antara usaha ke arah memastikan visi dan misi besar dan utama Isma akan diteruskan oleh generasi seterusnya. Ini kerana Isma meyakini bahawa matlamat dakwah tidak akan tercapai sepenuhnya di satu generasi, sebaliknya ia adalah perjuangan berterusan generasi demi generasi.
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Walau pun masih jauh dibandingkan dengan matlamat yang ingin dicapai, tetapi di tahap tertentu banyak kemajuan yang telah terhasil. Ini semua adalah kurniaan dari Allah yang wajib disyukuri dengan meningkatkan lagi tahap iltizam dan istiqamah kita kepada ajaran Islam. Manusia cuma berusaha, keizinan datang dariNya secara mutlak tanpa kompromi. Rugilah jika kita mengambil sikap mendabik dada menyombong diri atas pencapaian yang terhasil hari ini. Lupa diri boleh membawa kita lari dari iltizam dan istiqamah. Bila Allah tidak lagi bersama, segala yang dicapai akan musnah sekelip mata.
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Di sini saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan samada tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang pengkhususan atau yang mewakili pelbagai institusi kerajaan, parti-parti dan badan-badan bukan kerajaan (ngo). Sokongan dan kerjasama dari anda semua juga telah menyumbang banyak kepada kemajuan yang dicapai oleh Isma pada hari ini.
Matlamat yang besar tidak akan mampu dicapai oleh satu pertubuhan walau sebesar mana pun saiz pertubuhan tersebut. Kekuatan yang ada pada seluruh ummah perlu digembeling bersama agar kekuatan itu berada pada tahap yang paling maksima dan tertinggi. Keikhlasan dalam persahabatan diharapkan akan terus mewarnai hubungan kita semua sehingga ke akhir hayat nanti.
Saya secara peribadi memandang rakan-rakan semua dengan pandangan hormat, menghargai setiap detik usaha dan pengorbanan yang anda semua lakukan untuk ummah.
أحسبه كذلك والله حسيبه ولا أزكى على الله أحدا
Cabaran di Fasa Baru Pelayaran Bahtera Isma
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Pada Mesyuarat Agung Perwakilan kali ke 17 pada 2021, Amir Isma telah mengisytiharkan perancangan jangka panjang 100 tahun Harakah Isma. Ia adalah satu fasa baru dalam sejarah Isma sendiri sebagai sebuah pertubuhan dakwah untuk memasuki satu medan baru yang lebih mencabar. Fasa ini juga boleh dianggap sebagai ‘miawiyah kedua’ (100 tahun kedua) bagi gerakan Islam setelah melalui ‘miawiyah pertama’ (100 tahun pertama) sejak kejatuhan Khilafah Islamiah Othmaniah.
Banyak yang boleh dirumuskan dari usaha-usaha 100 tahun pertama gerakan-gerakan Islam tempatan dan antarabangsa. 100 tahun berlalu dan ummah Islam telah melalui fasa pembinaan semula harapan ummah terhadap kemampuan agama untuk membina masyarakat dan negara. Juga berjaya bertahan dari diasak dengan proses normalisasi yang membawa kepada pencairan dan kemurtadan. Di atas sistem Barat yang merosakkan, gerakan Islam berjaya menyebarkan dakwah dan menyulam proses Islamisasi dalam bidang yang pelbagai.
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Fasa baru ini menuntut agar gerakan Islam maju ke depan keluar dari sekadar menempelkan Islam di atas sistem Barat. Apa yang kita panggil sebagai ‘islamisasi’ sudah menemui jalan tepu. Maka perlu ada langkah untuk membetulkan semula tasawwur peradaban Islam yang asli dan mempamerkannya dalam bentuk sistem dan budaya baru sebagaimana ia sepatutnya. Dan ini sudah tentu menuntut dari Isma jika sudah tekad mengambil keputusan untuk terlibat di dalam langkah besar itu, agar melakukan banyak anjakan.
Fasa baru ini menyaksikan perubahan dari sudut struktur dan gerakerja.
Juga perubahan dari sudut budaya dan disiplin kerja. Cabaran baru muncul dari sudut kesukaran pengurusan pasukan kerja secara kolektif dalam medan amal yang lebih menyeluruh dan mencapah. Juga cabaran dari sudut ujian terhadap tahap intelektual pimpinan dan ahli. Antara cabaran besar juga adalah dari sudut keperluan kewangan yang meningkat dengan tinggi untuk memenuhi segala tuntutan projek dan inisiatif baru.
Hari ini juga kita mengambil langkah untuk membincangkan usul berkenaan sedikit perubahan kepada perlembagaan Isma agar ianya mampu selari dengan keperluan dan tuntutan di fasa baru yang mendatang ini.
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Dua tahun berlalu dan permulaan fasa baru ini telah kita lalui bersama dengan lancar. Kelihatannya masing-masing memahami kehendak fasa baru dan mula membuat perubahan diri bagi menggalas tugasan yang diberikan.
Ia sememangnya satu cabaran besar terutamanya kepada pimpinan dan ahli yang berusia. Pengalaman yang kita pelajari sehingga membentuk cara fikir dan budaya kerja kita dipengaruhi oleh fasa awal Isma. Fasa baru ini pula menuntut satu bentuk perubahan yang agak besar dari sudut cara fikir dan budaya kerja. Jangan terikut-ikut cara lama di fasa baru ini kerana tidak semua cara lama itu sesuai lagi untuk dikekalkan.
Ia juga mungkin satu cabaran besar kepada pimpinan dan ahli yang masih muda. Dengan agihan tugas yang mencapah, banyak beban mula dipikul oleh orang muda yang mungkin masih bergelut dengan masalah kestabilan hidup dan keluarga. Juga terbeban untuk mula berani membuat keputusan-keputusan besar dalam medan amal yang berada di bawah tanggungjawabnya.
Di samping cabaran luaran yang juga tidak kurang mencabar disebabkan suhu politik tempatan dan antarabangsa yang panas terutamanya dalam 10 tahun terakhir ini.
Moga Allah mengurniakan kekuatan kepada kita semua untuk mengharungi fasa baru ini dan moga taufiq dan hidayah Allah sentiasa bersama kita dalam setiap langkah.
فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
“…kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Aali-Imran: 159)
Menajamkan Fokus Perjuangan
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Umum mengetahui bahawa pertembungan di antara haq dan batil adalah pertembungan yang melatari perjalanan sejarah dunia dari dulu hingga ke hari ini. Dari noktah itulah berlakunya pertembungan dalam menentukan konsep dan falsafah negara, ciri-ciri masyarakat, bentuk pembangunan, budaya dan adat resam, tingkah laku individu dan struktur komuniti serta lain-lain hal yang berkaitan.
Tidak ada apa yang diingini oleh musuh Islam kecuali memurtadkan ummah ini jika sekiranya mereka mampu melakukan itu. Walau pun di sana terdapat faktor lain dan matlamat sampingan seperti penguasaan ekonomi, tetapi matlamat mengeluarkan ummah Islam dari kehidupan beragama adalah apa yang diperingatkan oleh al-Quran kepada kita sejak dari dahulu.
وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا
“…Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka mampu (melakukan yang demikian)..” (Al-Baqarah: 217)
Barat mendominasi pertembungan dari era penjajahan hingga ke saat ini. Selepas fasa penjajahan fizikal, walau pun ummah Islam berjaya pada kadar tertentu mengukuhkan Islam melalui projek-projek Islamisasi di pelbagai bidang, tetapi apa yang berlaku di era Arab Spring menyaksikan bahawa apa yang dikehendaki oleh Barat masih akan berlaku. Pentas pertembungan dan peraturannya dikuasai oleh Barat menyebabkan akhirnya projek Islam menemui jalan tepu.
Apa yang berlaku di tanahair kita juga adalah perkara yang sama. Kemajuan yang dicapai oleh aktivis Islam pada 80an dan 90an sudah menemui jalan tepu dan tidak boleh maju ke depan melepasi batas yang ditentukan oleh pihak lain. Kita terus berpusing pada tahap pencapaian yang sama. Sebahagian ummah rasa selesa, dan tanpa disedari pencapaian itu sendiri apabila tidak boleh melepasi batas yang ditentukan akhirnya mula menurun sedikit demi sedikit. Islam itu tabiatnya sentiasa maju ke depan walau pun sedikit. Apabila sampai kepada titik tepu, ia akan menurun ke bawah mundur beberapa langkah ke belakang.
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Di sini perlu untuk kita bersama-sama menajamkan kembali fokus perjuangan kita.
Proses normalisasi adalah proses yang berlaku secara kuat di pelbagai peringkat; tempatan dan antarabangsa. Ia akan berakhir dengan pencairan prinsip yang amat dahsyat lalu membawa kepada pembinaan jiwa kalah di kalangan ummah Islam. Berpuas hati dengan apa yang ada di sekeliling disebabkan hilangnya idealisme dalam perjuangan atau kerana prinsip yang sudah tergadai.
Ummah Islam akan menerima keadaan dan situasi yang ada sebagai suatu yang normal dan tidak boleh diubah. Dan ini membawa kepada penyempitan perjuangan ummah dari perjuangan penegakan kalimah Allah secara syumul dan menyeluruh kepada perlumbaan menyelesaikan permasalahan kecil seperti ekonomi dan sara hidup atau perebutan kedudukan politik antara peribadi. Lalu seterusnya akan membawa kepada persaingan sempit dalam merebut habuan diri masing-masing memenuhi agenda peribadi yang hina.
Ummah yang berjiwa kecil dan tidak mempunyai wawasan besar, akhirnya menjebakkan negara ke kancah percaturan oleh pihak luar. Sumber negara dikaut tanpa sedar. Potensi ummah tidak dibangunkan dan terus menerus bergantung kepada tenaga luar. Ummah disibukkan dengan isu-isu ranting tanpa pergi ke arah akar permasalahan. Dan ini membuka ruang kepada konsep dan falsafah negara ditentukan oleh sesiapa sahaja dalam apa juga bentuk. Pembangunan negara jika pun ada akan menjadi suatu yang tidak pasti hujung bentuknya bagaimana. Budaya dan adat resam pula akan berubah tanpa disedari, jauh dari budaya dan adat resam mulia yang diimpikan.
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Dalam pertembungan di zaman moden ini, Barat mempromosikan pelbagai konsep negara moden dan ideologi-ideologi yang pelbagai. Berkurun di era penjajahan mereka berjaya memasak konsep-konsep ini ke dalam minda ummah hingga akhirnya diterima sebagai sistem dalam bernegara dan bermasyarakat. Konsep dan ideologi yang asing itu akhirnya diperjuangkan oleh sebahagian orang Islam sendiri dan dicelup dengan celupan Islam di luarnya.
Kesan dari itu adalah kaburnya konsep negara Islam. Cubaan untuk mempamerkan model negara Islam terganggu dicemari oleh konsep negara moden yang sudah disulami kononnya dengan Islam. Islam adalah agama syumul yang tidak menerima pemecahan kepada juzuk-juzuk kecil apatah lagi jika digabungkan dengan unsur-unsur asing dari ajaran dan ideologi luar.
Negara Islam bukan negara yang berdiri atas falsafah demokrasi walau pun rakyat ada suaranya di dalam negara. Ia bukan ‘nation state’ walau pun ia adalah negara yang menyatukan kepelbagaian ragam bangsa manusia. Ia bukan negara dalam bentuk yang dipromosikan oleh kumpulan radikal Islam walau pun itu yang cuba dipromosikan oleh dunia. Ia bukan sekadar negara hukum. Ia adalah negara Islam yang perlu ditakrifkan semula dengan sifat-sifat dan ciri-ciri kekuatan negara yang dikehendaki oleh al-Quran secara menyeluruh.
Kaburnya konsep negara Islam membawa kepada hilangnya mafhum ‘ummah Islamiah’ digantikan oleh konsep dan bentuk ‘bangsa’ dalam definisi Barat. Seorang muslim yang tinggal di mana-mana negara dengan konsep negara moden, intima’nya terbatas dan disempitkan kepada negara itu. Intima’ kepada ummah menjadi cair jika pun tidak hilang, kerana mafhum ‘ummah Islamiah’ itu sendiri tidak lagi jelas. Ciri-ciri dalam dirinya ditentukan oleh konsep dan bentuk ‘bangsa’ dalam definisi moden itu, tidak lagi ditentukan oleh mafhum ‘ummah Islamiah’.
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Kita perlu mengembalikan perjuangan kita ke arah penegakan al-haq; iaitu menjadikan penegakan kalimah Allah secara sempurna sebagai matlamat perjuangan. Membina ‘hayah Islamiah’ (kehidupan Islam) adalah matlamat dan ia diperlukan oleh seluruh manusia di dunia ini. Agenda perjuangan kita yang bersifat juz’ie seharusnya menuju ke arah penyempurnaan penegakan al-haq yang menyeluruh. Dengan itu, kerjasama dan penyelarasan dari semua pihak adalah satu cabaran yang perlu untuk sama-sama kita selesaikan. Saling ingat mengingatkan akan matlamat besar, mengurus kepelbagaian pandangan dengan bijaksana dan menyatukan tenaga ke arah yang sama.
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Al-Hajj: 41)
Ini adalah pilihan yang sukar kerana ia bermakna kita melawan arus dunia. Tetapi itulah pilihan yang ada pada kita kerana cubaan untuk membangunkan negara ini dengan formula campuran antara konsep dan falsafah Islam, Barat dan Timur telah ternyata gagal. Islamlah satu-satunya jalan penyelesaian. Meyakininya adalah keimanan. Bekerja merealisasikannya adalah kewajipan. Berpenat dalam mengusahakannya adalah jihad perjuangan. Hidup untuknya adalah kemuliaan. Dan mati kerananya adalah sebaik-baik pengakhiran.
Seorang penyair Arab pernah bekata:
أجدر الناس بالكرامة عبد تلفت نفسه ليسلم دينه
“Manusia yang paling layak mendapat kemuliaan adalah seorang hamba yang hancur dirinya agar selamat agamanya.”
Ummah Fadhilah
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Isma mengambil pendekatan membangunkan negara melalui projek dan inisiatif jangka panjang dari akar umbi permasalahannya. Isma ingin menghidupkan semula mafhum ‘ummah Islamiah’ di dalam minda dan penghayatan ummah menggantikan konsep-konsep bangsa yang diperkenalkan oleh Barat. Merealisasikan semula apa yang difirmankan oleh Allah tentang ummah ini:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ
(Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia…” (Aali-Imran: 110)
Isma memilih untuk terus memainkan peranan yang paling asas di dalam pembinaan negara iaitu dengan memberikan sepenuh tumpuan kepada pembinaan ummahnya. Negara yang kuat, maju dan berdaulat adalah negara yang dimakmurkan oleh ummah yang memiliki ciri-ciri khusus sebagai warga tinggi nilai dan bertamadun.
Di sini suka saya memperkenalkan satu istilah yang dipilih oleh Isma. Ia adalah istilah yang lebih menyeluruh untuk menggambarkan ciri-ciri ummah Islamiah yang ingin dibangunkan oleh Isma. Warga tinggi nilai dan bertamadun itu Isma namakan sebagai ‘ummah fadhilah’. Ia adalah warga tinggi nilai dan bertamadun dengan ciri-ciri berikut:
1. Beragama dalam pegangan, pemikiran dan amalan (ruh tadayyun)
2. Kebersamaan dalam membangunkan ummah melalui pembinaan institusi sosial
3. Contoh ikutan yang berani dan berwibawa (qudwah hasanah)
4. Bermaruah dan ‘Izzah membangunkan peradaban Islam
5. Bersatu padu dan bermuafakat membina kekuatan (bunyan marsus)
6. Ummah pencipta yang merintis kemajuan
7. Ummah dengan hidup yang berkualiti – sihat, sejahtera dan produktif
8. Berdikari dan bebas pengaruh asing (kemandirian)
Beragama Dalam Pegangan, Pemikiran Dan Amalan (Ruh Tadayyun)
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Ummah perlu dididik agar sentiasa merujuk dan patuh kepada agama dalam segenap aspek kehidupan. Satu bentuk kehidupan beragama yang syumul dari sudut tasawwur dan amalinya perlu diterapkan di dalam jiwa ummah. Kita tidak mahu masyarakat hanya beragama ketika berada di masjid dan surau, tetapi tidak di medan kehidupan hariannya yang lain.
Kita perlu menyemarakkan aktiviti-aktiviti yang akan membawa kepada penonjolan syiar-syiar Islam seperti kempen menutup aurat, ziarah menziarahi, budaya takaful, solat berjemaah, ibadah korban dan sambutan hari-hari kebesaran Islam. Begitu juga perlu disemarakkan usaha dalam membangunkan perlambangan yang akan mengukuhkan identiti Islam seperti senibina bangunan, pakaian dan tulisan.
Kita mengimpikan hidupnya minda bahawa semua perkara perlu dirujuk kepada amalan agama. Kita perlu menghidupkan sensitiviti iltizam dengan agama di dalam jiwa ummah sehingga ubudiah kepada Allah itu dapat ditejemahkan dalam kehidupan harian mereka secara sempurna.
وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
“Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”. (Al-Baqarah: 132)
Kebersamaan Dalam Membangunkan Ummah Melalui Pembinaan Institusi Sosial
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Islam adalah agama jama’ie dan ummah Islam adalah ummah yang bersosial. Institusi sosial paling kecil adalah keluarga. Dan banyak lagi institusi sosial lain dalam masyarakat Islam seperti masjid dan surau, komuniti penduduk, kelab, pertubuhan dan sebagainya.
Arus liberal menjadikan sebahagian manusia bersikap individualistik dan tidak peduli apa yang berlaku di sekelilingnya. Ditambah dengan perkembangan teknologi dan media sosial yang menjadikan masyarakat dari hari ke hari semakin kurang berinteraksi secara fizikal. Ini adalah penyakit masyarakat yang perlu dirawat kerana keadaan ini menjadikan masyarakat kita lemah.
Kita perlu berusaha untuk mengaktifkan institusi-institusi sosial di dalam masyarakat. Bermula dari keluarga kecil membawa ke keluarga besar dan seterusnya komuniti, masjid, surau, kelab, pertubuhan, kesatuan dan seumpamanya. Saling bekerjasama di dalam masyarakat adalah ciri ummah yang kita impikan.
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ
“…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa…” (Al-Maidah: 2)
Aktiviti-aktiviti perlu dirancang agar institusi-institusi sosial yang ada menjadi penyatu kepada kesatuan ummah. Juga perlu dusahakan agar ianya mampu berperanan di dalam mendidik ummah. Usaha-usaha islah akan berjalan dengan lebih berkesan jika ia ditangani oleh institusi sosial di dalam masyarakat setempat dibandingkan jika ianya hanya sekadar seruan umum sahaja.
Contoh Ikutan Yang Berani Dan Berwibawa (Qudwah Hasanah)
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Sejarah ummah Islam yang cemerlang satu ketika dahulu dilatari dengan kemunculan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang yang menjadi qudwah ikutan masyarakat. Tokoh-tokoh qudwah ini melahirkan suasana berlumba di dalam masyarakat. Masing-masing berusaha untuk menjadi yang terbaik di bidang mereka.
Suasana agak berbeza hari ini kerana yang menjadi ikutan anak muda dan anggota masyarakat adalah contoh ikutan yang rosak. Masyarakat berlumba untuk mencontohi ikutan yang rosak itu. Akhirnya ummah dari hari ke hari semakin lemah jiwanya dan pegangan hidupnya semakin rapuh.
Pertamanya, kita sendiri perlu memposisikan diri sebagai qudwah ikutan kepada masyarakat. Kita perlu belajar mmiliki ‘haloba’ untuk mengambil tanggungjawab mendidik dan memimpin ummah melalui qudwah dan lisanul hal. Selepas dari itu kita perlu semarakkan usaha menonjolkan tokoh-tokoh yang baik di dalam masyarakat agar mereka menjadi ikutan orang ramai. Jangan rasa berdosa memuji dan menaikkan tokoh kerana kita bersaing hari ini dengan cara itu.
Tokoh-tokoh qudwah ini adalah sebahagian dari ‘qaedah sulbah’ (tulang belakang) yang menjaga kekuatan ummah. Penerapan hayah Islamiah (kehidupan Islam) dan pendedahan agenda musuh akan mudah difahami oleh masyarakat melalui lidah mereka.
Bermaruah Dan ‘Izzah Membangunkan Peradaban Islam
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Kita perlu mendidik ummah agar mempunyai jiwa yang besar, kehendak yang tinggi, berdisiplin dalam mengawal diri, memiliki kesetiaan, kesiapsiagaan dan semangat juang. Ummah perlu menjadi cerminan hidup kepada seluruh manusia dalam penegakan makruf dan membenteras kemungkaran dan kezaliman.
Satu jurang yang amat jauh perlu dirapatkan di antara sikap ummah hari ini yang hanya berfikir dalam kerangka permasalahan runcit yang kecil-kecil dengan sikap sebenar yang sepatutnya ada pada ummah iaitu membangunkan peradaban Islam di atas muka bumi.
Kita perlu merancang dengan baik dan bersama membina bia’ah (persekitaran) yang baik, positif dan menaikkan semangat di dalam masyarakat. Penalaan tajuk-tajuk dakwah melalui lisan atau media sosial perlu diluaskan kepada tajuk-tajuk yang lebih menyentuh isu survival ummah dan pertembungan yang berlaku antara al-haq dan al-batil. Kita perlu berusaha dengan kuat sehingga topik perbualan di kalangan masyarakat tidak lagi berkisar sekitar hiburan seperti kisah artis bersalin, atau sekitar gosip politik yang tidak berkesudahan.
Bersatu Padu Dan Bermuafakat Membina Kekuatan (Bunyan Marsus)
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Satu lagi ciri penting bagi ummah fadhilah adalah ia adalah ummah yang bersatu dalam menegakkan kebenaran. Kita mengimpikan ummah dengan ciri yang disebut oleh al-Quran sebagai ‘bunyan marsus’, ummah sebagai binaan yang tersusun kukuh dan rapi.
Kita perlu mendidik ummah agar bersepakat di dalam perkara-perkara usul dan berlapang dada di dalam perkara furu’. Ummah juga perlu bijak di dalam menguruskan konflik di dalam komuniti di samping menjaga keharmonian dan integrasi bersama kaum bukan Islam. Kita tidak mahu ummah yang dilaga-lagakan oleh pihak luar disebabkan tidak ada kesatuan hati dan kesatuan agenda. Ummah apabila berbalah, akan hianglah kekuatannya.
وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ
“…dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu…” (Al-Anfal: 46)
Aktiviti-aktiviti yang merapatkan ukhuwwah dan merapatkan jurang sesama anggota di dalam komuniti perlu disusun sebaiknya. Dari situ potensi yang ada pada masyarakat akan dapat digembeling semaksima mungkin untuk memberi pulangan terbaik kepada pembangunan ummah.
Ummah Pencipta Yang Merintis Kemajuan
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Kita mengimpikan ummah yang mempunyai tahap penguasaan ilmu dan kemahiran yang tinggi. Berfikir berdasarkan epistemologi ilmu Islam yang tepat dan mampu membuat keputusan dalam hidup berlandaskan keseimbangan neraca wahyu dan akal. Ummah yang sentiasa belajar menimba pengalaman baru dari hari ke hari sepanjang hayat tanpa henti.
Ummah yang cerdik dan mahir membangunkan keluarga dan masyarakat seterusnya membina generasi akan datang. Ummah yang ada keupayaan survival diri yang tinggi dalam pengurusan keselamatan masyarakat sekelilingnya.
Ummah dengan tahap intelek yang tinggi, melakukan kerja dengan piawai dan itqan. Lalu menjadi ummah yang mencipta dan tidak sekadar hanya sebagai pengguna.
Ummah Dengan Hidup Yang Berkualiti – Sihat, Sejahtera Dan Produktif
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Kita mengimpikan ummah yang kuat, sihat dan subur (reproduktif). Ummah yang seimbang dari semua aspek; fizikal, emosi, intelektual, spiritual dan sosial.
Ummah yang hidup dalam persekitaran yang bersih dan tenteram, dihiasi dengan suasana dan budaya masyarakat yang saling peduli, berkasih sayang, menolak gejala tidak sihat dan menyuburkan perkara-perkara makruf. Ummah yang hidup dalam suasana kejiranan yang baik.
Kita mahu ummah yang menjaga kelestarian alam dan berhibur dengan cara yang sopan. Memiliki infrastruktur yang lengkap bagi sebuah penempatan. Gaya hidup yang sederhana tetapi seiring dengan perkembangan zaman.
Berdikari Dan Bebas Pengaruh Asing (Kemandirian)
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Kita mahu ummah ini mandiri, dengan erti mampu berdikari sendiri tanpa perlu bergantung kepada kuasa asing. Menguruskan sumber tanahair secara maksima dan membina rantaian ekonomi ummah khususnya rantaian bekalan strategik. Seterusnya ummah yang memiliki kuasa beli bagi menampung keperluan hidup yang berkualiti dan bebas dari monopoli kapitalis.
Kita mengharapkan ummah ini akan bangun secara progresif, dinamik dan berterusan dalam segenap bidang. Seterusnya berjaya menjalinkan kerjasama serantau dan serumpun dalam bidang ekonomi, pertahanan dan sebagainya.
Merebut Akar Umbi
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Membina ummah fadhilah dengan ciri-ciri itu bermaksud kita bersaing dengan pihak lain yang juga sedang menerapkan ciri-ciri yang mereka mahukan ke dalam diri masyarakat. Ia adalah usaha jangka panjang yang tidak akan dilihat kesannya dalam waktu terdekat sebagaimana pihak lain juga mengambil masa yang panjang untuk merubah rupa paras masyarakat kita sebelum ini.
Kita perlu bergaul secara aktif di dalam masyarakat setempat dan menjalinkan kerjasama yang strategik dengan tokoh-tokoh dan badan-badan setempat. Cabaran di fasa mendatang terletak banyak di bahu cawangan-cawangan kerana di cawanganlah berlakunya interaksi dengan akar umbi masyarakat. Jika pusat digambarkan seperti kepala, maka cawangan adalah kaki dan tangannya yang bergerak. Segala idea akan tinggal idea jika sekiranya cawangan-cawangan tidak mengambil langkah turun padang.
Cawangan-cawangan perlu mengambil langkah pro aktif dan jangan sesekali mengambil sikap menunggu arahan atau taklimat. Fahami polisi dan dasar umum serta plan strategi asas, kemudian lakarlah perancangan di peringkat cawangan mengikut permasalahan setempat.
Kita perlu masuk ke dalam masyarakat dengan minda mahu bersaing dan mempengaruhi akar umbi, bukan sekadar memberikan khidmat bakti yang tidak merubah rupa paras masyarakat. Perlu kental dan tabah. Perlu tekun dan tidak mudah jemu. Perlu bijak berhujah dan perlu meningkatkan diri sebagai qudwah amali kepada masyarakat.
Doa dan Harapan
Tuan-tuan, puan-puan para perwakilan, para pemerhati dan tetamu kehormat yang dimuliakan,
Jika ada doa yang ingin dipanjatkan kepada Allah, berdoalah agar Allah mengurniakan kepada kita taufiq dan hidayahNya sentiasa agar jalan yang kita pilih ini sentiasa berada di landasan yang benar. Seterusnya berdoalah agar Allah mengurniakan kepada kita thabat dan istiqamah sehingga kita bertemu Allah dalam keadaan tidak merungkaikan ikatan janji-janji kita kepadaNya.
Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong Allah, Allah akan menolong kamu dan menetapkan tapak-tapak kaki kamu,” (Surah Muhammad: 7)
أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
18 Mac 2023