SERDANG, 22 April – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan Kali Ke-18 (MATK-18) di Auditorium Jurutera Radin Umar, Universiti Putra Malaysia (UPM), dari jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang, dengan penyertaan perwakilan, pemerhati serta pimpinan dari seluruh negara.
Bertemakan “Membina Kepimpinan Nasional,” MATK-18 menjadi medan utama untuk menyelaras strategi dan memperkukuh kepimpinan organisasi ke arah pembinaan generasi pemimpin masa depan yang lebih tersusun dan berimpak.
Mesyuarat ini berfungsi sebagai platform tertinggi organisasi bagi membentangkan laporan strategik, menilai pencapaian semasa, membahaskan usul serta melaksanakan pemilihan kepimpinan baharu bagi sesi 2026–2028. Penekanan terhadap pengkaderan yang sistematik serta keperluan menangani isu kampus secara mendasar mencerminkan kematangan PEMBINA dalam merangka gerak kerja yang lebih strategik.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Mohd Nasrul Muhaimin bin Mohd Taib. Simbolik perasmian melalui gimik pembukaan melambangkan kemasukan PEMBINA ke fasa baharu yang lebih berfokus, strategik dan berorientasikan masa hadapan dalam membina kepimpinan nasional yang berwibawa.
Kemuncak sesi pagi adalah Ucapan Dasar Presiden oleh Ahmad Syahman bin Ahmad Tamrin yang menegaskan kepentingan keseimbangan antara dakwah, tarbiah, fikrah dan tanzim sebagai asas pembinaan organisasi yang holistik. Penegasan ini menggambarkan bahawa pembinaan kepimpinan memerlukan integrasi menyeluruh antara pembangunan individu dan kekuatan struktur organisasi.
Mesyuarat diteruskan dengan pelancaran laporan strategik, sesi perbahasan oleh perwakilan serta penyampaian anugerah penghargaan kepada pimpinan terdahulu dan penerima anugerah khas MATK-18. Antara anugerah yang disampaikan termasuk Anugerah Tanzim Cawangan Terbaik, Anugerah Tanzim Cawangan Berpotensi, Anugerah Tanzim IPT Terbaik, Anugerah Tanzim IPT Berpotensi, Anugerah Murabbi Terbaik, Anugerah Murabbiah Terbaik serta Anugerah Program Terbaik (MATK 2026).
Pada sebelah petang, mesyuarat memberi tumpuan kepada pembentangan laporan pencapaian dan kewangan serta perbahasan usul yang mencerminkan kematangan perwakilan dalam mengemukakan pandangan strategik dan kritikal.
Proses peralihan kepimpinan dilaksanakan melalui pembubaran Jawatankuasa Pusat sesi 2024–2026 sebelum diteruskan dengan sesi pengundian yang diuruskan secara tersusun oleh pasukan SPP.
Keputusan pemilihan menyaksikan pelantikan Abu Dzar bin Mohd Annuar sebagai Presiden baharu PEMBINA bagi sesi 2026–2028, berkuat kuasa mulai 18 April 2026. Pelantikan ini menunjukkan kesinambungan kepimpinan serta harapan untuk memperluas impak organisasi di peringkat nasional.
Dalam ucapan penangguhan, beliau menggariskan dua fokus utama iaitu memperkukuh pengkaderan dan kemenjadian ahli di semua peringkat serta memastikan setiap PEMBINA IPT mengenal pasti isu paling mendasar di kampus dan melaksanakan intervensi berimpak tinggi. Pendekatan ini menegaskan keperluan gerak kerja yang lebih fokus kepada penyelesaian akar masalah.
Selain pengisian utama, MATK-18 turut diserikan dengan persembahan nasyid, demonstrasi silat Hang Tuah serta sesi perkongsian bersama PACU yang membentangkan strategi pengkaderan melalui halaqah al-Quran sebagai asas pembinaan kader yang mantap dari sudut ruhiyyah dan fikrah.
MATK-18 mencatatkan penyertaan seramai 300 peserta yang terdiri daripada 122 perwakilan dan 178 pemerhati, tidak termasuk Jawatankuasa Pusat seramai 14 orang. Kehadiran ini mencerminkan komitmen tinggi ahli serta memperkukuh legitimasi keputusan yang dicapai.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh wakil Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) sebagai rakan strategik gerakan belia dan mahasiswa.

