Oleh Shuhaimi Shaedon
KUANTAN, 25 Dis. – Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Kuantan, Muhammad Imran Makki berkata pek sumbangan berupa makanan kering dan bahan cucian telah berjaya disampaikan kepada mangsa banjir di sekitar Kampung Kolek, Sungai Lembing walaupun perlu meredah lumpur dan selut di sepanjang jalan dalam keadaan hujan lebat.
Jelasnya, lokasi ini dipilih kerana kampung ini paling teruk dilanda banjir serta ditenggelami air setinggi dua meter selama dua hari.
“Situasi ini adalah lebih teruk berbanding dengan bencana banjir yang berlaku pada awal tahun ini.
“Ketika ini juga para penduduk masih melakukan kerja-kerja pembersihan seperti membuang barang-barang yang telah rosak serta membersihkan lumpur di halaman rumah,” ujar beliau yang juga merupakan Ketua Misi Bantuan Banjir di Sungai Lembing kali ini.
Demikian menurut beliau ketika ditemui di program Misi Bantuan Banjir 2021 anjuran Isma Kuantan di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, kelengkapan rumah penduduk kampung juga hampir semuanya rosak seperti barang elektrik, perabot, tilam dan lain-lain lagi kerana air banjir naik sehingga ke paras bumbung serta tidak sempat diselamatkan.“Pada ketika ini bantuan kewangan dan sokongan moral amat diperlukan untuk membina kembali kehidupan mereka kerana tekanan yang dialami selepas peristiwa banjir.
“Semoga usaha yang kami lakukan ini dapat meringankan sedikit beban dan ujian yang dihadapi oleh semua mangsa banjir,” kata beliau lagi.
Misi yang dijalankan dengan kerjasama Yayasan Ikhlas, Relawan Muda, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I- Medik) serta Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) Pahang ini telah melibatkan seramai 30 petugas dan sukarelawan termasuk yang datang dari jauh iaitu Dungun dan Kuala Terengganu.
Misi ini turut disertai oleh wakil Jawatan Kuasa Pusat (JKP) I-Medik iaitu Dr Rozanizam Zakaria dan Dr Ihsanuddin Abbas bagi memantau aspek kesihatan mangsa banjir.
“Jutaan penghargaan kepada semua petugas dan para sukarelawan yang turut sama menjayakan misi bantuan banjir kali ini.
“Juga termasuk Penghulu dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK), Kampung Kolek kerana sudi menerima kehadiran kami bagi menyampaikan sumbangan ke seluruh rumah yang terlibat.
“Moga lebih banyak bantuan yang dapat disalurkan hasil sumbangan orang ramai yang prihatin terhadap bencana banjir yang berlaku pada ketika ini,” harap beliau lagi.