Nasihat buat usahawan muslim yang terjejas akibat PKP

Saya berkawan dengan ramai usahawan muslim yang banyak menyumbang untuk ummah/masyarakat. Bila masuk fasa ketiga PKP, sudah tentulah ramai di antara mereka yang terjejas teruk pendapatannya. Bahkan ada yang terpaksa menutup bidang lama dan menukar kepada bidang baru. Cuma yang luar biasanya adalah, mereka menyokong PKP dilanjutkan.

Berkait dengan tulisan semalam (Rayulah Rahmat Allah di Sebalik Covid-19), di sinilah kita lihat kesan iman dan kefahaman Islam kepada seseorang manusia.

Rakan-rakan usahawan saya ini faham yang berikut dengan kefahaman yang mendalam:

1. Nyawa dalam Islam lebih penting dari harta. Menjadi kaya adalah suatu yang afdhal tetapi menjaga nyawa adalah kewajipan.

2. Maslahat (kepentingan) umum yang berkaitan orang ramai/masyarakat mesti diutamakan melebihi maslahat peribadi. Islam bukan agama yang hanya mementingkan individu, sebaliknya Islam adalah agama yang menjaga kepentingan bersama dalam masyarakat.

3. Rezeki di tangan Allah. Rezeki paling rendah adalah harta. Rezeki paling tinggi adalah iman. Nyawa dan kesihatan juga rezeki. Keluarga juga rezeki. Ketenangan juga rezeki. Mereka yakin dalam keadaan perniagaan terbantut, rezeki Allah dalam bentuk lain masih melimpah ruah.

مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ آمِنًا فِي سِرْبهِ ، مُعَافًى فِي جَسَدِهِ ، عِنْدَهُ قُوتُ يَوْمِهِ ، فَكَأَنَّمَا حِيزَتْ لَهُ الدُّنْيَا

“Sesiapa di antara kamu yang bangun pagi dalam keadaan dirinya aman, tubuh badannya sihat, ada makanan untuk dimakan hari itu, maka seolah-olah telah dikumpulkan dunia (seluruhnya) kepada beliau.”
(Riwayat at-Termizi)

4. Mereka tidak pernah lupa bahawa mereka pernah susah satu ketika dahulu. Dan mereka bersedia untuk susah lagi sekali bila-bila masa yang diperlukan. Siap siaga mereka tinggi. Mereka orang kaya yang ‘simple’, boleh naik BMW … dan bersedia balik ke Kancil.

5. Mereka sentiasa berharap dan berdoa kepada Allah agar belas kepada mereka dalam segenap ketetapan takdir yang Allah tetapkan atas perniagaan mereka. Boleh dilihat dari iltizam mereka dengan solat berjemaah, tilawah dan ibadah lain yang mereka lazimi dari dulu.

Maha suci Tuhan yang melepaskan hambaNya dari segala kesukaran
Maha suci Tuhan yang melepaskan hambaNya dari segala belenggu
Maha suci Tuhan yang mengeluarkan hambaNya dari segala kesedihan
Maha suci Tuhan yang mengetahui segala niat yang tersembunyi
Maha suci Tuhan yang mengalirkan air di sungai dan di laut
Maha suci Tuhan yang apabila berkehendak sesuatu ia berkata ‘kun’ lalu terjadilah ia
Maha suci Tuhan yang ditanganNya segala khazanah dan kepadaNyalah kembali segala urusan

Dengan kebesaran kuasaMu ya Allah, kami bermohon thabatkanlah rakan-rakan usahawan kami agar sentiasa rindu kepada syurgaMu dan takut kepada nerakaMu.

Jangan biarkan ya Allah dunia menghijab mereka dariMu. Jadikanlah pencarian mereka terhadap dunia hanya seumpama pencarian bekalan seorang pengembara menuju akhirat.

Wahai Tuhan yang mengubah keadaan dan hal, ubahlah keadaan mereka kepada keadaan yang lebih baik sebagaimana yang Engkau kehendaki

Allahumma amin ….

* gambar dilampirkan Tuan Haji Aminuddin Yahaya dan Tuan Haji Dollah Sani Suratman usahawan yang banyak penyumbang kepada pembangunan umat Islam.

 

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

Naib Presiden Isma

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat