BANGI, 27 Jun – Kelmarin Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz, dikatakan akan ke luar negara bagi membantu mendaftarkan persekolahan anaknya yang berusia 5 tahun.
Perkara ini mendapat perhatian rakyat termasuk Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA, Hajah Asma Ahmad yang menyifatkan tindakan itu seperti tidak ada rasa empati kepada pelajar dan guru-guru di Malaysia yang sedang menghadapi kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) dengan pelbagai rungutan dan keresahan.
Guru-guru pula bertungkus lumus mengadakan kelas dalam talian bagi memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Hajah Asma juga mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen itu yang lebih suka memilih luar negara sebagai tempat untuk anaknya belajar berbanding sistem persekolahan Malaysia.
“Memilih tadika di sana seolah-olah ingin meneruskan pendidikan sekolah rendah anaknya di luar negara. Adakah kerana beliau tidak yakin dengan sistem pendidikan negara kita?,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, jika menteri berkenaan mahu memberi pendedahan awal belajar bahasa Inggeris, betapa banyak tadika dalam negara yang menggunakan bahasa itu sebagai medium perantaraan.
Hajah Asma yang juga seorang guru mempersoalkan tentang pendidikan jati diri anaknya sepanjang berada di sana.
“Terdidikkah anak itu dengan nilai budaya ketimuran yang menjadi kebanggaan masyarakat kita? Beliau sebagai ahli parlimen yang mempengaruhi dasar negara sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat,” ujarnya lagi.