‘Nurse’ tudung labuh

“Macam mana awak istiqamah ya Herlina? Awak ni nurse. Tapi pakai tudung labuh, baju labuh.”

“Herlina dulu sekolah agama ke?”

“Macam mana Herlina boleh nak pakai tudung labuh ya?”

“Herlina jadi inspirasi sebenarnya, teringin nak jadi macam awak”

“Kak Herlina, doakan saya boleh mujahadah macam akak.”

“Hm.. Baik tak payah tutup aurat kan Herlina sebab yang tutup aurat pun kena ganggu dengan lelaki juga. Jadi sama je la.”

Semua soalan ini.
Soalan yang biasa ditanya oleh kawan-kawan. Saya menjawab dengan senyum bahagia. Bahagia sebab kebiasaan yang bertanya ni mereka sebenarnya ada keinginan untuk berubah.

Bermulanya ada keinginan bertudung labuh ketika saya berada di tingkatan 2 sekolah harian biasa. Saya suka melihat rakan-rakan dari sekolah agama. Setiap kali ada pertandingan kawad kaki peringkat daerah dan negeri.

Ketika itulah saya boleh melihat pelajar-pelajar sekolah agama datang. Sejuk mata memandang. Teruja sangat! Mereka sangat tenang dan dilindungi.

‘Oh, boleh je sebenarnya perempuan tudung labuh ni aktif’

Saya belum faham maksud ‘menutup aurat’ ketika itu. Hanya berniat untuk berpakaian labuh kerana rasa selamat. Bukan sebab ada kefahaman ‘perintah Allah’.

Apa yang membuatkan saya istiqamah?
Ceritanya panjang. Penuh mujahadah. Ada turun naik. Ada air mata yang selalu menemani. Ada kecaman yang perlu didengari. Ada ejekan yang hampir meruntuhkan hati. Hanya sujud merintih kepada Allah yang menjadi penawar agar dikuatkan jalan mujahadah ini.

1. Pada permulaan saya berubah, saya nak hadapi ujian-ujian Allah dengan tenang. Lagi-lagi sewaktu tingkatan 5. Kita calon SPM kan. Jadi, perasaan nak jadi semakin baik itu menebal. Saya pernah mengikat janji sekiranya Allah kurniakan saya cemerlang dalam SPM saya akan mula memakai tudung apabila berada di kampung, keluar rumah dan bertemu lelaki ajnabi. Kefahaman kita ketika dulu, tudung itu hanya di sekolah.

2. Saya bermula sedikit demi sedikit untuk bertudung labuh. Zaman sekolah adalah zaman saya bukan dalam kalangan keluarga yang berduit. Jadi, apa yang abah sediakan itulah yang saya pakai. Tudung sekolah yang dibeli pun saya tetas semula jahitan kedai lalu saya jahit sendiri untuk bagi labuh sedikit. Paling saya sayang adalah tudung hari raya pemberian mak cik saudara hanya kerana tudung tersebut bersaiz besar bidang 50.

Alhamdulillah itulah saat gembira dapat mengenakan tudung labuh. Saya betul-betul dapat memakai tudung labuh sekolah yang sempurna ketika saya pra – Universiti (Tingkatan 6) yang mana ada duit biasiswa setiap bulan saya gunakan sedikit wang tersebut untuk membeli kain tudung. Bertambahlah semangat saya untuk terus bertudung labuh.

3. Saya anak perempuan tunggal yang mana semua adik beradik saya adalah lelaki. Tolakan istiqamah memuncak setelah membaca hadis Rasulullah saw berkenaan anak perempuan. Anak perempuan boleh jadi asbab ibu bapa kita masuk syurga.

“Siapa yang diuji dengan kehadiran anak perempuan, maka anak itu akan menjadi pelindung baginya di neraka”.
(HR Ahmad).

Ketika ini, saya banyak berfikir. Besar sungguh peranan anak perempuan. Pastinya, saya menjadi harapan keluarga. Maka, saya nekad untuk menjadi anak perempuan yang menjaga aurat. Saya tidak mampu untuk menjadi lebih sempurna. Semoga dengan menutup aurat ini akan menjadi asbab untuk saya lebih menjaga peribadi dan akhlak.

4. Apabila kita sudah biasa dengan menutup aurat, kita akan berusaha sedaya mungkin menjaga aurat kita. Daripada tudung labuh, insyaAllah pakaian pun akan dilabuhkan, mula pakai stoking dan sarung lengan. Semua perjuangan kita ini indah sahabat! Rasailah hidayah Allah yang datang dengan penuh kemanisan iman. Berbahagialah kerana berusaha menggembirakan Allah.

5. Ujian menutup aurat paling besar ketika saya memulakan langkah dalam pengajian kejururawatan. Ia bukan bidang yang saya minati. Namun, saya telah ditakdirkan untuk menyambung pengajian dalam bidang ini. Melihat kepada pakaian seragam yang perlu dipakai dan biah yang tidak islamik menjadikan kehidupan saya seakan jatuh. Manakan tidak, saya telah berusaha untuk berperibadi Muslimah. Akan tetapi, tuntutan berpakaian seragam menyebabkan saya terbatas untuk menjaga pakaian agama. Apa yang saya mampu buat adalah melonggarkan pakaian seragam dan dilabuhkan bawah punggung. Pernah juga hampir bertelingkah dengan seorang tukang jahit yang tidak mahu melabuhkan ukuran seperti yang diminta. Paling saya kesal bilamana pakaian yang dijahit terlalu sempit dan tidak boleh dipakai. Saya pun tidak faham mengapa terlalu sukar untuk mengikut permintaan saya yang mahukan pakaian seragam dilabuhkan dan besar beberapa inci. Lalu, saya terpaksa mencari tukang jahit lain (yang boleh ikut permintaan saya). Tidak kisah harga mahal sekalipun asalkan saya dapat redha Allah. Walaupun orang kata nampak besar dan ada yang memperli, saya abaikan dengan senyuman. InsyaAllah saya yakin, satu masa mereka akan diam dan faham. Saya mahu maruah saya dihormati.

6. Redha Allah bukan redha manusia. Jika kita dulu pernah berniat untuk berubah kerana manusia. Tajdid semula niat kita. Sahabat, mungkin ada antara kita yang berubah kerana seorang lelaki yang menjadi inspirasi untuk kita berhijrah. Ada yang berubah kerana melihat selebriti wanita yang dulunya tidak menutup aurat kemudian tiba-tiba berubah. Ada yang berubah kerana mahu orang pandang kita baik. Ada yang berubah kerana betul-betul nak berhijrah tapi tersungkur semula setelah rakan-rakan lain mengungkit kisah lama dan tidak memberi sokongan. Ramai yang berpatah balik dipertengahan jalan dan mahu kembali ke dunia lama mereka.

Jadi sahabat, berubahlah kerana Allah. Apabila kita cuba mendekatkan diri ke arah kebaikan dan kita mula merasakan rakan-rakan semakin menjauh dan kita sendiri tetap berada di jalan yang kita pilih. Yakinlah Allah ada untuk kita. Kita kena rasa gembira apabila kita berubah untuk Allah dan Allah juga sudah tentu paling gembira dan bahagia kerana hamba-Nya telah bermujahadah demi Dia.

Sahabat-sahabat saya yang mengenali saya. Sahabat dan akhawat yang pernah hadir dalam kehidupan saya. Adik-adik yang pernah menjadi sebahagian kehidupan saya. Pastinya lebih tahu bagaimana berjuangnya saya dalam menegakkan prinsip wanita yang menjaga pakaian agama ini. Mujahadah yang sukar dan banyak tangisan. Namun, ia tetap indah setelah kita mendapat halawatul iman dalam mujahadah ini.

Nasihat saya buat semua. Bagaimana pun kita diuji, jangan pernah tanggalkan pakaian agama ini. Usah rapuh hatimu dengan nafsu dunia yang mahukan kita bermudah-mudah dalam menjaga aurat. Kadang terikut fesyen terkini dan keinginan untuk terlihat cantik sehingga sanggup mengubah gaya pakaian sehingga lupa redha Allah dan sanggup menolak tepi pandangan Allah demi menjaga pandangan manusia. Maruah kita mulia. Lahirkanlah kecintaan yang penuh kepada Allah swt dan RasulNya. Betapa perjuangan Rasulullah saw dan para sahabat telah menjadikan kita sebagai manusia yang kenal Allah swt. Perjuangan mereka yang mengangkat martabat dan kemuliaan seorang wanita. Islam datang untuk memelihara kemuliaan wanita. Maka, jadikan diri kita untuk menjadi salah seorang pejuang yang memelihara kemuliaan ini.

Apapun kerjaya kita, tetaplah izzah dengan pakaian syariat. Berusahalah menggapai keredhaan Allah swt. Jangan jadikan kerjaya penghalang untuk kita menjaga pakaian syariat. Hidupkan perjuangan srikandi Islam. Meletakkan Allah yang tertinggi dalam kehidupan. Di akhirat nanti, datanglah menemui Allah swt dengan senyuman bahagia atas perjuangan dan mujahadah dalam memelihara agama Allah swt.

HERLINA BINTI TARMIZI
Jururawat I-Medik Johor Bahru

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat