Oleh: Anis Sakinah binti Lokman Hakim
KEMAMAN, 16 Feb – Masa kini, pemilihan bidang dan institusi terbaik untuk melanjutkan pelajaran menjadi perkara yang terpenting bagi para pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM agar pilihan itu dapat menyesuaikan diri mereka di alam universiti serta dapat menjamin masa hadapan yang cerah kelak.
Atas kepentingan perkara tersebut, Kelab Remaja ISMA (KRIM) Kemaman telah mengambil inisiatif untuk memberi panduan mengenai halatuju pelajaran dan kerjaya kepada mereka dengan menganjurkan program “One Step Closer” bertempat di Lagoona Resort, Cherating semalam.
Seramai 22 orang peserta telah mendaftarkan diri untuk menyertai program ini.
“Program OSC akan memberi impak kepada para peserta kerana mereka akan didedahkan dengan cabaran-cabaran yang bakal mereka tempuhi di alam kampus kelak”, kata pengarah program, Mohd Syazwan bin Ghazali.
“Malah, melalui slot-slot yg dijalankan seperti “mock up interview” sangat membantu para peserta untuk meningkatkan kemahiran temuduga di masa hadapan”, sambung beliau lagi.
Kebanyakan para peserta berpuas hati dan memberikan maklum balas positif terhadap penganjuran program ini.
“Alhamdulillah, melalui program ini saya dapat memperbaiki dan mengetahui cara-cara dan bayangan temuduga yang sebenar untuk biasiswa serta dapat mengetahui kelemahan diri. Saya juga dapat berkenalan dengan ramai kawan baru dan dapat melihat dengan lebih jelas akan perancangan bagi masa hadapan di alam universiti kelak”, kata Ainulaaqelah binti Huzaifah yang telah dinobatkan sebagai Peserta Terbaik Perempuan di dalam program ini.
“Walaupun program ini berlangsung selama sehari sahaja, tetapi pelbagai ilmu dan penerangan yang diberikan dapat membantu anak muda untuk meningkatkan potensi diri”, ujar Ahmad Zahirul Azran bin Zakaria yang juga Peserta Terbaik Lelaki, berharap agar program seperti ini akan dianjurkan lagi pada masa akan datang.