Para ‘frontliners’ adalah murabitun, layak mendapat pahala jihad fi sabilillah

Para ‘frontliners’ adalah murabitun, layak mendapat pahala jihad fi sabilillah
Ini berdasarkan kepada takrif ribat secara istilah iaitu mempertahankan perbatasan umat dan negara daripada dimasuki musuh.

Ribat tidak tertakluk kepada tempat semata-mata, termasuk padanya adalah sempadan pemikiran (peranan para ulamak dan cendekiawan), dan sempadan keselamatan (peranan para tentera, anggota keselamatan dan anggota perubatan).

Pandangan ini selari dengan tafsiran Syeikh Sya’rawi terhadap ayat 60 daripada surah Al-Anfal :

“Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka (kuffar) apa sahaja yang kamu mampu, dari sudut kekuatan dan daripada ikatan tali kuda, agar kamu menakutkan musuh Allah dan musuh kamu”.

Beliau menyebut : “Ribat bukan semata-mata kekuatan ketenteraan sahaja, bahkan dengan kekuatan ilmu. Bahkan tidak boleh tidak kita mesti mempertahankan pemikiran dan manhaj (cara hidup) umat Islam daripada serangan musuh dari sudut pemikiran dan kerohanian”.

Oleh itu saya ingin nyatakan, saiz ribat perlu dilihat dari sudut makna yang lebih besar, iaitu apa-apa sahaja yang menjadi puncak maslahat bagi umat Islam, sesiapa sahaja yang menjaga perbatasan dan sempadan itu, maka dia dikira orang yang sedang melakukan ‘ribat’, dan boleh mendapat pahala jihad jika diniatkan untuk menjaga maslahat awam.

Sekiranya salah seorang daripada ‘frontliners’ itu terkorban, maka beliau layak mendapat ganjaran ‘syahid’. Mereka sedang mempertahankan umat ini daripada serangan dan penularan wabak, selayaknya mereka juga mendapat ganjaran setimpal dan pahala yang besar, bersesuaian dengan pahala orang-orang yang menjual dirinya kepada Allah SWT.

Moga Allah memberi ketabahan, kesabaran, kemudahan, keselamatan dan ketenangan kepada para frontliners, dan ahli keluarga mereka, serta mengurniakan mereka sebesar-besar ganjaran di sisi-Nya.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Syamil Esa
Penolong Setiausaha Majlis Ulama’Isma 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat