SEREMBAN, 14 Julai – Semalam, Mesyuarat Kedua Penggal Ke-3 Parlimen Ke-14 Parlimen Malaysia berlangsung dengan gamat akibat perang mulut antara ahli Parlimen.
Menurut Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGURU) Ustaz Azizee Hassan, Parlimen Malaysia bukan Zoo Negara tetapi adalah dewan yang mulia dan perlu dihormati.
“Sewajarnya Sidang Parlimen menjadi dewan yang mulia dan perlu dihormati, tetapi amat malang jika dewan ini dipenuhi sarkas dan badut politik yang penuh maki hamun,” katanya.
Sidang dewan menjadi ‘hangat’ apabila Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim mengatakan gelap semasa Kasthuri Patto Ahli Parlimen Batu Kawan berucap di dewan Parlimen Malaysia.
Bahkan beliau turut meminta mereka (Ahli Parlimen) yang gelap untuk pakai bedak.
Perkara tersebut menjadikan suasana di dalam dewan gamat, apabila Speaker Dewan enggan meminta Ahli Parlimen Baling menarik kata-kata tersebut.
Sidang Parlimen Malaysia dibuka buat pertama kali selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Perdana Menteri selepas Tun Mahathir meletak jawatan.