“Cikgu tolonglah bantu anak saya ni. Buatlah apa saja supaya dia boleh skor. Cikgu bagilah homework banyak-banyak suruh dia buat. Cikgu beli je apa-apa buku nanti saya bayar. Please cikgu, I’m begging you.”
Sebak hati bila dengar luahan ibu bapa begini. Yang mahu anaknya berjaya. Bersungguh-sungguh dia usaha. Takpelah berhabis wang ringgit asalkan anaknya cemerlang dan tidak tertinggal dalam pelajaran. Saya juga ada anak. Saya faham perasaannya berjuang demi mahukan yang terbaik untuk masa depan anak sendiri. Kadang sampai tak tidur malam memikirkan dan merancang pelbagai cara dan usaha. Tiada yang lebih menggembirakan hati ibu dan ayah bila mana dapat melihat anaknya berjaya dalam bidang yang diceburi seterusnya menjadi manusia yang berguna untuk masyarakat. Sikap ibu bapa pelajar ini sedikit sebanyak telah memberi saya aspirasi dalam memberikan pendidikan terbaik bukan sahaja untuk anak saya, bahkan kepada anak-anak remaja di luar sana.
Secara peribadi, saya suka mengajar. Mendidik seseorang daripada tak tahu kepada tahu, adalah satu kepuasan yang sukar untuk saya gambarkan perasaannya. Selama mana ilmu yang diberi terus dia manfaatkan, selama itu yang mengajarkan ilmu akan peroleh pahala. Tanpa putus. Jika dilihat dengan mata kasar, profesion sebagai seorang guru atau pendidik tidaklah menjanjikan habuan yang lumayan. Tetapi nilaian ilmu yang diberikan pastinya bukan suatu yang dapat diukur dengan wang ringgit. Dengan meramaikan golongan berilmu dan bermoral tinggi dapat melahirkan suatu peradaban yang digeruni.
Realitinya, mengajar ini bukan kerja yang mudah. Ianya memang memerlukan kesabaran yang maha tinggi. Tidak boleh sewenang-wenangnya meletakkan harapan tinggi si pelajar mampu menangkap dengan serta-merta apa yang diajarkan. Mengajarkan ilmu sahaja sudah meletihkan, ditambah pula berhadapan dengan kerenah pelajar yang 1001 macam ragam. Walaupun demikian, sebagai pendidik, doakanlah juga kebaikan untuk pelajar-pelajar kita. Sebab yang memiliki hati dan ilmu itu hanyalah Allah SWT. Kita ini hanyalah pengantara. Yang membenarkan ilmu itu sampai atau tidak kepada pelajar adalah Allah. Bila mana kita runsing dan buntu pelajar tak faham-faham apa yang kita ajar setelah pelbagai usaha dah dibuat, tadahlah tangan pintalah kepada Allah Al-Hakim.a
Hakikat yang ramai antara kita terlepas pandang, kemampuan seseorang menguasai ilmu adalah dengan izin dan berkat daripada Ilahi, bukanlah semata-mata kerana kebijaksanaan yang dimiliki. Konsep ini seharusnya setiap ibu bapa jelaskan kepada anak-anak. Didiklah anak-anak kita supaya sentiasa menjaga adab iaitu dengan menghormati dan menghargai usaha-usaha para guru yang mengajarkan mereka ilmu. Keadaan dunia hari ini yang berdepan dengan pandemik wabak COVID-19 telah menjadi penyebab segala pengajaran dan pembelajaran perlu dijalankan di rumah (PDPR). Para ibu bapa berperanan penting untuk sentiasa menyokong dan memberi semangat kepada anak-anak. Ingatkan anak-anak supaya jangan patah semangat dalam mengikuti kelas secara atas talian dengan sehabis baik.
Tidak dinafikan sistem PDPR adalah sangat mencabar. Bukan hanya anak-anak sahaja yang terkesan, bahkan ibu bapa turut merasai lelahnya. Baik daripada segi mental mahupun emosi. Jika serabut dan tidak tertanggung banyaknya kerja rumah dan sebagainya, tidak mengapa. Ketahuilah anda berhak untuk berehat. Ambillah beberapa ketika untuk bertenang. Jangan disebabkan PDPR, hubungan ibu bapa dan anak-anak menjadi tegang sehingga timbul konflik yang melukakan hati dan perasaan. Sebaiknya, buatkan jadual agar sesi pembelajaran anak-anak tersusun. Pilih waktu yang paling ideal untuk anak-anak belajar serta dalam masa yang sama, ibu bapa dapat memantau dengan fleksibel. Biarpun tempoh tersebut dirasakan pendek, biarlah asalkan ianya betul-betul dioptimumkan sebaik mungkin untuk pembelajaran.
Jika ada kemampuan daripada sudut kewangan, ibu bapa boleh mengambil khidmat guru bimbingan persendirian bagi membantu pembelajaran anak-anak. Langkah ini mampu memberi kesan positif dalam menambah kefahaman anak-anak terhadap satu-satu ilmu kerana terdapat sentuhan mengajar secara langsung dan berfokus antara seorang pengajar dengan seorang pelajar. Apabila anak-anak dapat menguasai sesuatu ilmu dengan baik, pasti mereka berasa bersemangat dan gembira untuk meneruskan sesi PDPR. Ibu bapa dan guru bimbingan juga perlu mewujudkan komunikasi dan kesepakatan bagi menjayakan pembelajaran si anak. Jangan kerana terlalu mengejarkan gred, ibu bapa sampai terlupa hendak meraikan fitrah anak-anak yang juga memerlukan masa untuk bermain dan berehat.
Saya sedar tidak semua keluarga yang berkemampuan untuk membayar khidmat guru bimbingan persendirian bagi mengajarkan pelajaran yang si anak lemah. Malah, ada anak-anak yang keciciran dalam arus PDPR hari ini disebabkan tidak mampu untuk memiliki gajet dan data internet. Situasi sebegini seharusnya membuka mata kita semua terhadap golongan susah yang sepatutnya kita berikan bantuan, bukannya dengan menghakimi mereka telah mengabaikan hal ehwal pendidikan anak-anak. Alhamdulillah saya menemukan beberapa badan-badan bukan kerajaan dan persatuan di komuniti setempat yang memainkan peranan dalam menyediakan kelas tambahan atau tuisyen secara percuma untuk anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan. Antaranya seperti Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU), Persatuan Bangun Bersama Kuala Lumpur (BBKL), Pusat BAKTI dan lain-lain.
Saya cukup berbangga dan kagum terhadap anak-anak remaja masa kini yang meskipun dihimpit dengan pelbagai cabaran daripada luar dan dalam, tetapi masih teguh dalam menimba ilmu. Tambahan pula bagi sesetengah pelajar, ada yang berasal daripada keluarga susah. Mereka menjadikan kesusahan yang dihadapi keluarga sebagai motivasi untuk lebih berusaha mendapatkan pelajaran. Mereka sedar bahawa dengan memenuhkan ilmu di dada dapat mengubah cara hidup mereka dan keluarga kepada yang lebih baik. Pandemik COVID-19 telah mengakibatkan ramai di antara kita yang terjejas pendapatan. Saya telah menemui beberapa remaja yang saya yakini masih di bangku sekolah, melakukan kerja sambilan seperti penghantar makanan dan peniaga di tepi jalan. Jauh di benak hati, saya mendoakan agar mereka semua dimurahkan rezeki, dilindungi Allah daripada sebarang anasir jahat serta dilapangkan dada dan diberi kemudahan dalam menuntut ilmu.
Akhir kata, setiap antara kita, bertanggungjawab dalam melahirkan masyarakat berilmu dan bersahsiah baik. Ibu bapa, guru-guru, jiran tetangga dan masyarakat secara amnya berperanan dalam memastikan anak-anak iaitu generasi muda mendapat pendidikan yang sewajarnya kerana kelak merekalah yang bakal mengemudi negara. Jangan kerana pandemik yang berlaku, kita jadi patah semangat lalu membantutkan misi ini. Empati pada diri sendiri. Seterusnya carilah sokongan untuk membantu diri bangkit kembali. Teruskan usaha mempersiap anak-anak kita dengan bekalan ilmu di dunia dan akhirat supaya kelak mereka dapat memakmurkan bumi ini dan seisinya.
Wannor Hanisah binti M Tajudin
Aktivis Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA KL dan Guru Bimbingan Persendirian