BANGI, 18 Jun – Lewat kini, media melaporkan beberapa siri tangkapan sindiket judi dalam talian membabitkan penipuan promosi pelaburan yang melibatkan warga China berselindung di banglo mewah berhampiran Georgetown, Petaling Jaya dan ibu kota Kuala Lumpur.
Perkara ini sangat-sangat membimbangkan dan menimbulkan pelbagai persoalan.
”Sehingga kini ratusan warga China telah ditangkap oleh pihak berkuasa dan semuanya terlibat dengan sindiket perjudian.
”Timbul persoalan bagaimana mereka boleh membolosi sempadan negara dan siapakah dalang di belakang mereka ini?,” ulas Azib Asmangi.
Soal Ahli Jawatankuasa Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) ini lagi, jika laporan audit negara yang menyebutkan 95 peratus daripada pelancong China ini tiada rekod keluar, adakah sebahagian daripada mereka terlibat dengan kerja-kerja kotor seperti perjudian, pelacuran dan gangsterime di dalam negara.
“Ini juga bermaksud lebih 1 juta warga China terus menetap di sini dan mungkin terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu secara tidak sah,” katanya.
Sementara itu, Harian Metro melaporkan melalui tangkapan tersebut terdapat warga China berkenaan memasuki Malaysia pada Januari lalu iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dengan menggunakan pas lawatan sosial.
”Tahniah kepada pihak polis atas tangkapan-tangkapan yang dibuat. Jika boleh polis dan rakyat terus bongkar kebanjiran warga China secara tidak sah dalam negera kita ini.
”Semoga Allah membantu kita semua untuk membina semula negara yang berdaulat dan berpegang kepada prinsip kenegaraan,” katanya lagi.