BANGI, 28 Jan – Punca utama berlakunya lambakan unit kediaman yang tidak terjual sehingga mencecah nilai RM42.49 billion di Malaysia adalah akibat para pemaju yang membangunkan projek perumahan tanpa melihat kepada jumlah permintaan dan sasaran pasaran yang betul.
Menurut Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ir Hj. Muhammad Lukman Al-Hakim Muhammad lagi, permintaan yang tinggi bagi sektor perumahan ini adalah untuk unit kediaman kos rendah dan sederhana tetapi para pemaju tidak ambil peduli kerana pasaran tersebut tidak memberikan keuntungan yang besar.
”Kita semua maklum model ekonomi berasaskan permintaan dan pengeluaran (supply and demand) yang turut digunakan dalam industri pembinaan.
“Persoalannya, jika para pemaju tahu permintaan terhad dan unit kediaman sedia ada yang tidak terjual masih tinggi (oversupply), kenapa mereka terus membina unit kediaman baharu?,” soalnya yang bekerja dalam sektor gas dan minyak.
Ujarnya lagi, pemaju terus membina unit kediaman mewah walaupun masih banyak unit yang tidak terjual hal ini mungkin disebabkan berlakunya ‘money laundering’ dalam industri pembinaan unit kediaman di Malaysia
“Ini bermaksud, para pemaju membangunkan projek perumahan bukan untuk memenuhi permintaan pasaran atau membuat keuntungan, tapi sekadar ‘membersihkan dana’ yang diperolehi dari urusan perniagaan haram yang bersalahan dengan undang-undang negara,” katanya.
Tambahnya, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menguatkuasakan undang-undang terutamanya bagi memastikan undang-undang berkaitan anti-money laundering turut mencakupi industri pembinaan di Malaysia.
Jika tidak, pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan akan jadi sia-sia termasuk Dasar Perumahan Nasional 2.0 (2018-2025) dan pelbagai insentif yang diperkenalkan untuk mempromosi pemilikan rumah dalam kalangan rakyat .
”Kita harus belajar dari beberapa negara maju dunia lain contohnya Australia yang turut bergelut dengan isu yang sama. Sebagai contoh Credit Suisse menjangkakan pada tahun 2015, lebih USD60 billion dana dari China yang tidak dapat dipastikan sumbernya akan masuk ke pasaran hartanah di Australia sehingga tahun 2020,” ujarnya lagi.
Astro Awani melaporkan, kediaman kediaman siap dibina tidak terjual terus meningkat pada suku ketiga 2020 kepada 57,390 unit yang terdiri daripada kediaman konvensional, pangsapuri servis dan pejabat kecil pejabat rumah (SOHO).