JITRA, 15 Jun 2026 – Pembinaan Ummah Fadhilah memerlukan lebih daripada sekadar pelaksanaan program kemasyarakatan, tetapi menuntut lahirnya pemimpin yang memiliki karakter unggul, mampu menjadi qudwah kepada masyarakat serta memimpin komuniti berasaskan kefahaman Islam yang sahih dan menyeluruh.
Perkara tersebut menjadi fokus utama Pemukiman Murabbi Ummah yang berlangsung di Dewan Masjid Al-Fateh, Tanjung Pauh, Jitra dengan penyertaan seramai 23 orang penggerak komuniti dan aktivis masyarakat pada 6 Jun lalu.
Melalui slot “Konsep Ummah Fadhilah” yang disampaikan oleh Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Shahier bin Sa’min, menerangkan bahawa kekuatan sesebuah masyarakat bermula daripada kualiti pemimpin yang membimbingnya.
“Cabaran utama yang dihadapi masyarakat hari ini ialah kekurangan individu yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan kefahaman Islam yang jelas, malah mampu menterjemahkannya melalui akhlak, kepimpinan dan khidmat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa seorang Murabbi Ummah perlu memiliki beberapa ciri utama iaitu berakhlak mulia, cakna terhadap permasalahan masyarakat, memahami realiti setempat serta mempunyai kesatuan fikrah dalam membawa agenda kebaikan. Karakter inilah yang menjadi asas kepada pembentukan pemimpin yang mampu menyatukan masyarakat dan menggerakkan perubahan secara berkesan.
Program turut menampilkan sesi forum yang menghimpunkan Dr. Abdullah Tahir bin Abdul Rahim, Yang Dipertua ISMA Alor Setar bersama Ustaz Muhammad Shahier bin Sa’min dan Ustaz Muhammad Syazwan bin Menon sebagai moderator.
Perbincangan menekankan bahawa kepimpinan berasaskan qudwah merupakan pendekatan paling berkesan dalam membentuk masyarakat yang bertanggungjawab, prihatin terhadap isu-isu ummah dan mempunyai semangat cintakan watan.
Selain pengisian teori, peserta turut mengikuti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan sesi pembentangan resolusi yang memberi ruang untuk menilai kekuatan serta cabaran Unit Komuniti masing-masing. Melalui sesi ini, para peserta dibimbing untuk membangunkan kemahiran berfikir secara strategik, mengenal pasti keutamaan gerak kerja dan merancang tindakan yang lebih tersusun demi manfaat masyarakat.
Program ini mencerminkan pendekatan ISMA yang meletakkan pembangunan karakter pemimpin sebagai asas kepada pembangunan masyarakat. Pemimpin yang berintegriti, berjiwa khidmat, mempunyai kefahaman Islam yang mantap dan dekat dengan masyarakat merupakan elemen penting dalam menjayakan aspirasi Ummah Fadhilah.
Program berakhir dengan harapan agar para peserta dapat mengaplikasikan segala ilmu, pengalaman dan resolusi yang diperoleh dalam gerak kerja komuniti masing-masing. Melalui pembinaan karakter pemimpin yang berterusan, lebih ramai Murabbi Ummah diharapkan dapat dilahirkan bagi memimpin masyarakat ke arah kesejahteraan, perpaduan dan kecemerlangan dunia serta akhirat.
