Pemuda ISMA dengan sekerasnya-kerasnya membantah kedatangan Bruno Mars ke Malaysia, penyanyi yang terang-terangan menyokong Zionis laknatullah.
Cukup-cukuplah dengan konsert yang berlebih-lebihan dan merosakkan ini. Kehadiran artis yang mempunyai pendirian yang bertentangan dengan prinsip dan nilai kemanusiaan kita adalah tidak boleh diterima sama sekali.
Kami juga ingin menegaskan bahawa pendirian negara kita yang menolak semua kelompok yang menyokong dan menjadi proksi Zionis masuk ke dalam Malaysia haruslah dihormati. Ini adalah selaras dengan prinsip kita dalam mempertahankan hak asasi manusia dan menentang sebarang bentuk penindasan.
Tambahan pula, hedonisme yang dibawa oleh konsert-konsert sebegini merosakkan masyarakat dan generasi muda kita. Elemen hiburan melampau bukanlah identiti negara kita yang mementingkan nilai-nilai murni dan kesejahteraan bersama.
Kami menyeru pihak kerajaan dan pihak berautoriti untuk menghalang dan menyekat kedatangan penyanyi ini ke Malaysia. Langkah ini perlu diambil demi menjaga keharmonian, keamanan, dan maruah negara kita.
Akhir sekali, saya menyeru untuk umat Islam khususnya untuk bersatu padu dalam menentang isu ini kerana ia adalah isu asas umat Islam. Kita perlu bersama-sama mempertahankan prinsip dan maruah kita serta menunjukkan solidariti dalam menolak sebarang elemen yang boleh merosakkan identiti ummah dan negara ini.
Mohammad Riduan Muhammad
Naib Presiden ISMA
(Ketua Biro Pemuda ISMA)