Penerbit dan Pengarang buku Rebirth layak dikenakan tindakan

Minggu ini, rakyat sedang marah apabila terdapat sebuah buku yang mana rupa bentuk kulitnya adalah jata negara yang telah diubahsuai menjadi bentuk yang jelek dan sangat menghinakan.

Lebih menyemarakkan kemarahan rakyat ialah, buku ini merupakan buku genre politik. Sudah pasti lebih mencetuskan kemarahan kerana rakyat sudah muak dengan provokasi-provokasi dari politik apatah lagi yang melibatkan lambang negara.

Penerbit dan pengarang buku ini memang layak dikenakan tindakan kerana mempermainkan atau sekurang-kurangnya bersubahat mempermainkan jata negara. Ini adalah lambang atau simbol negara, bukannya barang mainan. Saya percaya bahawa perlakuan ini telah melanggar Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan tidak Wajar) 1963. Oleh itu, laporan polis wajar dibuat dan tindakan perlu diambil.

Apakah ini sesuatu yang tidak disengajakan atau hanya kebetulan? Saya lebih cenderung mengatakan ini adalah disengajakan kerana mustahil penerbit tidak tahu atau terlepas pandang. Malah, editor buku ini iaitu Kean Wong ini adalah aktivis tegar bagi memansuhkan akta hasutan dan telah berusaha rapat dengan pihak kerajaan terdahulu untuk menjayakan agenda ini di mana beliau banyak keluar di televisyen bersama menteri.

Malah, saya difahamkan buku ini juga pernah dipromosi dan diwacanakan di Astro Awani satu ketika dahulu. Saya tidak tahu mengapakah kita terlepas pandang ketika itu. Apakah mungkin kerana terlalu banyak isu yang lebih besar timbul sehingga terlepas pandang.

Difahamkan juga buku ini sudah dijual di kedai-kedai buku di luar negara seperti Australia. Alangkah malunya negara apabila jata negara dipermain-mainkan dan menjadi tatapan orang luar dengan bangganya.

Sekarang ini, buku ini sedang galak dipromosikan di kedai-kedai buku utama dalam negara kita walaupun sudah lama diterbitkan. Saya tidak pasti mengapa baru sekarang buku ini dipromosikan dan tular.

Ini bukannya kali pertama lambang negara di buat mainan. Tidakkah lupa bahawa jalur gemilang juga banyak dipermain-mainkan seolah-olah ada sesuatu yang mahu disampaikan seperti fenomena kibaran bendera terbalik di serata Malaysia dan kibaran bendera tidak cukup bucu bintangnya. Itu belum lagi menyentuh mengenai persendaan bahasa kebangsaan lagi. Apa yang pasti, semangat sebegini datang dari senangat subversif, perasaan tidak suka akan identiti negara dan berazam untuk mengubahnya.

Saya harap agar rakyat dapat terus memerhati akan apa yang berlaku di sekeliling kita. Warganegara Malaysia yang sejati pasti sensitif akan provokasi-provokasi sebegini. Tidak melayan atau berdiam diri hanya akan menyebabkan diri dan orang sekeliling hilang sensitiviti terhadap lambang-lambang negara yang secara sedikit menghakis semangat patriotik kita.

Jika hari ini kita biarkan mereka permainkan jata negara, mana tahu esok lusa mereka berani permainkan pula jata diraja pula?

Saya seru agar kita semua buat laporan polis beramai-ramai. Kita akan gerakkan rakan-rakan aktivis NGO untuk berbuat demikian juga. InsyaAllah.

Wallahu’alam.

Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
29 Jun 2020

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat