Penerbitan buku ‘Rebirth Reformasi, Resistance and Hope in New Malaysia’ yang memaparkan kulit buku beserta logo mirip jata negara yang telah diubah suai mencetuskan rasa marah rakyat apabila kulit buku tersebut seolah-olah memperrmainkan jata negara. Ia bukan sahaja mempermainkan jata negara semata-mata tetapi jauh lebih teruk, ia sebenarnya menghina semangat murni yang ada di sebalik logo tersebut.
Sesungguhnya, jata negara merupakan simbol yang mewakili pelbagai makna penting seperti nilai perpaduan bagi kesemua 14 buah negeri di Malaysia, agama Islam sebagai agama Persekutuan, nilai kekuatan dan keberanian yang perlu dijunjung oleh setiap warganegara Malaysia, sistem beraja serta identiti bahasa dan bangsa negara ini.
Budaya merendah-rendahkan semangat ini melalui gambar merupakan cara yang bertentangan dengan adab-adab ketimuran, melemahkan ‘self-esteem’ semangat patriotisme rakyat Malaysia dan boleh mengganggu gugat keharmonian di negara ini.
Sebelum ini, negara pernah digemparkan dengan peristiwa bendera Malaysia yang dikibarkan secara terbalik, bintang pada Jalur Gemilang menjadi lima bucu serta lagu Negaraku diubah ke dalam bahasa Cina.
Peristiwa yang berbentuk provokasi ini berlaku satu demi satu dan kerajaan harus bertindak cepat di alam nyata mahupun di alam maya/media sosial agar provokasi ini tidak berlarutan dan berpanjangan.
Jika kita mengambil iktibar daripada fenomena ‘anti sains’ yang berlaku di Amerika sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan masih berlarutan di saat berlakunya pandemik ‘Coronavirus’, kita dapati kemuncak daripada keadaan itu ialah pandangan saintis tidak diambil berat secara melampau oleh beberapa golongan masyarakat di semua peringkat, samada peringkat pengikut mahupun di peringkat kepimpinan walhal mereka sedang berhadapan dengan keadaan yang penuh darurat dan pandangan saintis amat kritikal untuk diambil kira.
Kegiatan memperlekeh para saintis yang berlaku di sana telah berlaku berulang kali sehinggakan wujud pandangan stereotaip negatif terhadap para saintis dan kesan-kesannya boleh dilihat di dunia nyata. Walaupun majoriti masyarakat di sana masih menaruh kepercayaan kepada para saintis tetapi penularan sikap anti vaksin, anti topeng muka, menafi perubahan iklim dan menafi perintah berkurung akibat Covid19 sedikit sebanyak menyebabkan negara itu berada di dalam keadaan huru-hara, merugikan nyawa dan sukar untuk bersatu.
Oleh itu, saya menggesa kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan yang drastik secara holistik bagi mengatasi isu provokasi ini dengan segera. Kita tidak mahu kejadian ‘membuli simbol dan identiti Malaysia‘ ini memberikan mesej yang salah kepada masyarakat awam dan mewujudkan golongan yang terpisah daripada semangat patriotism rakyat Malaysia sehinggakan mereka sukar untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Sesungguhnya kesatuan mengambil masa yang lama untuk membinanya sedangkan masyarakat yang berpecah-belah tidak menguntungkan mana-mana pihak bahkan boleh mendatangkan kerugian untuk semua.
Antara langkah yang dicadangkan adalah:
1. Menyiasat isu penghinaan terhadap identiti dan lambang negara sedalam-dalamnya termasuk latarbelakang individu serta organisasi yang terlibat kerana penggunaannya secara tidak wajar adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414).
2. Meminda undang-undang sedia ada dengan mengenakan hukuman yang lagi berat terhadap . Sebagai contoh, memanjangkan tempoh dikenakan penjara daripada tiga tahun kepada sepuluh tahun atau melucutkan taraf kewarganegaraan.
3. Membanyakkan pameran, dokumentari atau iklan yang menyemarakkan rasa cinta, kefahaman dan penghargaan kepada sejarah, budaya, perpaduan, bahasa dan negara Malaysia.
Akhir kata, saya menyeru agar semua lapisan masyarakat untuk bangkit menyuarakan kekesalan dan mendesak pihak kerajaan untuk memandang serius akan perkara ini. Sesungguhnya terdapat perbezaan di antara kebebasan bersuara yang berasas, beradab dan selari dengan fitrah manusia dengan kebebasan bersuara yang bersifat provokatif, kurang ajar (rude), palsu dan permusuhan.
Saya mengharapkan kerajaan dapat mengambil langkah lebih tegas bagi membanteras fenomena memperlekeh simbol dan lambang negara agar Malaysia kekal sebagai negara yang aman, makmur dan sejahtera.
Siti Amalia Binti Samarudin
Aktivis Wanita ISMA Alor Gajah