Semenjak pengisytiharaan darurat 16 Januari 2021 sehinggalah hari ini, terlalu banyak pendapat dan ulasan tentangnya yang saya rasakan sihat kerana dibincangkan secara ilmiah oleh pakar-pakar. Namun, tidak kurang juga tularnya segala cerita-cerita spekulasi, teori konspirasi dan malah usaha memburuk-burukkan Yang Di-Pertuan Agong kononnya diperalatkan oleh parti politik pemerintah.
Segala konotasi buruk mengenai darurat ini pasti akan dapat dijejak kembali kepada sentimen politik kerana ianya berlaku di tengah-tengah gelora politik negara yang sedang memuncak. Pihak yang mahukan kuasa sama ada pilihanraya segera ataupun penukaran kerajaan melalui ‘numbers’ pasti yang paling kecewa dan tertekan.
Kali ini, Ketua Pembangkang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan mencabar perisytiharan darurat di mahkamah selepas usahanya menggesa ahli-ahli parlimen pembangkang dan kerajaan yang sependapat dengannya menghantar surat bantahan kepada Yang Di-Pertuan Agong itu menemui kegagalan. Kononnya, usahanya itu adalah untuk mempertahankan Perlembagaan.
Untuk pengetahuan kita semua, menurut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, jelas mengatakan bahawa pengisytiharaan darurat adalah atas kepuashatian Agong yang bermakna Agong boleh menolak nasihat Perdana Menteri sebagaimana yang pernah dibuat pada tahun lalu. Ini bermakna segala persepsi yang dicipta seolah-olah Agong mengikut nasihat Perdana Menteri bulat-bulat adalah tidak berasas dan berniat jahat. Malah, pengisytiharaan darurat adalah muktamad dan tidak boleh dicabar menurut Perlembagaan Persekutuan.
“Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan…” [Perkara 150 (8), Proklamasi darurat]
Saya yakin, keputusan yang dibuat oleh Yang Dipertuan Agong bukanlah semberono kerana pasti ada banyak pertimbangan yang diambilkira. Kata mereka, kononnya cukup dengan ‘gencatan politik’ sahaja untuk mengawal ketidakstabilan politik di negara kita. Tetapi, lihatlah berapa banyak ‘gencatan politik’ yang telah dibuat dan akhirnya hanya menjadi sandiwara sahaja.
Lihatlah juga, sudah diisytihar darurat pun masih sibuk politicking merebut kuasa. Ini bukti darurat adalah perlu dan malah dikuatkuasakan dengan lebih tegas lagi.
Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA
18 Januari 2021