Oleh Norhidayah Ismail
Musim PKP ini membuatkan kita memikirkan semula apakah perkara yang bernilai asas, ataupun sekadar bernilai tambahan.
Konsep Maqasid Syariah memberikan panduan yang jelas, kerangka fikir dan kerangka kerja kepada proses ijtihad dalam menyelesaikan isu-isu sekitar kehidupan manusia, tanpa melupakan objektif yang lebih besar, iaitu kepatuhan kepada Allah
Musim PKP ini terutamanya, kita kerap mendengar apakah industri dan perkhidmatan yang bersifat “essential” ataupun tidak.
Maqasid syariah membahagikan 3 peringkat keperluan (3 levels of necessity / essentialness):
Peringkat Pertama : Dharuriyat (keperluan primer)
Perkara Kedua : Hajiyyat (keperluan sekunder)
Perkara Ketiga : Tahsinat (keperluan tertier)
Dharuriyat adalah keperluan paling asas untuk manusia. Atau kata lain, ketiadaan perkara dharuriyat ini boleh merosakkan hidup manusia. Contohnya, rumah, makanan dan pakaian. Ulama’ dalam Islam seterusnya menjuruskan pembahagian perkara Dharuriyat ini kepada 5 perkara yang paling asas dan memerlukan pemeliharaan (preservation) yang teliti:
i) Pemeliharaan kepercayaan dan agama (aqidah Tauhid dan ad-deen Islam)
ii) Pemeliharaan nyawa (nafs)
iii) Pemeliharaan nasab keturunan (nasl)
iv) Pemeliharaan akal fikiran (‘aql)
v) Pemeliharaan harta peribadi (mal)
Antara contoh-contoh pemeliharaan perkara-perkara di atas adalah mempertahankan agama Islam dari dicerca dan difitnah (hifz ad deen), sistem perundangan dan hukuman yang melindungi nyawa manusia (hifz al nafs), menyediakan hospital dan sistem kesihatan dengan kos berpatutan (hifz al nasl), membangunkan institusi pendidikan dan adab yang baik (hifz al ‘aql), serta sistem perumahan mampumilik dan pembahagiaan sumber kekayaan yang lestari (hifz al mal)
Dalam keadaan sekarang, melihat suasana di Malaysia, kita boleh bersyukur kerana banyak perkara asas Dharuriyat ini dapat dicapai oleh kebanyakan rakyat Malaysia walau banyak perkara masih boleh dibaiki.
Dalam musim PKP ini membuatkan kita fikir semula (rethink & reimagine) bagaimana perkara-perkara Dharuriyat ini untuk memperbaiki kualiti kehidupan rakyat.
Pada sudut hifz ad deen, kita dapati cubaan membawa naratif negatif yang berkait unsur agama Islam. Contohnya di Britain, persiapan ummat Islam untuk menyambut Ramadan yang bakal menjelang dikaitkan dengan menerukkan lagi krisis Covid-19.
Di Malaysia juga, akhbar berhaluan sekular liberal The Star secara halus cuba mengaitkan perjumpaan Tabligh Seri Petaling sebagai punca penyebaran wabak Covid-19 di Malaysia.
Juga isu penutup kepala PPE dan topeng muka disensasikan sebagai isu doktrinisasi Islam kerana menjaja agenda tudung dan niqab.
Kita juga dapati aktivis liberal sekular dari Barat, serta aktivis sosialis komunis dari China juga masing-masing cuba mengenengahkan agenda idealogi masing-masing. Siapakah yang lebih juara dalam menangani krisis seumpama wabak Covid-19 ini.
Menjadi tanggungjawab keseluruhan ummat Islam supaya terus menghidupkan syiar Islam, dan menyebarkan usaha dakwah dengan hikmah serta amar maaruf nahi mungkar mengikut apa juga cara yang termampu.
Perkara Dharuriyat lain yang menyentuh hati saya adalah berkait isu hifz al mal, terutamanya isu rumah. Dalam musim PKP ini, yang mana semua rakyat Malaysia diperintahkan untuk duduk di rumah dan tidak boleh keluar tanpa ada keperluan penting.
Dalam Islam, rumah dianggap tempat yang penting kerana menjadi pusat ketenangan, istirahat, ibadah dan membina kasih sayang sesama ahli keluarga.
Harga rumah semakin melonjak naik beberapa tahun kebelakangan ini, menyebabkan harga rumah per kaki persegi semakin tidak mampumilik. Bagi rakyat yang memiliki rumah yang lebih luas dan mempunyai laman, mungkin tekanan itu tidaklah berapa kuat. Apabila musim PKP, warga kotaraya terutamanya yang tinggal di jenis perumahan flat dan apartment – dengan terpaksa menghadkan pergerakan di kawasan yang kurang 1500 kaki persegi selama lebih sebulan, menjadikan ia tidak kondusif untuk kesihatan mental dan fizikal. Apatah lagi bagi kawasan perumahan flat atau apartment yang dikenakan PKP Diperketatkan. Contoh, seperti yang berlaku di Menara City One.
Projek perumahan terlalu dikomersilkan sehingga jenis dan harganya ditetapkan pemaju tanpa kawalan yang ketat dari pihak pemerintah akan terus menerus menghasilkan rumah yang tidak mengendahkan kualiti kehidupan penduduknya.
Belum lagi masuk soal ruang awam (public space) dan hutan bandar (city green lung) untuk menambahkan lagi kualiti kehidupan manusia. Rumah yang sejahtera dan selesa adalah hak asasi semua manusia. Ini adalah salah satu perkara yang perlu difikirkan dengan mendalam.
Dalam berita ini sepertimana yang berlaku di bandar-bandar yang padat dengan penduduk, perancang bandar sendiri mengesahkan bahawa bandar-bandar ini menjadi pusat penyebaran wabak dan penyakit, dan perlu dirancang dan disusun atur semula supaya kesejahteraan hidup manusia lebih terjamin.