BANGI, 4 Mei – Walaupun taska sudah boleh beroperasi hari ini, tetapi kebanyakan pengusaha masih lagi mengambil langkah berjaga-jaga untuk tidak membuka premis mereka.
Menurut seorang pengusaha taska di Bandar Baru Bangi, Nurul Ain Rusli, pihaknya masih risau untuk membuka taska kerana banyak risiko terutama kepada guru taska dan anak-anak.
“Apabila kita mahu membuka premis, harus mengikut SOP yang ketat daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan ibu bapa harus jujur dengan kesihatan anak-anak.
“Dan pekerja taska juga harus disaring lebih-lebih lagi jika baru pulang dari kampung,”katanya.
Ujarnya lagi, pihaknya akan membuka taska mengikut keperluan seperti ibu ayah yang terpaksa bekerja dan tiada pilihan lain untuk meletakkan anak tetapi dengan syarat yang ketat.
“Tapi ada budi bicara untuk ibu ayah yang amat memerlukan (jagaan taska) sahaja.
“Tetapi mereka perlu sertakan surat dari majikan kebenaran untuk bekerja dan jujur dengan kesihatan anak,” katanya.
Pada masa yang sama selaku pemilik taska, Ain juga menghadapi cabaran dari segi perbelanjaan taska yang masih perlu dibayar sedangkan premis tidak beroperasi.
“Dari sudut untung memang tak sempat nak fikir. Sebab kami tutup taska pun dengan arahan dan saya lebih memikirkan tentang keselamatan anak-anak dan pekerja lebih daripada keuntungan,” ujarnya lagi .