Alhamdulillah penyatuan Melayu tercapai, walaupun belum 100 peratus kerana ada lagi parti-parti Melayu berada diluar penyatuan tersebut walaupun mereka berminat untuk menyertainya, tetapi tidak dilayan.
Perlu diingatkan juga jangan terlalu yakin kemenangan akan tercapai bila berlaku penyatuan parti besar sahaja kerana perang Hunain pada zaman Rasulullah tidak sedemikian, kadang-kadang kemenangan datang dari sumbangan yang kecil, bukan dari faktor angka ramai semata-mata. Kemenangan juga datang dari keberkatan hubungan persaudaraan yang kukuh dengan semua pejuang atau parti-parti Melayu Islam yang lain.
Sepatutnya DAP tidak berada dalam sistem kerajaan dari dulu lagi. Tetapi perpecahan parti Melayu yang memberi ruang kepada mereka berada dalam kerajaan. Parti PAS telah bersama DAP akhirnya gagal dan tendang DAP. Parti UMNO baru merasai pengalaman buruk bersama DAP pun melalui pengalaman yang sama. Gagal dan tendang DAP tetapi tidak sepenuhnya.
PKR sahaja yang masih boleh bersama DAP, mungkin boleh kekal kerana PKR bukan parti Melayu. Mungkin ada parti lain sama macam PKR, akan ditolak juga oleh orang Melayu pada masa akan datang kerana bukan parti Melayu walaupun dipimpin oleh orang Melayu. Bukan sahaja DAP menolak penyatuan parti-parti Melayu, MCA juga menolak kerjasama antara BN khususnya UMNO dengan PAS dalam PRN Negeri Sembilan sekarang.
Mudah-mudahan penyatuan parti-parti Melayu ini berkekalan dan diluaskan lagi kepada semua parti- parti Melayu yang berada diluar sana.
Ustaz Sharipudin Ab Kadir
Penasihat Politik dan Perundangan ISMA


