Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersambung 14 hari lagi. Bermakna cuti sekolah akan berlarutan sehingga sebulan. Anak-anak, pada asasnya memang suka ‘cuti’. Namun, cuti COVID-19 yang menghalang mereka balik ke kampung bertemu Atuk, Nenek, sepupu sepapat, tidak boleh keluar jalan-jalan makan angin, malah tidak boleh ke taman permainan kawasan perumahan, pasti bukanlah cuti yang akan menggembirakan mereka. Terkurung di dalam rumah dengan rutin yang sama setiap hari, tidak boleh bertemu rakan-rakan, tidak boleh mengikut ayah ke kedai mahupun pasaraya. Ini bukanlah cuti yang normal buat mereka.
Ibu-bapa perlu prihatin kesan PKP ini kepada psikologi, mental dan emosi anak-anak. Ibu bapa harus berusaha menjadikan setiap hari adalah menarik dan mencipta pengalaman baru buat mereka. Masa dan aktiviti mereka perlu dirancang, disusun, dan dipantau. Jangan menyerahkan anak-anak kepada masa dan keadaan, gajet dan skrin semata-mata.
10 cadangan buat ibu, bapa dan penjaga untuk membina suasana positif agar psikologi, mental dan emosi anak-anak kekal sihat sepanjang PKP ini;
- Fahamkan anak-anak mengapa PKP ini dilaksanakan. Perkenalkan mereka kepada Corona Virus ini. Perdengarkan dan pertontonkan perutusan-perutusan Perdana Menteri, iklan-iklan animasi COVID-19, dan tanamkan kefahaman mereka adalah Hero dalam usaha memerangi wabak ini dengan berada di rumah.
- Duduk bersama anak-anak dan libatkan mereka dalam merangka jadual harian. Setiap hari boleh dibahagikan kepada tiga aktiviti utama; sesi akademik, sesi hafazan dan sesi bermain.
- Sesi akademik tidak boleh terlalu lama. Setengah jam ke 45 minit sudah mencukupi untuk satu sesi (terutama anak lelaki). Bina persekitaran yang kondusif untuk anak-anak; memakai baju sukan/uniform sekolah (supaya anak-anak rasa berbeza dengan waktu biasa di rumah), menggunakan meja dan kerusi, tidak membuka televisyen dan ibu/abi/penjaga bertindak sebagai guru. Manfaatkanlah pelbagai pengajaran online jika berpeluang.
- Selesai satu sesi, hadiahkan mereka dengan masa rehat dan ‘reward’ – contohnya makan aiskrim atau ‘screen time’. Kemudian boleh disambung satu sesi lagi. Dua sesi akademik sehari sudah mencukupi. Tidak dinafikan di sekolah anak-anak boleh belajar 7 hingga 8 subjek sehari. Namun di rumah, jangan terlalu idealistik, kerana sekiranya realiti tidak seperti yang diimpi, kita pula yang stres nanti.
- Ulang kaji Hafazan dan Al Quran boleh dibuat selepas solat Subuh, Zuhur, dan selepas Maghrib. Suasana selepas solat harapnya anak-anak lebih tenang untuk menghafaz. Setkan target, contohnya 10 ayat / satu-dua hadith sehari. Beri ganjaran kepada anak-anak sebagai galakan dan penghargaan usaha mereka. Kita sebagai ibu-bapa pun, belum tentu mampu menghafaz seperti anak-anak ini. Contohnya, 50 sen utk satu sesi tasmik/ujian hafazan. Wang ini boleh dikumpulkan dan mereka boleh membeli mainan kegemaran selepas PKP tamat nanti. Ia adalah seperti satu cahaya di hujung terowong yang gelap. Anak-anak akan ‘looking forward’ akan detik itu dan menjadikannya sebagai satu motivasi.
- Petang, selepas solat Zuhur adalah masa untuk bermain. Anak lelaki biasanya aktif sepanjang hari, memang tidak penat dan jarang tidur petang. Justeru, waktu petang adalah aktiviti-aktiviti fizikal dan permainan seperti art and craft, scrabble, lego, riadah, origami, role play dan apa jua permainan yang selamat dan bermanfaat.
- Ibu bapa perlu ada sesi ‘sembang santai’ dengan anak-anak. Apabila duduk 24 jam dgn anak-anak, pasti adanya episod termarah, ternaik suara, anak merajuk, emak tak larat/sempat nak pujuk. Justeru, sesi sembang santai ini penting kerana waktu inilah ibu-bapa boleh bertanya perasaan anak-anak, mendengar keluhan mereka, menjelaskan salah faham, dan bermaafan dengan anak-anak. Sebaiknya, duduk sebentar selepas solat Isyak berjemaah. Pastikan anak-anak tidur dengan hati yang tenang dan lapang.
- Sepanjang PKP ini juga, kita perlu bataskan anak-anak dengan gajet dan skrin tanpa kawalan. Jangan biasakan anak-anak duduk di dalam bilik bersama gajet tanpa kita tahu apa yang ditontonnya. Dengan dunia tanpa sempadan hari ini, kelalaian yang sebentar, bisa menjurus penyesalan tidak berkesudahan. Anak-anak boleh rosak, hanya dengan duduk di rumah. Rumah kita mungkin selamat dari Corona Virus, namun tidak semestinya selamat dari pornografi, game addiction dan buli siber. Segalanya hanya dengan satu klik di hujung jari.
- Ibu bapa jangan stres kalau hari berlalu tidak 100% seperti yang dijadualkan. Setiap hari kita cuba perbaiki. Ibu, bapa dan penjaga perlu gembira terlebih dahulu, barulah anak-anak merasa auranya, dan akan turut gembira. Jika dengan melihat gambar aktiviti anak-anak rakan FB yang kelihatan begitu berdisiplin, patuh arahan, fokus dan bagus belaka membuatkan anda merasa ‘down’, sedih dan gagal, tidak perlu terus mencederakan emosi anda dengan paparan-paparan itu. Satu dua gambar tidak akan mampu menceritakan seribu satu kisah di sebaliknya. Digital detox, rehatkan minda dari media sosial, fokus kepada anak-anak, raikan kelebihan dan perbaiki kelemahan mereka.
- Sepanjang PKP inilah masa terbaik untuk mendisiplinkan anak-anak mendirikan solat, kerana ibu/bapa/penjaga turut perlu berada di rumah. Justeru, manfaatkanlah peluang solat berjemaah satu keluarga sebaiknya. Cuti tidak beerti boleh bangun lewat sehinggah solat Subuh terkorban. Didiklah anak-anak, bangun awal bukan kerana hari sekolah, tetapi bangun awal kerana kita perlu mendirikan solat subuh.
Ingatlah ibu-bapa, masa adalah kehidupan. Mensia-siakan masa, sama seperti kita mensia-siakan kehidupan. Pasti kita tidak mahu hidup anak–anak kita sia-sia bukan? Justeru, rancanglah masa anak-anak, dan binalah suasana, rutin dan aktiviti yang baik untuk anak-anak demi perkembangan positif mental, psikologi dan emosi mereka. Pastikan anak-anak kita OK sentiasa.
Anak-anak kita, tanggungjawab bersama.
Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim,
Ketua Biro,
Biro Keluarga dan Masyarakat BKM) , ISMA Kuantan.