Perjuangan wanita bermula dari rumah

RUMAH dan keluarga adalah nukleus sesebuah masyarakat. Jika baik pusat pendidikannya maka baiklah masyarakat itu. Perjuangan wanita adalah bermula dari rumahnya sebelum ia berjuang di luar rumah. Perjuangannya di dalam rumah adalah perjuangan membentuk anak-anak dan perjuangan menjadi seorang isteri yang solehah.

Kehidupan wanita tidak boleh terpisah dari kehidupan di rumah. Rumah ibarat jiwa dan roh bagi seorang wanita. Kehidupan di rumah yang dipenuhi dengan emosi dan perasaan selari dengan fitrah seorang wanita.

Kita sedia maklum bahawa Allah SWT telah menjadikan wanita itu diciptakan mempunyai emosi dan perasaan yang tinggi, serta hati yang lebih lembut berbanding kaum lelaki. Emosi dan perasaan itu hakikatnya amat diperlukan oleh wanita dalam ia menunaikan tugasnya yang asasi di rumah.

Wanita sebagai pembimbing anak-anak

Tugas ibu yang mengandung, menyusu serta memelihara anak-anak amat memerlukan kepada perasaan yang halus, rasa sensitiviti dan emosi yang tinggi. Sehingga si ibu mampu untuk menyelami perasaan si anak, menjiwai kegembiraan dan kesedihan mereka dan merasai kepayahan dan kegusaran mereka.

Dengan emosilah si ibu menasihati anak-anak dan menunjuk mereka ke jalan yang lurus. Dengan emosilah si ibu dapat menyelami perasaan dan kehendak anak-anak. Anak adalah cerminan orang tua, seorang anak yang hebat lazimnya lahir dari keluarga yang baik.

Dan ibu memegang peranan yang sangat penting dalam hal ini. Oleh itu, Allah SWT telah menempatkan kedudukan seorang ibu pada kemuliaan yang sangat tinggi dalam pendidikan anak-anak. Bahkan, penelitian menunjukkan bahawa anak-anak yang kurang mendapat belaian dan tumpuan dari ibunya akan bermasalah di luar rumah.

Di dalam hadis di bawah baginda ﷺ menyebut bahawa antara ciri-ciri wanita yang baik adalah yang menyayangi anak-anaknya. Sabda baginda ﷺ;

Sebaik-baik kaum wanita penunggang unta (kaum wanita Arab) adalah wanita-wanita Quraisy yang baik agamanya. Mereka adalah wanita paling menyayangi anaknya ketika kecil dan paling mampu menjaga harta suaminya.” (HR. Bukhari Muslim).

Kisah Khansa’ yang menghantar empat orang puternya untuk menyertai perang Qadisiyah wajar dijadikan teladan. Di situ dapat kita lihat bagaimana peranan seorang ibu yang mendidik anak-anak di rumah dengan sempurna hingga melahirkan insan-insan yang sanggup berjuang untuk agama. Kita lihat ucapan Khansa’ buat putera-puteranya tatkala mendengar seruan jihad itu:

“Sesungguhnya kehidupan akhirat jauh lebih baik dari kehidupan dunia. Dengan seruan jihad pergilah kalian.

Sesungguhnya Khansa’ telah menjadikan rumahnya sebagai medan perjuangan untuk melahirkan insan-insan yang cintakan Islam.

Isteri sebagai ketenteraman bagi lelaki

Seorang suami juga memerlukan seorang isteri yang lembut, mudah memahami dan menyelami untuk menjamin kehidupan rumah tangga yang sejahtera dan harmoni. Malah emosi begini juga amat penting untuk memberikan ketenteraman kepada suami sebagaimana sikap Saidatina Khadijah kepada baginda ﷺ, tatkala Baginda ﷺ terkejut menerima wahyu pertama dari Jibril AS.

Saidatina Khadijah telah menenangkan Baginda ﷺ dan meniupkan semangat dengan kata-kata yang cukup meredakan perasaan. Kebijaksanaan Saidatina Khadijah berbicara dan menggunakan kata-kata meninggalkan kesan yang mendalam kepada Rasulullah ﷺ.

Tindakan Saidatina Khadijah yang membawa Baginda ﷺ bertemu dengan Waraqah bin Naufal telah mengubah keadaan baginda ﷺ dari rasa takut kepada merindui kedatangan wahyu, seterusnya setelah Waraqah menerangkan bahawa yang datang kepadanya adalah Jibril AS membawa wahyu yang pertama.

Demikianlah seharusnya peranan isteri. Begitu besar pengaruh isteri terhadap aktiviti dan tindakan suami. Dengan kata lain, peranan wanita bukan setakat melayani, melengkapkan kelengkapan dan menemani suaminya, akan tetapi isteri juga berperanan besar dalam menyediakan suami untuk sentiasa kuat dan sedia berkhidmat kepada kebangkitan agama, bangsa dan negara. Ketenteraman yang diterima di rumah membuatkannya bekerja dengan cemerlang di luar rumah.

Allah SWT jelas menyebut di dalam al-Quran bahawa isteri sebagai tempat suami merasa tenang dengannya:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ ٢١

[سورة الروم,٢١]

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir,” (al-Rum: 21)

Pernah ditanyakan kepada Rasulullah ﷺ:

Siapakah wanita yang paling baik?” Jawab Baginda ﷺ, “Iaitu yang paling menyenangkan jika dilihat suaminya, mentaati suami jika diperintah dan tidak menyelisihi suami pada diri dan hartanya sehingga membuat suami benci.” (HR. An-Nasai).

Perjuangan wanita bermula dari rumah

Maka apabila wanita telah menunaikan tugas asasinya di dalam rumah sebagai ibu dan isteri, akan terbinalah sebuah keluarga yang stabil dan harmoni. Anak-anak mendapat haknya. Suami juga mendapat haknya.

Anak-anak yang mendapat kasih sayang dan perhatian yang cukup akan beraksi di luar rumah dengan lebih baik dan cemerlang. Apabila jiwanya telah terisi di dalam rumah, dia tidak akan tercari-cari pengisian lain untuk mengisi jiwanya yang kosong.

Begitu juga dengan suami. Apabila ia mendapat layanan yang terbaik di dalam rumah, ia akan keluar bekerja dengan hati yang tenang dan lapang. Sang suami akan dapat melaksanakan tugas-tugasnya dengan lebih baik dan cemerlang.

Kerana itu, sebelum wanita berjuang di luar rumah, perjuangannya adalah bermula dari dalam rumah. Perjuangan pertamanya adalah menyediakan insan-insan yang menjadi sumber kepada kekuatan ummah iaitu dengan menyediakan anak-anak dan suami yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara.

Ustazah Suriani Sudi
Ketua Wanita Isma

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat