Tidak dapat dinafikan, faktor keluarga juga menjadi penentu kejayaan dakwah seseorang daie. Bahkan tidak keterlaluan untuk dikatakan bagi sesebuah gerakan. Hal ini kerana tabiat dakwah, tarbiah dan perubahan itu sendiri sifatnya bertingkat-tingkat. Daripada individu, keluarga, masyarakat dan seterusnya.
Seseorang daie akan terganggu amalnya sekiranya mempunyai pengurusan keluarga yang bermasalah. Suami isteri asyik berselisih faham, anak-anak terbiar tanpa bimbingan, nafkah tidak ketentuan, bagaimana mungkin semua ini membolehkan seorang daie tenteram hatinya apabila keluar dari rumah.
Oleh hal yang demikian, pemilihan pasangan yang tepat dan selari dengan aspirasi dakwah yang ingin digendong, amatlah penting sedari permulaan terdetik ingin berumahtangga. Isteri faham tabiat dakwah suami, suami mengizinkan dharuriah dakwah wanita di luar rumah, adalah suatu perkara yang seharusnya menjadi iltizam untuk setiap keluarga dakwah. Tanpa ini, cita-cita keluarga dakwah akan terkubur.
Bagi yang telah mempunyai anak-anak, perkara ini juga memerlukan pengurusan, bahkan satu aras lebih tinggi. Siapa yang menjaga anak-anak sekiranya isteri atau suami terlibat dengan program dakwah? Bagaimanakah pertimbangan kepentingan amal dakwah dibuat? Jika kedua-dua terlibat, bagaimanakah pula ikhtiarnya? Perkara ini memerlukan perbincangan suami isteri yang telus dan bijaksana, tanpa terlalu beremosi.
Walaupun kesabaran sentiasa menjadi perisai untuk rasional dalam perselisihan rumah tangga dakwah, syaitan tetap menjalankan tugasnya yang azali, iaitu merosakkan rumah tangga yang dibina atas cita-cita yang suci. Ketika ini, suami isteri perlu bertanya kepada diri mereka sendiri, semula, “apakah niat kita mendirikan rumah tangga dahulu?”.
Perkara ini akan terjawab dengan sendirinya, lantas mengubat kelukaan hati suami isteri yang berselisih, “sudah tentu niat kita kerana dakwah Allah. Allah lah yang telah mempertemukan kita di atas jalan dakwah, sudah tentu pada jalan ini kita mengorbankan apa yang kita miliki, termasuklah masa yang kita ada sebagai suami isteri dalam rumah tangga ini, untuk apa yang kita cita-citakan dahulu. Redha Allah.”
Walaupun begitu, pengurusan masa, wang ringgit dan emosi yang baik dalam rumah tangga tetap menjadi perkara yang perlu dilakukan sebelum lafaz-lafaz di atas berkumandang, dan sekiranya syaitan berjaya menjentik amarah, pada masa itu kita harus terus muhasabah dan berdoa pada Allah untuk membimbing hati kita semula untuk mewujudkan sebuah keluarga yang diredhai Allah, yang asas cintanya adalah jalan dakwah.
Mohammed Rasheedan bin Ellin
Aktivis ISMA Kuala Lumpur