Baru-baru ini kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah dimansuhkan pada 2018. Saya melihat ini merupakan satu peluang baik bagi negara untuk membentuk jati diri anak muda Malaysia yang cinta akan negara dan berjuang untuk tanah air.
Bagi menjadikan PLKN bermanfaat kepada negara untuk jangka masa panjang, kerajaan perlu mengambil kira beberapa aspek utama antaranya kandungan pengisian PLKN mestilah bertemakan kenegaraan dan kesetiaan kepada tanah air. Pengisian seharusnya tidak bersifat politik kepartian dan dipengaruhi kepentingan dari mana-mana parti politik dan kerajaan semasa. PLKN bukan sebagai alat politik mana-mana parti yang memerintah.
Kemudian, tiada sebarang pelaksanaan aktiviti pergaulan bebas antara jantina atau aktiviti yang melanggar batas-batas agama dan budaya. Aktiviti seperti team building perlu diperhalusi agar perkara-perkara seperti bersentuhan atau menjatuhkan maruah dan martabat mana-mana pelatih, lelaki atau perempuan mesti dielakkan. Seorang pegawai syariah juga boleh dilantik bagi setiap kem PLKN agar memastikan kesemua aktiviti dan susunan selari dengan kehendak syarak.
Kerajaan juga haruslah menanam sifat keimanan dan kefahaman perjuangan di sisi Islam. Bagi umat Islam, kefahaman berkenaan kesediaan untuk berjuang mestilah lahir daripada kefahaman Islam, di mana perjuangan di dunia adalah untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Pada masa yang sama pelatih-pelatih beragama Islam harus didedahkan dengan konsep seperti “ribath – menjaga sempadan” dan ganjaran-ganjaran besar yang dijanjikan.
Kefahaman berjuang untuk manfaat akhirat dapat melahirkan generasi yang ikhlas dan jujur serta sukar untuk dibeli dengan ganjaran dunia, sekali gus melahirkan pejuang yang setia dan sentiasa bersedia melawan musuh diperbatasan negara.
45 hari tempoh PLKN mungkin satu tempoh yang pendek untuk melahirkan pejuang yang kompeten, tapi ia cukup untuk menghalakan anak muda untuk meneruskan perjalanan kehidupan di Malaysia dengan semangat juang baharu.
Apa harapan anda berkenaan cadangan PLKN yang bakal dijalankan?
Mohammad Riduan Muhammad
Naib Presiden ISMA (Pemuda dan Pembangunan Komuniti)