1. Semalam tular di media sosial berhubung isu pengajaran subjek Pendidikan Islam di peringkat sekolah rendah. Terdapat kalangan pelbagai pihak memberikan pandangan sehingga menimbulkan polemik dan memberikan tanggapan negetif terhadap subjek Pendidikan Islam.
2. Pihak Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) melihat penekanan kepada subjek Pendidikan Islam perlu diberi keutamaan kerana generasi hari ini terdedah dengan pelbagai risiko masalah disiplin dan kelunturan akhlak. Ancaman keruntuhan moral dan pemikiran liberalisasi boleh menghambat akidah dan keimanan generasi pelajar hari ini.
3. i-Guru berpandangan bahawa Kurikulum Pendidikan Islam sedia ada perlu diperkasakan di peringkat sekolah rendah lagi dengan orientasi menekankan aspek amali dari teori dari sekadar hafazan dan ingatan. Ini kerana waktu pengajaran yang sedia ada hanya enam masa yang memakan masa tiga jam seminggu tidak cukup untuk membina keperibadian dan jati diri murid dan pengukuhan nilai dalam memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Aspek pembentukan watak perlu diberi tumpuan disamping pembangunan bakat murid.
4. Pihak iGuru juga mencadangkan satu jawatankuasa semakan semula kurikulum Pendidikan Islam ditubuhkan supaya ia dapat membina kualiti murid yang akan mendorongnya menguasai ilmu-ilmu dalam bidang lain terutama berdepan cabaran IR 4.0 dan era VUCA dengan olahan yang lebih dinamik dan berdaya saing serta kemahiran yang diperlukan untuk pasaran masa depan tanpa mengabaikan aspek keagamaan.
5. Penekanan subjek tersebut sudah termaktub dalam Ordinan Pelajaran 1952 yang menggariskan hak murid Islam untuk mendapat pendidikan agama. Malah, ia diperkukuhkan semula dalam Ordinan Pelajaran 1957 yang mewajibkan sekolah yang mempunyai bilangan murid seramai 15 orang wajib diajar pelajaran agama.
6. iGuru menolak cadangan mengurang atau memansuhkan subjek Pendidikan Islam di sekolah rendah bahkan ia boleh menimbulkan persepsi negatif dan prejudis masyarakat terhadap Pendidikan Islam yang di ajar di sekolah-sekolah kebangsaan.
7. iGuru bersetuju sekolah kebangsaan menjadi sekolah pilihan semua pihak dengan identiti berciri watan dan berteraskan perlembagaan.
Mohd Azizee Hasan
Presiden i-Guru
12 Januari 2022