JOHOR BAHRU, 20 Jun – Program ReproAlert anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) dengan kerjasama Surau As-Sholawatil Hikmah, Desa Mutiara telah berlangsung dengan jayanya baru-baru ini.
Menghimpunkan para remaja berumur 13 hingga 17 tahun, mereka didedahkan dengan ilmu seksualiti dan kesihatan reproduktif berteraskan nilai agama dan moral masyarakat.
Program yang diadakan di Surau As-Sholawatil Hikmah ini di adakan dalam suasana yang santai dan interaktif bersama panel jemputan iaitu Dr. Sakinah dan Tn. Hafiz Johar.
Antara tajuk utama yang dikupas ialah “Menuju Akil Baligh”, bahaya penggunaan gajet tanpa kawalan serta ancaman pornografi dalam kalangan remaja masa kini.
ReproAlert merupakan salah satu inisiatif pendidikan seksualiti dan kesihatan reproduktif yang dibangunkan bagi membantu remaja memahami perubahan diri, menjaga maruah serta membuat keputusan yang selamat dan bertanggungjawab.
Menurut pihak penganjur, antara isu kritikal yang dikenal pasti melalui kajian komuniti dan pemerhatian lapangan ialah ketagihan gajet, akses mudah kepada bahan pornografi serta kurangnya pemahaman remaja tentang akil baligh dan batas pergaulan.
Pelbagai pihak turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan pendedahan remaja kepada kandungan tidak sihat melalui media sosial dan internet tanpa pemantauan yang baik.
Program seperti ini diharap dapat membantu ibu bapa dan masyarakat memainkan peranan lebih aktif dalam membimbing remaja menghadapi cabaran dunia digital dengan ilmu, kefahaman dan bimbingan yang betul. Selain slot perkongsian, peserta juga terlibat dalam sesi interaktif dan perbincangan bagi meningkatkan kesedaran serta keyakinan diri dalam menghadapi fasa akil baligh secara positif.


