Projek Penyesatan Muslimah Oleh Projek Dialog

PROJEK Dialog melancarkan beberapa siri kuiz pada 20 Disember lepas, kononnya untuk menjelaskan kepada wanita Muslimah tentang hak-hak mereka, dan juga untuk memperkasakan mereka.

Siri kuiz tersebut dipanggil “Hidayah Muslimah”, yang kononnya bertujuan memberi petunjuk kepada wanita Muslimah kerana Projek Dialog merasakan bahawa kebanyakan wanita Muslimah tidak mengetahui hak-hak mereka yang digariskan oleh Islam. Atau sekurang-kurangnya, itulah yang dirasakan oleh Marina Mahathir, Penasihat Projek Dialog.

Terdapat 12 siri kuiz, yang akan dijalankan dalam tempoh 12 minggu. Bermula dengan minggu ini kuiz bertajuk “Srikandi Islam Yang Manakah Anda?”

Apa yang menjengkelkan adalah, soalan-soalan yang dikemukakan bersifat ala-ala kuiz personaliti, dan akhirnya merujuk penjawab kuiz kepada seorang tokoh yang kononnya menyamai personaliti dirinya.

Bayangkan, dengan soalan-soalan yang gampang, seperti :

“Masa kecil-kecil dulu anda suka…”
“Anda boleh lakukan apa saja, maka anda akan menjadi?”
“Anda bersama sekumpulan manusia terkandas di sebuah pulau. Anda akan?”

Dan juga dengan jawapan diberikan berbentuk objektif yang sekadar merujuk akhlak umum dan bukan akhlak Islamiyyah yang syumul.

Akhirnya penjawab kuiz akan dirujuk, kononnya personaliti diri mereka menyamai tokoh srikandi Islam bahkan seperti ummahatul mukminin Khadijah r.a. dan Aisyah r.a, serta sahabiyyah Rasulallah seperti Nusaibah r.a. Ini adalah satu bentuk penghinaan kepada srikandi-srikandi Islam.

Kuiz ini juga langsung tidak mempunyai bukti akademik dan intelektual bahawa sekiranya seseorang bersifat sekian-sekian, maka akan menyerupai tokoh srikandi sekian-sekian.

Adakah Projek Dialog akan turut menjelaskan sisi-sisi srikandi Islam ini yang berbentuk ketaatan pada suruhan Allah yang tidak digemari para liberal? Contohnya, adakah Projek Dialog akan mengemukakan hadith yang diriwayatkan sahabiyyah seperti :

Ummu Salamah radhiyallahu ‘anha, ia berkata bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

أَيُّمَا امْرَأَةٍ مَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَنْهَا رَاضٍ دَخَلَتِ الْجَنَّةَ

“Wanita mana saja yang meninggal dunia lantas suaminya redha padanya, maka ia akan masuk surga.” (HR. Tirmidzi no. 1161 dan Ibnu Majah no. 1854)

Atau Projek Dialog akan sekadar petik hujah untuk menyokong agenda liberal dan feminisme mereka?

Soalan-soalan kuiz Projek Dialog, sengaja dijuruskan untuk memberi idea kepada para wanita bahawa, atas nama agama, wanita Muslimah boleh bebas dan tidak perlu terkongkong dengan mana-mana institusi, sama ada institusi kekeluargaan mahupun institusi keagamaan.

Wanita Muslimah yang tersohor dalam sejarah Islam, sama ada sejak zaman Rasulallah s.a.w ke zaman Salafussoleh sehingga kini, sepatutnya diangkat dengan kualiti-kualiti berdasarkan ketauhidan mereka kepada Allah.

Sheikh Mohammad Akram Nadwi telah menghasilkan karya yang sangat baik iaitu Al-Muhaddithat mengenai para sarjana wanita dalam Islam. Karya beliau telah mengangkat kedudukan wanita berdasarkan ajaran Islam sebenar.

Bahkan Sheikh Mohammad Akram Nadwi dengan jelas ingin menangkis tuduhan palsu aktivis feminisme yang suka mempersoalkan “kalau lelaki boleh, kenapa perempuan tidak?” dan mengemukakan hujah kerangka syariat Islam yang sebenar dan sejarah wanita sepanjang kegemilangan Islam.

Setelah menyedari kebanyakan wanita Muslimah di Malaysia tidak menyambut agenda feminisme, kini mereka menyembunyikan agenda feminisme mereka dengan menggunakan terma-terma lebih Islami, contohnya “srikandi Islam”.

Marina Mahathir yang dikenali sebagai tokoh Sisters In Islam, kini mencuba nasib menyebar dakyah feminisme menggunakan wadah Projek Dialog.

Wanita Muslimah di Malaysia tidak perlu terlibat dan menghabiskan masa menjawab kuiz Projek Dialog ini. Ia merupakan suatu penghinaan kepada tokoh-tokoh Islam, terutamanya dari generasi sahabiyyah Rasulallah.

Kuiz ini lebih elok digelar At-Tadhlil Muslimah (penyesatan Muslimah), berbanding Hidayah Muslimah.

Nurhidayah Ismail
Aktivis Wanita Isma

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana dan Ismaweb.net

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat